IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-587: HUKUM MENINGGALKAN PUASA KERANA MELAKUKAN PEKERJAAN BERAT

Poster_Irsyad_Fatwa-587.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum, apakah buruh kasar yang tidak berpuasa di bulan ramadhan perlu ganti puasa dan bayar fidyah?

Ringkasan Jawapan:

Wajib ke atas orang yang meninggalkan puasa dengan sebab melakukan pekerjaan yang berat  qada atau ganti puasanya sebanyak hari yang ditinggalkan. Hal ini kerana, hukum ini adalah sama seperti hukum orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sesungguhnya puasa dalam bulan Ramadan itu adalah fardhu dan wajib ke atas setiap umat Islam yang mukallaf mengerjakan ibadat tersebut. Hal ini seperti mana dalam riwayat yang masyhur oleh Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadan.”

(Riwayat Bukhari: 8)

Maka jelaslah bahawa hukum berpuasa di bulan Ramadan itu adalah wajib ke atas setiap umat Islam bahkan ia merupakan sebahagian daripada 5 rukun Islam. Walau bagaimanapun, terdapat juga golongan yang diberi rukhsah (kemudahan) seperti golongan yang bermusafir dan sakit untuk berbuka puasa berdasarkan firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain”

(Surah al Baqarah: 184)

Berdasarkan ayat berikut, orang yang sakit dan musafir yang panjang perjalanan antara golongan yang diberi kelonggaran dan keringanan untuk berbuka dengan syarat perlu qada puasa tersebut pada hari yang lain. Ibnu Kathir menafsirkan ayat berikut di dalam tafsirnya: “Orang yang sakit dan musafir kedua-duanya tidak berpuasa semasa dalam keadaan sakit dan keadaan musafir kerana kesukaran bagi kedua-duanya, bahkan kedua-dua mereka ini berbuka dan mengqada (menggantikan) puasa pada hari yang lain.” 

(Rujuk Tafsir al Quran al-‘Azim: j1/h497)

Merujuk kepada permasalahan ibadat puasa bagi orang yang melakukan kerja berat, Imam Ba’Alawi di dalam karangannya “Bughyah al-Mustarsyidin” ada menjelaskan tentang mereka yang bekerja berat sehingga tidak tertanggung diberikan rukhsah untuk berbuka puasa dengan 6 syarat:

  • 1) Kerja berat itu tidak boleh ditangguh selepas bulan Ramadan.
  • 2) Kerja itu tidak dapat dilakukan pada malam hari.
  • 3) Kepayahan puasa yang tidak mampu ditanggung menurut kebiasaan.
  • 4) Wajib niat puasa pada tiap-tiap malam dan tidak boleh berbuka puasa melainkan setelah datang kepayahan.
  • 5) Mestilah berniat rukhsah ketika berbuka puasa supaya membezakan antara puasa yang dibenarkan berbuka dan yang tidak dibenarkan.
  • 6) Jangan disengajakan untuk melakukan kerja berat supaya datang kepayahan sebagai alasan berbuka puasa.

(Rujuk Bughyah al Mustarsyidin: h184)

Berdasarkan syarat yang telah dinyatakan, wajib juga ke atas mereka yang melakukan pekerjaan berat seperti buruh kasar, petani dan seumpamanya berpuasa di bulan Ramadan. Meskipun terdapat rukhsah bagi golongan ini, akan tetapi keringanan tersebut terpakai setelah terdapat keuzuran semasa melakukan pekerjaan tersebut seperti lapar dan dahaga sehingga boleh mendatang risiko keselamatan terhadap dirinya. Menurut Sheikh Zainuddin Ahmad:

يباح فطر بمرض مضر وفي سفر قصر ولخوف هلاك ويجب قضاء

Maksudnya: “Diharuskan berbuka puasa dengan sebab sakit yang memudaratkan dan dalam keadaan perjalanan yang mengharuskan solat qasar (2 marhalah) dan bimbang akan kemudaratan dan dia wajib menggantikan (puasa).”

(Rujuk Fath al Mu’in: h269)

Oleh yang demikian, wajib bagi golongan bekerja ini berniat untuk  mengerjakan ibadat puasa fardhu di malam hari walaupun terdapat rukhsah dan sekiranya berhajat untuk berbuka disebabkan kesusahan serta kemudaratan, maka diharuskan bagi mereka untuk berbuka. Menurut fatwa al-Azra’i di dalam karya Zainul ai-Din:

يلزم الحصادين أي ونحوهم تبييت النية كل ليلة ثم من لحقه منهم مشقة شديدة أفطر وإلا فلا

Maksudnya: “Wajib bagi orang yang menuai atau yang seumpamanya berniat pada setiap malam, kemudian sesiapa di antaranya yang menghadapi kesusahan diharuskan berbuka, dan jika selain dari itu tidak diharuskan.”   

 (Rujuk Fath al Mu’in: h269)

Kesimpulannya

Berdasarkan Nas dan hujah-hujah di atas:

Wajib ke atas orang yang meninggalkan puasa dengan sebab melakukan pekerjaan yang berat  qada atau ganti puasanya sebanyak hari yang ditinggalkan. Hal ini kerana, hukum ini adalah sama seperti hukum orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja.

Wallahu A’lam..

Bibiliografi:

  • Muhammad Bin Ismail Abu Abdullah al-Bukhari. 1422H.  Sohih al-Bukhari. Tahqiq: Muhammad Zahir Bin Nasir a-Nasir, Dar Tuq an-Najah.
  • Abu al Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir. 1999M/1420H. Cetakan ke-2. Tafsir al Quran al ‘Azim. Tahqiq: Sami bin Muhammad Salamah. Dar Thoyyibah.
  • Al-Sayyid ‘Abdul Rahman bin Muhammad bin Hussein bin ‘Umar, Ba’Alawi. 1994M/1414H. Bughyah al-Mustarsyidin. Dar al-Fikr, Beirut: Lubnan.

4.    Zainuddin Ahmad bin Ahmad bin Abdul Aziz bin Zainuddin bin Ali bin Ahmad al-Ma’bari. T.T. Fath al Mu’in bi Syarh Qurratul  ‘Ain. Dar ibn Hazm.


Cetak   Emel