Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE 233 : SOLIDARITI BERSAMA UMAT ISLAM DI AL-AQSA

BL

Baru-baru ini kita dikejutkan sekali lagi dengan kebiadaban Israel mencemarkan kemuliaan Ramadan dengan menyerang penduduk Palestin yang sedang beribadah di perkarangan Al-Masjid Al-Aqsa. Lebih 163 orang tercedera dengan tindakan yang dilakukan oleh rejim Zionis itu.[1]. Mereka menggunakan peluru getah dan bom gas mengganggu umat Islam yang sedang menunaikan solat sunat Tarawih.

Tindakan tersebut yang dianggap sebagai jenayah perang adalah rentetan daripada protes rakyat Palestin terhadap larangan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel terhadap beberapa bahagian kota Lama Baitul Maqdis daripada dimasuki ketika bulan Ramadan. Tindakan tersebut menggambarkan kezaliman Israel dan kebiadapan mereka terhadap tempat ketiga paling suci bagi Umat Islam. Pencerobohan yang dilakukan bukan sahaja menimbulkan reaksi kemarahan rakyat Palestin, bahkan umat Islam seluruh dunia mengutuk keras tindakan yang dijalankan oleh rejim Zionis Israel.

Serangan yang dilancarkan oleh rejim zionis pada 8 Mei lepas bukan sesuatu yang baharu. Ia adalah rentetan daripada tuntutan dan dakwaan Zionis Israel yang mengatakan bahawa kawasan Al-Masjid Al-Aqsa itu adalah Temple Mount iaitu kuil suci bagi orang Yahudi. Ia juga adalah bertitik-tolak daripada siri gerakan penguasaan Israel terhadap timur Baitul Maqdis ketika perang Arab-Israel pada tahun 1967 dan seluruh bandar tersebut pada tahun 1980. Bertitik tolak daripada peristiwa tersebut, beberapa percubaan dilakukan oleh rejim untuk menafikan hak umat Islam terhadap Al-Masjid Al-Aqsa.

Pada masa yang sama ketika ini juga, berlaku pengusiran rakyat Palestin di kawasan Syeikh Al-Jarrah, di mana penduduk asal yang sudah menetap berpuluh-puluh tahun di sana dihalau keluar oleh keputusan mahkamah yang tidak adil untuk membolehkan penduduk Yahudi membina penempatan haram di lokasi tersebut.

Al-Masjid Al-Aqsa menurut perspektif Islam

Al-Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam.  Ia juga adalah salah satu masjid yang sangat digalakkan oleh Nabi SAW untuk diziarahi dan menunaikan solat di situ. Abu Sa’id Al-Khudri meriwayatkan, Nabi SAW bersabda :

‌وَلَا ‌تُشَدُّ ‌الرِّحَالُ ‌إِلَّا ‌إِلَى ‌ثَلَاثَةِ ‌مَسَاجِدَ ‌مَسْجِدِ ‌الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى وَمَسْجِدِي هذا

Maksudnya : “Tidak boleh bermusafir melainkan menuju ke tiga buah masjid. Masjid Al-Haram (Mekah), Al-Masjid Al-Aqsa dan masjid saya ini (Masjid Nabawi).”[2]

Imam Badruddin Al-‘Aini telah menjelaskan berkenaan maksud di sebalik hadis ini. Beliau menyatakan :

فِيهِ فَضِيلَة هَذِه الْمَسَاجِد ومزيتها على غَيرهَا لكَونهَا مَسَاجِد الْأَنْبِيَاء عَلَيْهِم الصَّلَاة وَالسَّلَام لِأَن الْمَسْجِد الْحَرَام قبْلَة النَّاس وَإِلَيْهِ حجهم وَمَسْجِد الرَّسُول أسس على التَّقْوَى وَالْمَسْجِد الْأَقْصَى كَانَ قبْلَة الْأُمَم السالفة

“Dalam hadis tersebut menjelaskan kelebihan ketiga-tiga masjid dan keistimewaan yang dimiliki yang tiada pada masjid yang lain. Ianya adalah masjid para Nabi AS. Ini kerana Al-Masjid Al-Haram adalah kiblat bagi manusia. Ramai orang berpusu-pusu menuju ke Masjid Al-Haram. Masjid Nabawi pula diasaskan atas dasar iman dan takwa manakala Al-Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat umat yang terdahulu.”[3]

Kelebihan Al-Masjid Al-Aqsa terlihat jelas dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Ia adalah destinasi terakhir Nabi SAW sebelum Nabi SAW diangkat ke langit bertemu Allah SWT. Allah berfirman :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Al-Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”[4]

Sebahagian Ahli Tafsir menyebut bahawa Al-Masjid Al-Aqsa adalah binaan kedua yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS setelah Kaabah. Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur dalam tafsir beliau.[5]

Ia juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar RA. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW :

