Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-100: SEBAB WURUD HADITH “SETIAP AMALAN ITU BERGANTUNG PADA NIAT”

 

Soalan:

Apakah sebab turunnya hadith “Setiap amalan itu bergantung pada niat” ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Matan Hadith

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

 

Takhrij Hadith

Riwayat al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya, Muslim (1907), Abu Daud (2201), al-Tirmizi (1646), Ibn Majah (4227), al-Nasaie (1/59-60), Ahmad dalam al-Musnad (1/25 dan 43), al-Daruqutni, Ibn Hibban dan al-Baihaqi.

 

Sebab Wurud Hadith

Imam al-Suyuthi telah mengarang sebuah kitab yang bagus berkaitan sebab-sebab sesebuah hadith itu diucapkan oleh Rasulullah SAW. Berdasarkan soalan di atas, telah berkata al-Zubair bin Bakar di dalam Akhbar al-Madinah:

“Apabila Nabi SAW tiba di Madinah, selepas beberapa ketika. Sebahagian daripada para sahabat RA telah jatuh sakit. Kemudian tiba seorang lelaki di Madinah lalu dia berkahwin dengan seorang wanita yang juga berhijrah dari Makkah. Maka Baginda SAW duduk  di atas mimbar lalu bersabda: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat sebanyak tiga kali. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya. Kemudian Baginda SAW mengangkat tangan lalu berdoa: “Ya Allah, Kau hilangkan wabak ini daripada kami sebanyak tiga kali”. Pada waktu pagi, Baginda SAW bersabda lagi: “Aku telah didatangi seorang tua yang demam panas, terdapat bintik-bintik hitam yang melingkari tangannya. Dia (orang tua) berkata: Demam panas ini, apa pendapatmu mengenainya? Maka Nabi SAW bersabda: Celupkannya di Khum (kolam atau mata air di Khum)”. [Lihat: al-Luma’ fi Asbab Wurud al-Hadith, 61,62]

 

Antara sebab lain adalah sebagaimana yang diucapkan oleh Imam al-Tabarani telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Mu’jam al-Kabir dengan rantai perawian yang thiqah, daripada Ibn Mas’ud RA, bahawa beliau berkata:

 

كَانَ فِينَا رَجُلٌ خَطَبَ امْرَأَةً يُقَالُ لَهَا: أُمُّ قَيْسٍ، فَأَبَتْ أَنْ تَتَزَوَّجَهُ حَتَّى يُهَاجِرَ، فَهَاجَرَ فَتَزَوَّجَهَا، فَكُنَّا نُسَمِّيهِ: مُهَاجِرَ أُمِّ قَيْسٍ

Maksudnya: “Terdapat di kalangan kami seorang lelaki yang meminang seorang perempuan yang dikenali dengan nama Ummu Qais.  Perempuan tersebut enggan mengahwininya kecuali apabila lelaki tersebut berhijrah ke Madinah. Dia pun berhijrah dan mengahwini perempuan tersebut. Maka kami menamakannya sebagai “Penghijrah Ummu Qais”.

 

Aplikasi Hadis Dalam Kehidupan

Hadith ini memerlukan dua perkara dalam kehidupan kita, pertamanya niat yang tulus agar dipahalakan Allah. Antara tujuan niat membezakan antara adat dengan ibadah, jika ibadah akan dipahalakan Allah SWT.

 

Kedua perlunya kita berhijrah daripada baik kepada yang lebih baik dan menggunakan hijrah untuk membaiki kehidupan kita. Sejarah telah membuktikan bermulanya kejayaan Rasulullah SAW dan para sahabat selepas berhijrah.

 

Al-Syeikh al-Khidri berkata: “Dengan hijrah ini, telah sempurnalah bagi Rasul kita SAW mengikut sunnah saudaranya di kalangan para Nabi. Ini kerana sunnah mereka adalah berhijrah dari tempat kelahiran mereka. Seperti berlaku daripada Ibrahim AS hingga kepada Nabi Isa AS”.

 

Seperti kata Dr. Muhammad Abu Faris: “Sesungguhnya hijrah sepenting-penting peristiwa dalam tarikh dakwah Islamiyah. Ini kerana dengannya terbentuk kuasa politik bagi umat Islam dalam menyebarkan agamanya serta mempertahankan kemuliaannya”.

 

Penutup

Kesimpulannya, tidak semua hadith mempunyai asbab wurud sesebuah hadith. Ini kerana, sebahagian hadith diungkapkan atau diucapkan disebabkan soalan yang ditanya atau peristiwa yang berlaku. Akhirnya, semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita dalam agama ini. Amin.