Irsyad al-Hadith Siri ke-53: Ucapan Salam : Hadith dan Feqahnya

 

 

Soalan

Apakah hukum memberi salam kepada bukan Islam?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Mukadimah

Merujuk kepada lazimnya seseorang itu mengucapkan salam kepada saudaranya. Begitu juga, ucapan selamat kepada yang bukan Islam seperti kalimah assalamualaikum, salam sejahtera, selamat pagi dan lain-lain lagi. Kesemua lafaz atau kalimah ini menggambarkan atau membawa maksud doa. Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan membincangkan berkenaan “Ucapan Salam dari sudut Hadith dan Feqahnya”.

 

Definisi salam

 

  • Dari sudut bahasa

Menurut Kamus Dewan, salam bermaksud sejahtera, damai dan hormat. [Lihat: Kamus Dewan, 1373] Ibn Manzhur berkata di dalam kitabnya, salam bermaksud selamat, sejahtera dan juga berlepas diri. [Lihat: Lisan al-Arab, 12:289]

 

  • Dari sudut Istilah

Salam merupakan ucapan penghormatan yang diucapkan oleh orang yang beragama Islam kepada saudaranya (seagama dengannya). Maksud ini diambil berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلَامٌ

Maksudnya: “Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera”. [Yunus: 10]

 

Lafaz salam di dalam al-Quran

Antara lafaz “Salam” yang terdapat di dalam al-Quran:

 

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. [al-Nisa’:86]

 

Ayat ini adalah merupakan khitab (cara komunikasi) Allah SWT kepada hamba-hambanya yang mukallaf bahawa mereka diminta untuk mengucapkan atau membalas ucapan tersebut dengan lebih baik atau sama seperti yang diucapkan apabila terdapat manusia yang mendoakan kita dengan panjang umur atau dengan kesejahteraan.

 

سَلَامٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ

Maksudnya: “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu”. [al-Ra’d:24]

 

Berdasarkan ayat di atas, para Malaikat akan mengucapkan salam sejahtera kepada ahli syurga akibat daripada kesabaran yang mereka tempuhi di dunia maka syurga adalah sebaik-baik tempat buat mereka. Berdasarkan ayat ini, salam merupakan ucapan penghormatan yang mulia kerana ia digunakan kepada ahli syurga. Selain itu, firman Allah SWT:

 

إِلَّا قِيلًا سَلَامًا سَلَامًا

Maksudnya: “Mereka hanya mendengar ucapan: " Selamat! Selamat! " (dari satu kepada yang lain)”. [al-Waqi’ah:26]

 

Di dalam ayat ini, Allah SWT telah menceritakan kepada kita akan keadaan di dalam syurga, di mana kita tidak akan mendengar perkataan yang sia-sia melainkan ucapan selamat dan sejahtera antara sesama ahli syurga.

 

Lafaz-lafaz salam

Antara lafaz “salam” yang boleh digunakan adalah:

  • السلام عليكم
  • السلام عليكم ورحمة الله
  • السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Di dalam sebahagian riwayat ada disebutkan penambahan “ومغفرته” dan juga “ورضوانه”. Antaranya yang dinyatakan oleh Ibn Sunni di dalam kitabnya, daripada riwayat Anas bin Malik RA:

 

كان رجل  يمُر بالنبيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يقول : السَّلامُ عَلَيْكَ يا رسول الله ، فيقولُ له النبيُّ صَلى الله عَليه وسلم : (وَعَلَيْكَ السَّلامُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه وَمَغْفِرَتُه وَرضْوَانُه)

Maksudnya: “Terdapat seorang lelaki berjalan berdekatan dengan Nabi SAW sambil berkata: Salam sejahtera ke atas engkau wahai Rasulullah! Maka Nabi SAW menjawab kepada lelaki tersebut: Ke atas engkau salam, rahmat Allah, keampunan-Nya serta keredhaan-Nya”. [Lihat: Matan Amal al-Yaum wa al-Lailah, 197]

 

Namun riwayat tersebut dinilai dhaif oleh ahli hadith seperti Imam Ibn al-Qayyim [Lihat: Zad al-Ma’ad, 2:382] dan juga al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan bahawa sanadnya bermasalah. [Lihat: Fath al-Bari, 11:6]

 

Cara menjawab salam

Allah SWT telah mengajar kita cara untuk kita menjawab salam apabila seseorang itu mengucapkan salam kepada kita, berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. [al-Nisa’:86]

 

Merujuk kepada firman Allah SWT ini, jelaslah menunjukkan bahawa kita dituntut untuk menjawab penghormatan atau salam yang diberikan dengan lebih baik atau membalasnya (jawab) sama seperti yang diucapkan itu.

 

Kelebihan salam dan perintah untuk menyebarkannya

Antara hadith Nabi SAW yang menceritakan akan kelebihan “Salam” serta perintah menyebarkannya:

 

  • Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA berkata:

 

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : ( تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ )

Maksudnya: “Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 11, 27, 5767 dan di dalam Riwayat Muslim, no. Hadith 56]

 

Antara lain memberi maksud agar salam menjadi budaya dan doa sesama orang Islam samada yang dikenali atau tidak.

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

 

خَـلَقَ اللَّهُ عَزَّ وجَلَّ آدَمَ علـى صُورَتِهِ طُولهُ سِتُّونَ ذِراعاً، فَلَـمَّا خَـلَقَهُ قال: اذْهَبْ فسَلِّـمْ علـى أولئِكَ: نَفَرٍ مِنَ الـمَلائِكَةِ جُلُوسٍ فـاسْتَـمعْ ما يُحَيُّونَكَ فإنَّها تَـحِيَّتُكَ وتـحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ، فقال: السَّلامُ عَلَـيْكُمْ، فقالوا: السَّلامُ عَلَـيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَزَادُوهُ: وَرَحمَةُ اللَّهِ

Maksudnya: “Telah Allah SWT cipta Adam dengan ciri-cirinya iaitu dengan tingginya 60 hasta. Setelah Allah SWT menciptanya, Allah SWT berfirman: Pergilah dan ucapkanlah salam kepada malaikat yang duduk itu dan dengarkan baik-baik bacaan salam mereka kepadamu kerana itu adalah sebagai salam penghormatan dan juga anak cucu keturunanmu. Adam mengucapkan “السَّلامُ عَلَـيْكُمْ”, lalu para malaikat berkata: “السَّلامُ عَلَـيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ”. Para malaikat telah menambah (وَرَحْمَةُ اللَّهِ)”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5759 dan Riwayat Muslim, no. Hadith 5075]

 

Hadith ini jelas menggambarkan asal permulaan salam sehingga ia disyariatkan sejak dahulu lagi. Inilah penghormatan sesama manusia mengikut neraca syariah.

 

  • Daripada al-Barra’ bin Azib RA berkata:

 

أمرنا رسول الله بسبعٍ: بعيادةِ الـمريض، واتِّبـاع الـجنائز، وتشميتِ العاطس، ونصرِ الضعيف، وعونِ الـمظلوم، وإفشاء السلام، وإبرارِ القَسَم

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memerintahkan kami dengan tujuh perkara iaitu melawat orang yang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang dizalimi, menyebarkan salam dan menunaikan sumpah”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5766, Riwayat Muslim, no. Hadith 3848]

 

Dalam hadith ini terdapat 7 arahan Nabi SAW kepada kita untuk dilaksanakan terutamanya hubungan sesama manusia, salah satunya ialah menyebarkan salam. Natijah pelaksanaan perintah ini akan melahirkan masyarakat yang saling mawaddah dan berkasih sayang.

 

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

لا تَدْخُـلُوا الـجَنَّةَ حتـى تُؤمِنُوا، ولا تُؤمِنُوا حتـى تَـحابُّوا أوَلا أدُلُّكُمْ علـى شَيءٍ إذا فَعَلْتُـمُوهُ تَـحَابَبْتُـمْ؟ افْشُوا السّلامَ بَـيْنَكُمْ

Maksudnya: “Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 81]

 

Hadith ini dengan jelas mengkhabarkan kepada kita bahawa salam merupakan punca dan asbab kasih sayang yang sebenarnya merupakan sejuzuk daripada tanda kesempurnaan iman yang akhirnya melayakkan kita menuju ke syurga-Nya.

Hukum mengucapkan salam

Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan di atas, ia berkaitan dengan kelebihan dan galakan memberi salam sesama umat Islam. Dengan itu, para ulama’ mengatakan hukum mengucapkan salam adalah sunat yang sangat digalakkkan dan amat dituntut oleh Rasulullah SAW (سنة مستحبة) walaupun di sana terdapat perintah atau arahan daripada Nabi SAW untuk kita menyebarkan dan mengucapkan salam, namun perintah tersebut bukanlah bersifat wajib. Inilah pendapat yang masyhur dalam kalangan para alim ulama;. Adapun hukum menjawab salam adalah wajib kerana Allah SWT memerintahkan kita untuk menjawabnya, berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama)”. [al-Nisa’:86]

 

Telah berkata Imam al-Nawawi dalam masalah hukum mengucap dan menjawab salam:

 

“Ketahuilah bahawa memulakan salam adalah sunnah yang disukai dan ia bukanlah bersifat wajib. Ia juga merupakan Sunnah Kifayah yang bermaksud apabila seorang muslim dalam keadaan berjemaah (berkumpulan) maka sudah memadai bagi mereka jika seorang sahaja daripada kalangan mereka yang mengucapkannya. Jika kesemuanya mengucapkan salam maka itu adalah lebih baik. Adapun menjawab salam, jika yang diucapkan salam itu seorang maka dia perlulah menjawabnya dan jika yang diucapkan itu adalah ramai atau berkumpulan maka ia menjadi fardhu kifayah ke atas mereka untuk menjawabnya. Apabila seorang daripada mereka sudah menjawab salam maka ia sudah memadai bagi yang lain dan jika kesemuanya tidak menjawab maka kesemuanya berdosa. Namun, jika kesemuanya menjawab salam maka ia adalah di tahap yang paling sempurna dan baik”. [Lihat: al-Azkar, 394]

 

Cara memberi salam dalam Islam

Di dalam sebuah hadith  yang sahih bahawa Nabi SAW telah mengajar kita cara untuk memberi atau mengucapkan salam sesama Islam.

 

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

يُسَلِّمُ الرَّاكِبُ عَلَى الْمَاشِي ، وَالْمَاشِي عَلَى الْقَاعِدِ ، وَالْقَلِيلُ عَلَى الْكَثِيرِ

Maksudnya: “Hendaklah orang yang menaiki kenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan dan orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang ramai”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5765, Riwayat Muslim, no. Hadith 4019]

 

Berdasarkan hadith ini menunjukkan disunatkan kepada kita untuk memulakan ucapan salam kerana ia adalah sunnah yang amat disukai oleh Rasulullah SAW. Di samping itu juga, tidak menjadi masalah bagi orang yang berjalan atau orang yang duduk untuk mengucapkan salam jika orang yang berkenderaan atau orang yang berjalan tidak mengucapkannya walaupun mereka inilah yang sepatutnya memulakan ucapan salam berdasarkan hadith di atas. Ini bertujuan bagi menghidupkan sunnah Rasulullah SAW.

