Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

 

Soalan: Apakah terdapat doa untuk dibaca ketika turunnya hujan?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Hujan merupakan salah satu daripada nikmat-nikmat Allah SWT kepada makhluk-Nya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ ۚ وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ

al-Syura:28

Maksudnya: “Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata. Dan (ingatlah) bahawa Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsan-Nya), lagi Yang Maha Terpuji.”

 

Menurut Imam Ibn ‘Uyainah bahawa apa yang dinamakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan “مَطَرَ” (hujan) adalah menunjukkan kepada azab iaitu mana-mana lafaz atau kalimah “مَطَرَ” (hujan) di dalam al-Quran menunjukkan kepada azab. [Lihat: Fath al-Bari, 189/1]

 

Di dalam al-Quran terdapat dua kalimah yang menunjukkan makna hujan iaitu “المَطَرَ” dan “الغَيْثَ” tetapi kalimah tersebut digunakan mengikut konteksnya. Adapun kalimah “المَطَرَ” digunakan pada konteks azab sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn ‘Uyainah dan “الغَيْثَ” pula digunakan pada konteks rahmat sebagaimana ayat yang kami nyatakan pada awal perbincangan iaitu daripada surah al-Syura ayat ke-28. Contoh bagi kalimah “المَطَرَ” yang menunjukkan kepada azab adalah berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ

al-‘Araf:84

Maksudnya: “Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Demikian itu, lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.”

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya berkaitan doa ketika turunnya hujan. Hadith tersebut adalah:

 

  • Daripada Aisyah R.anha berkata, Adapun Rasulullah SAW ketika melihat hujan :

 

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Maksudnya: “Ya Allah Kau jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat.” [Riwayat al-Bukhari (1032)]

 

Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa doa yang disebutkan di dalam hadith di atas adalah sunat untuk dibaca ketika turunnya hujan bagi menambahkan kebaikan dan juga keberkatan  di samping menolak segala yang boleh memberi mudharat. [Lihat: Fath al-Bari, 518/2]

 

Di samping itu juga, doa ketika hujan adalah salah satu keadaan yang mustajab sebagaimana yang dikhabarkan oleh Nabi SAW.

 

  • Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

ثِنْتَانِ لَا تُرَدَّانِ: الدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ، وَتَحْتَ الْمَطَرِ

Maksudnya: “Dua doa yang tidak akan ditolak: Doa ketika azan atau selepas daripada azan dan doa ketika turunnya hujan.” [Riwayat al-Hakim (2534)] [Hadith ini menurut al-Hakim sanadnya sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]

 

Penutup

Kesimpulannya, hujan yang turun ke muka bumi ini boleh jadi ia adalah rahmat daripada Allah SWT ataupun azab daripada Allah SWT. Untuk itu, kita dituntut untuk berdoa ketika turunnya hujan agar kita dijauhkan daripada segala bala bencana. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan setiap hujan yang turun itu sebagai rahmat dan keberkatan daripada-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam