Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-137: HADITH MU’DHAL (المعضل)

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan hadith Mu’dhal?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Mu’dhal merupakan salah satu daripada jenis-jenis hadith yang lemah atau dhaif.

 

Definisi Hadith Mu’dhal

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan hadith Mu’dhal adalah seperti berikut:

 

وَالمُعْضَلُ السَّاقِطُ مِنْهُ اثْنَانِ

Maksudnya:Dan [Hadith Mu’dhal] pula yang gugur daripadanya (sanad) dua (perawi)”.

 

Di dalam manzhumah di atas, kita memahami bahawa Imam al-Baiquniy memberi gambaran kepada kita bahawa hadith Mu’dhal adalah hadith yang pada sanadnya gugur dua orang perawi. Namun demikian, para ulama’ berbeza dalam memberi definisi terhadap hadith Mu’dhal ini:

 

Definisi Hadith Mu’dhal

Para ulama’ hadith telah memberikan beberapa definisi berkaitan hadith Mu’dhal, antaranya adalah:

 

  • Pertama: Apa gugur daripada sanad dua orang perawi. Ini adalah definisi yang dipilih oleh Imam al-Baiquniy.

 

  • Kedua: Apa yang gugur daripada sanad dua orang perawi dan ke atas. Ini merupakan Imam Ibn Solah.

 

  • Ketiga: Apa yang gugur daripada sanad dua orang perawi dan ke atas secara berturut-turut.

 

  • Keempat: Apa yang dibuang daripada sanad iaitu sahabat dan Nabi SAW. Ini adalah hadith yang Munqathi’ kerana sanadnya hanya sampai pada tabi’in.

 

  • Kelima: Apa yang gugur daripada dua orang perawi secara bersambung, tidak pada awal sanad dan juga tidak pada akhir sanad. Definisi ini adalah paling jauh berbanding definisi-definisi yang lain.

 

Definisi Yang Dipilih

Setelah melihat definisi-definisi di atas, kami lebih cenderung pada definisi yang ketiga iaitu apa yang gugur daripada sanad dua orang perawi dan ke atas secara berturut-turut samada gugur itu pada awal dan akhir sanad.

 

Contoh Hadith Mu’dhal

Apa yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwattha’ dengan menggunakan lafaz “بَلَغَهُ”.

 

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

لِلْمَمْلُوْكِ طَعَامُهُ وَكِسْوَتُهُ بِالمَعْرُوْفِ وَلَا يُكَلِّفُ مِنَ الْعَمَلِ إِلَّا مَا يُطِيْقُ

Maksudnya: “Seseorang yang dimiliki (hamba) berhak untuk mendapatkan makanannya dan juga pakaiannya dengan cara yang ma’ruf (baik) dan janganlah bebani mereka dengan sesuatu pekerjaan melainkan dengan apa yang dia mampu”. [Riwayat Malik (1769)][Lihat: al-Muwattha’ menurut riwayat Yahya al-Laithi, 980/2]

 

Hadith atau riwayat ini merupakan hadith Mu’dhal kerana padanya (sanad) terdapat dua orang perawi yang gugur. Akan tetapi, hadith ini mempunyai jalan atau jalur lain yang bersambung.

 

Hukum Hadith Mu’dhal

Hadith Mu’dhal adalah dhaif, bahkan ia lebih buruk daripada hadith Mursal kerana perawinya lebih banyak gugur di dalam sanad berbanding hadith Mursal tetapi jika ia diriwayatkan melalui jalur lain yang sama sepertinya atau lebih baik daripadanya akan terangkat atau sampai ke tahap hasan li ghairihi (حسن لغيره) dan hadith atau riwayat tersebut diterima.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.

 

Wallahua’lam