Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda SAW, para sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Perhiasan dan Galakkan Terhadapnya
Perhiasaan dan kecantikan adalah merupakan fitrah semulajadi bagi setiap wanita. Seperti yang dimaklumi bahawa wanita teramat suka kepada kecantikan dan ianya juga tidak dapat dipisahkan daripada sifat kewanitaan semenjak penciptaannya lagi.
Firman Allah SWT:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
(Surah al-Nur: 31)
Sayyid Qutb dalam menafsirkan ayat daripada surah al-Nur ayat 31 berkata: “Hiasan kecantikan adalah halal bagi wanita kerana menepati fitrah mereka. Kesemua wanita teramat suka kepada kecantikan. Bentuk perhiasan berbeza dari zaman ke zaman akan tetapi asasnya adalah daripada fitrah yang satu. Hiasan kecantikan juga adalah suatu yang menjadi keinginan dalam menghasilkan kecantikan dan penyempurna kepada kecantikan. Islam tidak menentang keinginan fitrah ini akan tetapi Islam mengaturnya dan menetapkan dawabitnya. Dan Islam menjadikan hiasan kecantikan ditujukan kepada seorang lelaki (iaitu orang yang berkongsi kehidupan dengannya) dizahirkan hiasan kecantikan tidak kepada orang lain selain mereka. Dan juga mereka saling berkongsi dalam mengzahirkan hiasan kecantikan sesama mereka (selain suami) dan juga kepada mahram lelaki yang disebut pada ayat selepasnya, iaitu yang sudah tidak mempunyai kesan kepada syahwatnya disebabkan hiasan kecantikan itu.” Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran (4/2512).
Daripada Ibn Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kepada kecantikan.”
Riwayat Muslim (147)
Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam buku al-Halal wa al-Haram menyebut:
Sebelum Islam meletakkan perhatiannya yang tinggi kepada perhiasan yang elok dan baik, terlebih dahulu diberi perhatian sepenuhnya kepada soal kebersihan yang menjadi pokok utama bagi semua perhiasan dan pemandangan yang cantik.
Rasulullah SAW bersabda:
تَنَظَّفُوا فَإِنَّ الإسْلاَمَ نَظِيْفُ
Maksudnya: “Bersihkanlah diri kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.”
Riwayat Ibn Hibban
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
النَّظَافَةُ تَدْعُوا إِلَى الإِيمَانِ وَالإِيمَانُ مَعَ صَاحِبِهِ فِي الجَنَّةِ
Maksudnya: “Kebersihan itu menyeru kepada keimanan dan keimanan pula akan mendampingi tuannya di dalam syurga.”
Riwayat al-Tabarani
Oleh kerana itu, Islam menggalakkan umatnya sentiasa dalam keadan bersih dari segi pakaian, tubuh badan, rumah tangganya dan sebagainya. Islam juga mengambil berat terhadap kebersihan gigi, tangan, kepala dan lain-lain lagi.
Islam mensyaratkan kebersihan dalam agama sebagai kunci ibadat kepada Allah SWT iaitu solat. Tidak akan diterima solat seseorang Muslim itu melainkan tubuh badan, pakaian dan tempat untuk solat berada dalam keadaan bersih dan suci, di samping menjaga kebersihan diri sendiri. Lihat al-Halal wa al-Haram (113).
Penerangan yang disebut oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di atas ini bertepatan dengan apa yang telah lama disebut oleh Imam Malik rahimahullah berkenaan dengan hadis “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kepada kecantikan.” Iaitu berkaitan dengan berpakaian dengan pakaian yang kelihatan cantik, bersih ketika solat dan juga bercantik-cantik dengan pemakaian dan berwangi-wangian pada hari-hari perhimpunan manusia. Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’ karya Abu al-Walid al-Baji al-Maliki (7/220).
Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi juga berkata dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram:
“Jika Islam membolehkan kita untuk berhias diri, kita dituntut untuk menghias diri dan melarang untuk mengharamkan perhiasan diri, sesuai dengan firman Allah SWT:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ
Maksudnya: Katakanlah (hai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah SWT yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?
(Surah al-A’raf: 32)
Islam juga mengharamkan ke atas kaum lelaki dua jenis perhiasan, namun begitu tidak pula diharamkan-Nya kepada kaum wanita. Lihat al-Halal wa al-Haram (116)
Kami nukilkan juga di sini daripada al-Fiqh al-Manhaji:
Terdapat beberapa dalil umum yang menunjukkan kesemuanya merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya yang dijadikan untuk mereka nikmati dan mengambil manfaat dalam kehidupan mereka sama ada daripada pakaian, perhiasan, kegunaan dan keseronokan hidup mereka di dunia.
Firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.
(Surah al-Baqarah: 29)
Firman Allah SWT:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ۚ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia, (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.” Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.
(Surah al-A’raf: 32)
Begitu juga firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, pakaian perhiasan, dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
(Surah al-A’raf: 26)
Justeru, berdasarkan dalil-dalil tersebut dan dalil yang lain, ternyata bahawa hukum asal semua yang berkaitan dengan pakaian dan perhiasan adalah halal dan harus melainkan yang dikecualikan daripada hukum asal tersebut dengan nas-nas yang khusus. Lihat al-Fiqh al-Manhaji (3/90)
Pelbagai Hukum Berkaitan Berhias Bagi Wanita
Hiasan kecantikan yang merupakan fitrah wanita itu asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syara’ akan tetapi ianya mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syara secara jelas berkaitan dengan hukum berhias bagi wanita.
Kami bawakan di sini pelbagai soal jawab fatwa berkenaan hukum berhias bagi wanita, antaranya:
Fatwa Syeikh Abdul Halim Mahmud berkenaan hukum wanita memakai Lipstik dan Perhiasan.
“Di antara hak wanita itu adalah berhias dan suami harus mengambil kenikmatan dengan kecantikan serta perhiasannya. Firman Allah SWT:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?”
(Surah al-A’raf: 32)
Walau bagaimanapun wanita hanya harus berhias untuk para suami mereka sahaja. Tidak harus dia mempamerkan kecantikannya selain daripada suami mereka (dan sebahagian manusia yang disebut di dalam ayat di bawah) kerana ini telah keluar daripada batas-batas syariat. Al-Quran telah membataskan batas-batas ini:
Firman Allah SWT:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
(Surah al-Nur: 31)
Imam al-Tirmizi meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Musa Asya’ri bahawa Nabi SAW bersabda:
كُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ، وَالمَرْأَةُ إِذَا اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ بِالمَجْلِسِ فَهِيَ كَذَا وَكَذَا
Maksudnya: “Setiap mata itu adalah zina, dan wanita pula apabila dia keluar dalam keadaan berwangi-wangian dan berjalan di dalam majlis (di khalayak ramai) maka dia adalah demikian-demikian (iaitu seperti penzina atau seperti pelacur).”
Riwayat al-Tirmizi (2786) dan al-Darimi (2646)
Dalam hadis yang lain:
مَثَلُ الرَّافِلَةِ فِي الزِّينَةِ فِي غَيْرِ أَهْلِهَا كَمَثَلِ ظُلْمَةِ يَوْمِ القِيَامَةِ لَا نُورَ لَهَا
Maksudnya: “Perumpamaan al-Rafilah yakni wanita yang berjalan atau berhias selain untuk suaminya, adalah seperti kegelapan pada hari kiamat yang tidak ada cahaya baginya.”
Riwayat al-Tirmizi (1167)
Tujuan utama syariat Islam membataskan yang demikian adalah hendak menutup pintu fitnah khususnya fitnah yang akan berlaku dalam kalangan muda-mudi.
Berhias itu suatu perkara yang dituntut kerana Allah SWT itu Maha Indah dan Dia suka kepada keindahan, tetapi hendaklah berhias untuk suami.”
