Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-61 : Sumber dan makna hadith Allah SWT menahan hujan

 

 

Soalan

Apakah hadith Allah SWT menahan hujan mempunyai asal?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

 

Matan Hadith

Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW:

 

إنَّ قبلَ خروجِ الدَّجَّالِ ثلاثَ سنواتٍ شِدادٍ ، يُصِيبُ الناسَ فيها جُوعٌ شديدٌ ، يأمرُ اللهُ السماءَ السنةَ الأولى أن تَحْبِسَ ثُلُثَ مَطَرِها ، ويأمرُ الأرضَ أن تَحْبِسَ ثُلُثَ نباتِها ، ثم يأمرُ السماءَ في السنةِ الثانيةِ فتَحْبِسُ ثُلُثَيْ مَطَرِها ، ويأمرُ الأرضُ فتَحْبِسُ ثُلُثَيْ نباتِها ، ثم يأمرُ السماءَ في السنةِ الثالثةِ فتَحْبِسُ مطرَها كلَّه ، فلا تَقْطُرُ قُطْرةً ، ويأمرُ الأرضَ فتَحْبِسُ نباتَها كلَّه فلا تُنْبِتُ خضراءَ ، فلا يَبْقَى ذاتُ ظِلْفٍ إلا هَلَكَت إلا ما شاء اللهُ ، قيل : فما يُعِيشُ الناسَ في ذلك الزمانِ ؟ قال : التهليلُ ، والتكبيرُ ، والتحميدُ ، ويُجْزِئُ ذلك عليهم مَجْزَأَةَ الطعامِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiga tahun yang penuh dengan kesukaran sebelum keluarnya dajjal, manusia akan ditimpa padanya dengan kelaparan yang melampau, Allah SWT memerintahkan langit pada tahun pertama agar menahan satu pertiga daripada hujan dan Allah SWT juga memerintahkan bumi untuk menahan satu pertiga daripada sumber tanah. Kemudian Allah SWT memerintahkan langit pada tahun kedua agar menahan dua pertiga daripada hujan dan Allah SWT juga memerintahkan bumi untuk menahan dua pertiga daripada sumber tanah. Kemudian Allah SWT memerintahkan langit pada tahun ketiga agar menahan terus hujan dan sejak dari itu hujan tidak lagi turun walaupun setitik. Di samping itu, Allah SWT juga memerintahkan bumi untuk menahan terus daripada sumber tanah sehingga bumi tidak lagi tumbuh kehijauan. Maka tidak akan hidup lagi binatang yang berkuku melainkan kesemuanya mati kecuali yang tinggal apa yang Allah SWT kehendaki sahaja. Dikatakan: Bagaimana manusia hidup di zaman itu? Nabi SAW bersabda: “Tahlil, takbir dan tahmid ini akan memberi mereka makanan sama seperti makanan”. [Riwayat Ibn Majah, kitab al-Fitan, bab fitnah Dajjal dan keluarnya Isa putera Maryam, no. Hadith 4067, Sahih Ibn Khuzaimah, no. Hadith 7875, 2:1302] [Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Jami’ al-Saghir wa Ziyadatuhu 2:1302, no. hadith 7875]

 

Fiqh al-Hadith

Hadith ini menunjukkan akan perihal atau keadaan akhir zaman sebelum waktu munculnya Dajjal ke bumi  serta salah satu tanda bahawa Dajjal akan turun ke dunia adalah dengan terhalangnya hujan dan juga tumbuhan. Berdasarkan zahir teks hadith tersebut, Nabi SAW menceritakan kepada kita bahawa sebelum munculnya Dajjal, keadaan bumi ini akan akan kering kontang dan hujan pun tidak turun. Selain itu juga, manusia tidak mempunyai apa-apa makanan untuk dimakan hanya zikir sahaja sudah mampu mengenyangkan mereka.

 

Ini menunjukkan bahawa rahmat dan kemuliaan Allah SWT ke atas umat Islam pada waktu itu iaitu agar sentiasa ingat kepada-Nya. Tambahan pula, zikir boleh menjadikan badan kita kuat dan bertenaga, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA apabila Fatimah RA mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa tangannya melecet dan menginginkan seorang hamba. Sabda Nabi SAW:

 

أَلَا أَدُلُّكُمَا عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ ؟ إِذَا أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا، أَوْ أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا، فَكَبِّرَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِيْنَ، وَسَبِّحَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِيْنَ، وَاحْمَدَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِيْنَ، فَهَذَا خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ

Maksudnya: “Tidakkah kalian berdua mahu aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang hamba? Maka apabila kalian berdua mendatangi katil atau dalam keadaan kalian berdua berbaring untuk tidur, bertakbirlah sebanyak 33 kali, bertasbihlah sebanyak 33 kali dan bertahmidlah sebanyak 33 kali. Hal ini adalah lebih baik untuk kalian berdua berbanding seorang hamba”. [Riwayat al-Bukhari, kitab doa, bab takbir dan tasbih ketika tidur, no. hadith 5843]

 

Berdasarkan hadith ini, jelas menunjukkan bahawa dengan kita sentiasa melazimi zikir, ia secara langsung dapat menjadikan badan kita kuat.

Definisi Dajjal

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (acuan) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.

 

Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:

  • Seorang pemuda.
  • Rambutnya kerinting dan kusut masai.
  • Sebelah daripada matanya buta.
  • Tertulis antara dua matanya كفر (kufur).

 

Petunjuk Nabi SAW dalam menghadapi fitnah Dajjal

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal”. [Riwayat Muslim, kitab solat bagi orang musafir dan mengqasarkannya, bab kelebihan surah al-Kahfi dan ayat al-Kursi, no. Hadith 1342]

 

Ini kerana, Imam al-Suyuthi mengatakan pada awal surah tersebut menceritakan akan keajaiban-keajaiban dan tanda-tanda maka sesiapa yang mengtadabburnya (membaca serta memahami maknanya) tidak akan terkena fitnah Dajjal dan begitu juga di akhirnya (akhir surah al-Kahfi). [Lihat: Al-Dibaj ala Muslim, 2:403]

 

Cara Menghadapi Fitnah Dajjal

Antara cara lain untuk berdepan dengan fitnah Dajjal adalah:

  • Berpegang dengan petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Hadith.
  • Memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada segala fitnah dan memperbanyakkan amalan soleh.
  • Beruzlah (menjauhkan diri) daripada fitnah yang berlaku.
  • Menyertai dan sentiasa bersama dengan Jemaah Islam yang ada pada waktu itu.
  • Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT.
  • Dajjal tidak boleh memasuki Mekah dan Madinah.
  • Memperbanyakkan zikrullah (zikir kepada Allah SWT) dan sentiasa ingat kepada-Nya berdasarkan hadith di atas.

 

Penutup

Kesimpulannya, kita telah berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.