 

Hukum mengucap dan menjawab salam bagi orang yang bukan Islam

Para ulama’ tidak membenarkan kita untuk memulakan ucapan salam kepada orang yang bukan Islam kerana Nabi SAW telah melarang kita untuk melakukan hal yang sedemikian, berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لا تبدَؤوا اليهودَ ولا النصارى بالسلامِ

Maksudnya: “Janganlah kalian memulakan ucapan salam kepada orang Yahudi dan juga Nasrani”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2624]

 

Manakala dalam masalah menjawab salam kepada orang yang bukan Islam, para ulama’ juga membenarkan hal tersebut. Namun berlaku sedikit perselisihan pendapat antara ulama’ dalam menentukan lafaz yang sepatutnya diucapkan ketika menjawab salam mereka. Terdapat dua pendapat dalam masalah ini:

 

  • Pendapat Pertama: Kita hanya dibenarkan untuk menjawab salam mereka dengan ringkas iaitu dengan lafaz “وعليكم” sahaja. Antara dalil yang digunakan adalah daripada riwayat Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إذا سلَّمَ عليكُم أحدٌ من أَهْلِ الكتابِ فقولوا: وعليكُم

Maksudnya: “Apabila ahli kitab mengucapkan salam ke atas kamu, maka katakanlah kepada mereka: (وعليكم) ”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 13267]

 

  • Pendapat Kedua: Kita dibenarkan untuk menjawab ucapan tersebut sama seperti yang diucapkan atau lebih daripada itu tetapi ia perlulah jelas bahawa apa yang diucapkan itu tidak mempunyai maksud yang tidak baik. Antara dalil yang digunakan adalah berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. [al-Nisa’:86]

 

Walaupun Islam membenarkan kita sebagai umat Islam untuk menjawab salam daripada orang yang bukan Islam,  para ulama’ telah membahagikannya kepada tiga keadaan dalam hukum menjawab salam kepada mereka ini:

 

  • Pertama: Apabila orang yang bukan Islam itu mengucapkan salam dengan lafaz yang jelas yang tidak ada padanya perkataan yang tidak baik iaitu seperti “السلام عليكم”, maka kita dibolehkan untuk menjawab “وعليكم السلام” sepertimana yang diucapkan itu tanpa meringkaskannya dengan ucapan “وعليكم” sahaja ataupun dengan ucapan yang lebih baik daripada ucapan mereka.

 

  • Kedua: Apabila orang yang bukan Islam itu mengucapkan salam dengan lafaz yang tidak jelas ataupun kita syak dengan ucapannya, maka dalam hal ini kita hanya dibenarkan untuk menjawab dengan “وعليكم” sahaja kerana dikhuatiri apa yang diucapkan itu adalah perkara yang tidak baik.

 

  • Ketiga: Apabila orang yang bukan Islam itu mengucapkan salam dengan lafaz yang tidak baik dengan jelas seperti “السَّامُ عليكم” yang bermaksud mati.

 

Tarjih dalam masalah menjawab salam daripada orang yang bukan Islam

Apabila seorang yang bukan Islam itu mengucapkan salam kepada kita tanpa terdapat pada lafaz tersebut perkataan yang tidak baik maka jawablah ucapan tersebut sama seperti yang diucapkan atau lebih baik daripada itu. Ini kerana, ia termasuk di dalam kewajipan akhlak dan adab bersosial di dalam masyarakat yang mana kedua-dua ini adalah sangat dituntut di dalam Islam. Pada saat yang sama, kami juga selesa dengan pendapat yang mengatkan cukup sekadar menjawab dengan “وعليكم”, ini kerana nas menunjukkan akan keadaan itu dan keluar daripada khilaf.

 

Penutup

Oleh yang demikian, Islam adalah agama yang bersifat meraikan selagimana ia tidak menggadaikan prinsip dan nilai Islam. Untuk itu, marilah sama-sama kita amalkan budaya memberi salam dalam kehidupan seharian kita kerana ia adalah sunnah yang amat disukai oleh Rasulullah SAW. Tambahan pula, budaya ini sudah semakin dilupakan dan tidak diamalkan di dalam masyarkat kita pada hari ini. Ini kerana, mengucapkan salam tidak memerlukan belanja atau tenaga, ia cuma memerlukan kita melafazkannya dengan bibir yang disertakan hati yang ikhlas. Betapa mulianya salam sehingga Jemaah haji yang pulang dari Mekah salah satu daripada tanda hajinya mabrur adalah sentiasa suka memberi salam. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah Nabi SAW serta memelihara kita daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.


Cetak   Emel