Lihat Fatawa Syeikh Abdul Halim Mahmud (1/977)
Fatwa Syeikh Muhammad Mutawalli ketika menjawab soalan berkenaan dengan wanita bertudung yang mewarnakan rambutnya.
Syeikh ditanya soalan: “Adalah harus bagi wanita yang bertudung mewarnakan rambutnya? Maka Syeikh menjawab: “Harus jika niatnya itu berhias untuk suami. Adapun jika belum berkahwin dan untuk menarik pandangan maka itu tidak harus kerana ia dianggap suatu jenis daripada penipuan.” Wallahu’alam. Lihat Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah (229).
Fatwa Syeikh Abdul Malik al-Sa’adi ketika ditanya berkenaan hukum wanita memotong rambut dan memakai celak pada dua matanya.
Syeikh ditanya: “Adakah harus wanita memotong rambutnya? Dan adakah harus wanita memakai celak di hadapan lelaki ajnabi sama ada nipis atau tebal? Dan adakah semua jenis celak itu haram? Maka Syeikh menjawab: “Seseorang perempuan itu harus memotong rambutnya jika tidak menyamai rambut lelaki. Sekiranya dia memotong sehingga pendek seperti lelaki maka hukumnya adalah haram kerana telah melakukan tasyabbuh bi rijal (iaitu menyamai lelaki). Sesungguhnya seseorang perempuan itu diharamkan menyerupai lelaki sama ada pada rambut, pakaian atau penampilannya.
Adapun celak sekiranya dia pakai di hadapan lelaki ajnabi sehingga menimbulkan fitnah sama ada nipis atau tebal maka hukumnya adalah haram, sekiranya untuk berubat dan tidak menimbulkan fitnah maka adalah diharuskan. Maka yang terlebih utamanya hendaklah tidak memakainya untuk menjaga agamanya.” Wallahu’alam.
Lihat soalan yang diajukan kepada Syeikh Mutawalli Sya’rawi no. 1543 http://www.alomah-alwasat.com/).
Larangan Islam Terhadap Kekotoran Dan Najis
Islam merupakan agama yang cintakan kepada kebersihan dan menolak kekotoran dan perkara yang membawa kepada kekotoran sama ada secara hissi ataupun ma’nawi.
Sabda Nabi SAW:
تَنَظَّفُوا فَإِنَّ الإسْلاَمَ نَظِيْفُ
Maksudnya: “Bersihkanlah diri kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.”
Riwayat Ibn Hibban
Berdasarkan hadis di atas dapatlah difahami disebalik lafaz yang disebut bahawa Islam menyuruh supaya menjauhi kekotoran kerana Islam itu bersih. Maka kebersihan lawannya ialah kekotoran.
Firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.
(Surah al-‘A’raf: 157)
Definisi Kosmetik Mesra Wudhu
Sebahagian pengeluar produk kosmetik mesra wudhu mendefinisikan bahawa produk ini adalah sejenis produk yang mudah untuk ditanggalkan. Caranya ialah hanya membasuh muka dengan air sahaja serta tidak perlu kepada sabun khusus untuk menghilangkan solekan di muka bagi tujuan untuk mengambil wudhu.
Adapun kebanyakan produk kosmetik yang tidak mesra wudhu adalah sebaliknya, iaitu susah untuk ditanggalkan dan memerlukan sabun khusus untuk ditanggalkan. Dan ada jenis produk yang bukan mesra wudhu teramat susah untuk ditanggalkan sehingga perlu dibasuh berkali-kali untuk menghilangkan solekan di muka. Sebahagian lain pula hanya menggunakan kapas dan peluntur solekan.
Berdasarkan kajian dan pemerhatian kami, dapatlah dirumuskan definisi produk kosmetik mesra wudhu adalah produk mudah dihilangkan agar tidak menghalang air wudhu sampai ke kulit.
Walaupun begitu produk yang diiktiraf sebagai mesra wudhu oleh syarikat berkenaan tidaklah menjamin ketelapan air wudhu untuk sampai ke kulit. Ini memerlukan perbincangan yang khusus.
