Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Al-Hadith Siri Ke-42: Status Hadith Ayam Berkokok Kerana Melihat Malaikat

Soalan:
Apakah status hadith ayam berkokok kerana melihat malaikat ?
 
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
 
Berdasarkan persoalan di atas, pertamanya kami akan menyatakan matan (teks) dan sumber hadith tersebut:
 
Matan Hadith
 
Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
 
إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ، فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا، وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا
 
Maksudnya: “Jika kamu mendengar ayam berkokok maka mohonlah kepada Allah SWT akan kurniaan-Nya, kerana ia (ayam) melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar bunyi (suara) keldai maka mohon perlindunganlah kepada Allah SWT daripada Syaitan, kerana ia (keldai) sedang melihat syaitan”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 3058, Muslim, no. Hadith 4908, Abu Daud, no. Hadith 4438 dan al-Tirmizi, no. Hadith 3381]
 
 
Hukum Hadith
 
Hadith ini adalah sahih dan ia merupakan hadith Muttafaqun ‘alaih (متفق عليه) kerana ia terdapat di dalam sahih al-Bukhari dan juga sahih Muslim ataupun ia diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan juga Imam Muslim.
 
 
Makna Hadith
 
Para ulama’ memahami makna hadith ini bahawa kita diminta untuk berdoa kepada Allah SWT ketika mendengar bunyi ayam berkokok serta dalam masa yang sama kita juga mengharapakan agar para malaikat mengaminkan doa kita dan istighfar para malaikat kepada kita. Selain itu juga, agar para malaikat ini menjadi saksi akan keikhlasan dan kerendahan (kehinaan) diri kita ketika memohon kepada Allah SWT. Tambahan pula, hadith ini menunjukkan sunat kita berdoa ketika kehadiran orang-orang yang soleh. Antara kelebihan yang ada pada ayam ialah dengan mengetahui waktu-waktu walaupun kadang-kadang siang itu panjang dan juga kadang-kadang siang itu pendek. Begitu juga, ia berkokok sebelum dan selepas subuh. Maha suci Allah yang menjadikan ayam seperti itu. Di samping itu juga, apabila kita mendengar bunyi atau suara keldai maka pohonlah kepada Allah SWT agar kita dijauhi daripada keburukan dan kejahatan was-was syaitan. [Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari, 5:309] Dikatakan hadith ini menunjukkan bahawa turunnya rahmat ketika hadirnya orang-orang yang soleh maka kita disunatkan untuk berdoa pada waktu itu dan turunnya kemurkaan Allah SWT ketika kita melihat ahli maksiat maka disunatkan kita untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT. [Aun al-Ma’bud, 9:238]
 
Penutup
 
Akhirnya, semoga dengan sedikit pencerahan berkaitan hadith ini dapat memberi manfaat kepada kita dan semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini.
 
Wallahu a'lam.