Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan hadith Muttafiq dan Muftariq?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Muttafiq dan Muftariq adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang melibatkan lafaz dan tulisan dalam sesebuah hadith.

 

Definisi Hadith Muttafiq dan Muftariq

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan Hadith Muttafiq dan Muftariq adalah seperti berikut:

 

مُتَّفِقٌ لَفْظاً وَخَطًّا مُتَّفِقْ * وَضِدُّهُ فِيمَا ذَكَرْنَا المُفْتَرِقْ 

Maksudnya: “Apabila sama lafaz atau tulisan dinamakan [Hadith Muttafiq] dan lawan (sebaliknya) bagi apa yang kami nyatakan dikenali [Hadith Muftariq]”.

 

Berdasarkan definisi ini, kita dapat memahami bahawa hadith Muttafiq dan Muftariq adalah hadith yang sama dari sudut lafaz (sebutan) dan juga tulisan (ejaan) tetapi yang dimaksudkan adalah zat yang berbeza. Walaubagaimanapun, ibarah Imam al-Baiquniy sedikit mengelirukan seolah-olah hadith Muttafiq dan Muftariq adalah dua jenis hadith yang berbeza.

 

Faedah mengetahui jenis hadith ini

Antara faedah mengetahui jenis hadith ini adalah untuk menolak sangkaan bagi nama sama yang banyak adalah orang yang sama walaupun hakikatnya adalah berbeza.

 

Jenis-jenis hadith Muttafiq dan Muftariq

Jenis-jenis ini disebut oleh Imam al-Iraqiy di dalam manzhumahnya:

  • Sesiapa yang sama dari sudut namanya dan nama ayahnya. Contohnya: terdapat enam orang yang bernama al-Khalil bin Ahmad.

 

  • Sesiapa yang sama dari sudut namanya dan nama ayahnya serta datuknya. Contohnya: terdapat empat orang yang bernama Ahmad bin Ja’far bin Hamdan.

 

  • Sesiapa yang sama dari sudut kunniyyah (kurniaan) dan nisbahnya. Contohnya: terdapat dua orang yang bernama Abi Imran al-Juwaniy.

 

  • Sesiapa yang sama dari sudut nama dan kunniyyah (kurniaan) ayahnya. Contohnya: terdapat empat 4 orang yang bernama Soleh bin Abi Soleh.

 

  • Sesiapa yang sama dari sudut namanya, nama ayahnya dan juga nasabnya. Contohnya: Muhammad bin Abillah al-Ansari.

 

  • Sesiapa yang sama dari sudut nama atau kunniyyah tanpa menyatakan perbezaan antara satu sama lain seperti ayah, kunniyyah, nisbah atau syuhrah (gelaran yang terkenal atau masyhur). Jenis ini juga dinamakan al-Muhmal (المُهْمَل) tetapi para ahli hadith dapat membezakannya antara satu sama lain dengan tabaqat (peringkat) setiap perawi atau seumpama dengannya.

 

Persoalan: Bagaimana membezakan antara perawi dengan perawi yang lain?

 

Jawapan: Antara cara yang digunakan oleh para ahli hadith bagi membezakan antara satu perawi dengan perawi yang lain adalah dengan meneliti dan menekuni sanad-sanad, mengetahui tabaqat bagi setiap perawi, mengetahui guru-guru bagi setiap perawi dan juga istilah para imam. Selain itu juga, dengan merujuk karya atau kitab yang khusus dalam masalah ini seperti kitab al-Muttafiq wa al-Muftariq oleh al-Khatib al-Baghdadi.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam ilmu Hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.