- Ketelapan Air.
Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ berkata: “Apabila adanya di atas sebahagian anggota lilin atau tepung atau inai dan seumpama dengannya. Yang mana ianya menghalang air ke anggota, maka tidak sah taharahnya, sama ada banyak atau sedikit. Jika berbaki di atas tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya akan tetapi ianya tidak melekat (iaitu air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan). Maka sah taharahnya.” Lihat al-Majmu’ (1/467).
Begitu juga yang disebut di dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj (1/187) di dalam Bab Wudhu. Dan inilah pandangan jumhur ulama kecuali Mazhab Hanafi.
Jumhur ulama menetapkan syarat sah wudhu ialah empat kecuali mazhab Hanafi, antara salah satu syaratnya ialah syaratnya:
- Menghilangkan apa-apa yang menghalang air daripada menyentuhi anggota wudhu. Iaitu hendaklah tidak ada di atas anggota yang wajib wudhu sesuatu yang menghalang daripada sampainya air menyentuhi kulit, seperti lilin, lemak, dan sebagainya. Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/329).
Fatwa Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi berkaitan dengan soalan hukum menghilangkan cat di kuku ketika berwudhu.
Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi ditanya: “Adakah wajib bagi saya menghilangkan cat kuku ketika berwudhu? Maka Syeikh menjawab: “Ya! Sesungguhnya engkau telah pun menjawab dengan sendirinya! Selagi mana engkau mengatakan ia adalah cat yang menghalang air daripada sampai ke kulit maka wajib engkau menghilangkan ketika mengangkat hadas kecil atau besar. Adapun inai tidak mengapa. Wallahu’alam.” Lihat Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah (198).
Maka berdasarkan pandangan-pandangan para ulama di atas, maka dapatlah disimpulkan bahawa sekiranya produk kosmetik mesra wudhu tersebut merupakan satu produk yang menyebabkan air wudhu tidak menyentuhi kulit dan mengalir, maka tidak sah wudhunya. Adapun jika produk tersebut ialah produk yang mudah dihilangkan zatnya pada mana-mana anggota wudhu dan air dapat menyentuhi kulit serta mengalir maka sah wudhunya. Walaupun ianya meninggalkan sedikit kesan dan warnanya.
- Sejauh manakah produk yang diiktiraf halal dapat menjamin kesempurnaan ibadah?
Kami berpandangan, jika betul dan sahih bahawa sekiranya produk kosmetik mesra wudhu yang diiktiraf halal tersebut tidak menganggu proses ibadat dan tidak menyusahkan jalan ke arah pelaksaan ibadat maka ianya sama sekali tidak memberi kesan kepada ibadat. Bahkan jika orang yang memakai produk tersebut dengan tujuan untuk bercantik-cantik dalam menunaikan beribadat dan merasa selesa dengan pemakaian produk tersebut sepertimana galakan agama yang menyuruh berhias untuk menunaikan solat dengan memakai pakaian yang cantik, bersih, suci serta menyelesakan tubuh badan, maka ianya adalah perkara yang terpuji. Adapun sekiranya pemakaian produk tersebut menjadikan keadaan tubuh tidak selesa, khususnya sehingga membawa kepada terjejasnya hal ehwal solat, maka ini adalah kesan yang negatif kepada kesempurnaan ibadat.
Justeru itu, kami melihat jika ianya diiktiraf halal, maka secara asasnya ianya adalah baik. Persoalan berkenaan produk tersebut dan kaitannya dengan kesempurnaan ibadat, kami melihat ianya lebih kepada keadaan dan kondisi orang yang memakainya. Wallahu’alam.
Semoga dengan pencerahan ini, dapat memberi kita kefahaman yang baik dan seterusnya menjadikan ibadat kita lebih sempurna. Amiin.
Akhukum Fillah,
S.S DATUK DR ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
29 Mac bersamaan 1 Rajab 1438H