‌يَا ‌رَسُولَ ‌اللَّهِ، ‌أَيُّ ‌مَسْجِدٍ ‌وُضِعَ ‌فِي ‌الأَرْضِ ‌أَوَّلَ؟ قَالَ: المَسْجِدُ الحَرَامُ قَالَ: قُلْتُ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ المَسْجِدُ الأَقْصَى قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: أَرْبَعُونَ سَنَةً، ثُمَّ أَيْنَمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلَاةُ بَعْدُ فَصَلِّهْ، فَإِنَّ الفَضْلَ فِيهِ

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, masjid apa yang paling awal dibina? Baginda menjawab : Al-Masjid Al-Haram. Abu Zar bertanya lagi : Kemudian masjid apa? Baginda menjawab : Al-Al-Masjid Al-Aqsa. Saya (Abu Zar) bertanya lagi : Berapakah tempoh binaan antara kedua masjid tersebut? Baginda menjawab : 40 tahun. Sesiapa yang berada di mana-mana tempat tersebut, tunaikan solat di situ. Ini kerana ada kelebihan di tempat tersebut.”[6]

Di samping itu, Al-Masjid Al-Aqsa sangat berkait rapat dengan sejarah para Nabi terdahulu yang diutuskan oleh Allah SWT. Ia dianggap sebagai kawasan suci umat Islam. Oleh itu, Al-Quran menggelarkan Palestin sebagai tanah yang suci (Al-Ardh Al-Muqaddasah). Allah SWT berfirman :

يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خَاسِرِينَ

Maksudnya : “(Nabi Musa berkata lagi): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)".[7]

Termasuk dalam tanah suci ini adalah Al-Masjid Al-Aqsa. Perkara ini telah dijelaskan dan dihuraikan oleh Imam Al-Tabari dalam tafsirnya.[8]

Justeru, Al-Masjid Al-Aqsa mempunyai kedudukan dan keistimewaan di mata umat Islam. Ia bukan sahaja berkait dengan akidah bahkan ia dianggap kawasan suci umat Islam. Hakikatnya, sebarang usaha untuk mencemarkan kesucian Al-Masjid Al-Aqsa adalah merupakan satu perbuatan yang boleh mengguris dan menimbulkan kemarahan umat Islam.

Keperluan umat Islam prihatin dalam isu Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa

Isu Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa bukan isu untuk rakyat palestin sahaja. Ia bukan semata-mata isu individu. Ia adalah isu yang melibatkan umat Islam keseluruhannya. Isu yang berlaku kepada Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa khususnya tidak boleh dipandang remeh. Memandangkan ia adalah kawasan suci ketiga bagi umat Islam, ia perlu diberikan perhatian khusus. Kelalaian umat Islam terhadap isu yang berlaku di Palestin akan menyebabkan musuh mudah untuk menguasainya. Pihak-pihak yang cuba mencemarkan kesuciannya wajib untuk dikecam dan diambil tindakan.

Bagi umat Islam, sejarah Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa harus sentiasa didendangkan. Anak-anak bangsa perlu diperingatkan tentang sejarah tanah suci ini. Jika ini tidak dilakukan, kita akan melihat isu Palestin dipandang sepi oleh umat Islam satu hari nanti. Pihak kerajaan harus memainkan peranan agar isu Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa sentiasa segar di mata umat Islam.

Semoga Allah menyelamatkan Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman Zionis Israel. Kita berdoa agar Allah menyelamatkan dan melindungi saudara kita yang berada di sana. Semoga satu hari nanti bumi Palestin bebas daripada kezaliman dan penindasan. Wahai Al-Aqsa kami sentiasa bersama kamu!!

 

Nota Hujung :

[1] Malaysia kutuk serangan di Al-Masjid Al-Aqsa, Berita Harian bertarikh 8 Mei 2021. Rujuk pautan https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/815072/malaysia-kutuk-serangan-di-masjid-al-aqsa

[2] Riwayat Al-Bukhari, no 1195, Sahih Al-Bukhari (2001), Dar Al-Tuq Al-Najah, Beirut, j.2 h.61.

[3] Badruddin Al-‘Aini, Mahmud Bin Ahmad, Umdah Al-Qari Syarh Sahih Al-Bukhari (t.t), Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, Beirut, j.7 h.253.

[4] Surah Al-Isra’ : 1

[5] Ibn ‘Asyur, Muhammad Tahir Bin Muhammad, Tahrir Al-Ma’na Al-Sadid wa Tanwir ‘Uqul Al-Jadid min Tafsir Al-Kitab Al-Majid (1983), Al-Dar Al-Tunisiyah li Al-Nasyr, Tunisia, j.15 h.16

[6] Riwayat Al-Bukhari, no 3366, Sahih Al-Bukhari (2001), Dar Al-Tuq Al-Najah, Beirut, j.4 h.145.

[7] Surah Al-Maidah : 21

[8] Abu Jaafar Al-Tabari, Muhammad Bin Jarir, Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayy Al-Quran(t.t), Dar Al-Tarbiyah wa Al-Turath, Mekah, j.10 h.167.