Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-92: SYEIKH AL-HUT AL-BEIRUTIY

 

 

Soalan: Siapakah Syeikh al-Hut al-Beirutiy?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

BIOGRAFI DAN SEJARAH RINGKAS SYEIKH AL-HUT

Nama beliau ialah Abu Abdullah Muhammad Bin al-Sayyid Darwish Bin al-Sayyid Muhammad al-Hut al-Beirutiy. Beliau dilahirkan di Beirut pada tahun 1209 hijrah dan berasal dari sebuah keluarga yang bertaqwa dan baik. Ketika beliau masih kecil, beliau telah menghafal al-Quran dan mempelajari ilmu tajwid daripada bapanya muridnya. Kemudian beliau mula mempelajari ilmu lain dalam berbagai bidang. Dalam masa yang sama, beliau juga telah menghafal matan al-Fiah (الألفية) dan juga matan-matan lain. Ketika itu, telah datang seorang ulama’ dari Mesir iaitu al-Alim al-Rabbani al-Syeikh Muhammad al-Musiri al-Iskandarani maka beliau mengambil kesempatan ini untuk belajar dengan ulama’ tersebut dalam bidang aqidah atau tauhid dan juga beberapa ilmu yang lain.

 

Setelah itu, beliau bermusafir ke Damsyik al-Syam pada tahun 28 hijrah bagi menyempurnakan hasrat beliau untuk menguasai bidang agama. Beliau telah mengambil ilmu agama daripada ramai para ulama’ di sana. Antara ulama’ yang paling banyak diambil ilmu agama ialah al-Allamah al-Syeikh Abdul Rahman al-Tibi yang masyhur dengan panggilan al-Syafi’e kecil (الشافعي الصغير  ), al-Syeikh Abdul Rahman al-Kuzbari dan juga al-Allamah al-Syeikh Muhammad Bin Abidin al-hanafi merupakan sohib al-Fatwa yang masyhur.

 

Kemudian beliau telah pulang ke Beirut pada tahun 31 hijrah dan beliau telah sibuk mentela’ah perkara-perkara yang berkaitan dengan al-Quran dan al-Hadith secara sendiri sehingga tahun 36 hijrah. Setelah itu, gurunya al-Syeikh Ali al-Fakhuri telah memintanya untuk mengajar di Jami’ al-Umari al-Kabir dan beliau telah mengajar fiqh kepada orang awam di masjid tersebut. Ini kerana, pada zaman itu masyarakat berada dalam kejahilan akibat meninggalkan pelajaran dan pembacaan. Pada tahun 46 hijrah, suasana telah berubah dan masyarakat mula kembali kepada pembacaan dan pelajaran. Bermula dari situ, maka lahirlah karya-karya beliau dalam pelbagai jenis cabang ilmu, antaranya kitab ini “أسنى المطالب في أحاديث مختلفة المراتب”.

 

KARYA-KARYA SYEIKH AL-HUT

Beliau mempunyai banyak karya-karya dalam pelbagai jenis bidang agama. Antaranya ialah :

 

  • في ذكر أسماء الرجال الضعفاء والمتروكين
  • رجال الإمام البخاري مرتب على حروف الهجاء أسماء
  • رسالة في بيان الضعيف من أحاديث الجامع الصغير
  • مختلقة  رسالة في أحاديث التي تتعلق بأحكام
  • منشورات فقهية
  • في شرح الأخضري للسلم
  • كتاب في تاريخ الصحابة
  • الدرة المضية في توحيد رب البرية
  • رسالة في الميراث

 

GURU-GURU SYEIKH AL-HUT

Syeikh al-Hut telah mempelajari pelbagai cabang ilmu agama daripada ulama’-ulama’ yang hebat. Antara guru-guru beliau ialah :

 

  • Al-Syeikh Ali al-Fakhuri (Ayah kepada mufti Beirut al-Syeikh Abdul Basit al-Fakhuri)
  • Al-Syeikh Muhammad al-Musiri al-Iskandarani
  • Al-Syeikh Muhammad Ibn Abidin
  • Al-Syeikh Abdul Rahman al-Tibi
  • Al-Syeikh Muhammad al-Kuzbari

 

MURID-MURID SYEIKH AL-HUT

Disebabkan sifat beliau yang alim dan zuhud, beliau disayangi dan disanjung oleh masyarkat ketika itu. Oleh itu, beliau telah melahirkan murid-murid yang hebat dan menjadi rujukan umat Islam pada masa kini. Antara murid-murid beliau yang masyhur :

 

  • Al-Syeikh Abdul Basit al-Fakhuri (mufti Beirut)
  • Al-Syeikh Qasim al-Kusti
  • Al-Syeikh Taufiq Khalid
  • Al-Syeikh Umar al-Ansi
  • Sayyid Husein Afandi

 

PUJIAN YANG DIBERIKAN KEPADA SYEIKH AL-HUT OLEH MURIDNYA

Berikut adalah gelaran dan pujian yang diberikan oleh muridnya sebelum menterjemah atau menceritakan biografi Syeikh al-Hut. Antaranya :

 

  • Daripada muridnya Syeikh Qasim Abu al-Hasan al-Kusti :

“Beliau adalah seorang imam, muhaddith, wali, penyempurna, bertakwa, mulia, pewaris generasi salaf al-soleh, guru yang besar Abu Abdullah Syeikh Muhammad Ibn al-Sayyid Darwish al-Hut”.

.

  • Daripada muridnya al-Syeikh Abdul Basit al-Fakhuri :

“Guru kami, rujukan kami, tempat kami.., ikutan kami, apabila disebut akan beliau maka tidak ada yang sama sepertinya. Beliau adalah cahaya kepada kebenaran, tanda-tanda kepada kemuliaan yang besar, ikutan kepada para muhaqqiqin, sandaran kepada mudaqqiqin, seorang ulama’ yang beramal dengan ilmunya, seorang yang sempurna serta mempunyai banyak kelebihan, imam kepada para muhaddith, seorang yang zuhud, wara’, ahli ibadah, seorang yang mempunyai akhlak yang terpuji iaitu guruku Abu Abdullah Syeikh Muhammad Ibn al-Sayyid Darwish al-Hut”.

 

Wafat

Beliau telah wafat pada bulan zulhijjah tahun 1276 hijrah dan telah dikebumikan di perkuburan al-Basyurah yang terletak di Beirut selepas beliau sakit.

 

Penutup

Demikianlah sejarah ringkas kehidupan seorang tokoh yang besar dan hebat dalam dunia Islam iaitu Syeikh al-Hut. Syeikh al-Hut telah menafkahkan dirinya dalam menyebarkan ilmu dan juga menghasilkan karya-karya yang bermutu untuk ditinggalkan kepada umat ini, semoga dengan itu umat ini akan terus terpelihara daripada segala unsur-unsur yang boleh merosakkan agama yang suci ini. Amin.