Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ih299 compressed

Soalan :

Adakah benar ketika hari Asyura Allah SWT menenggelamkan Firaun dan menyelamatkan Nabi Musa AS ?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Ya, kisah ini memang thabit dan sahih. Ia terdapat di dalam riwayat yang direkodkan oleh Imam Muslim yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Kata beliau :

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَوَجَدَ الْيَهُودَ صِيَامًا ، يَوْمَ عَاشُورَاءَ ، فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي تَصُومُونَهُ ؟ فَقَالُوا : هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ ، أَنْجَى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَقَوْمَهُ ، وَغَرَّقَ فِرْعَوْنَ وَقَوْمَهُ ، فَصَامَهُ مُوسَى شُكْرًا ، فَنَحْنُ نَصُومُهُ ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya :” Sesungguhnya Rasulullah saw datang ke Madinah dan mendapati orang yahudi sedang berpuasa pada hari Asyura’. Lalu Nabi saw berkata kepada mereka : sempena apakah kalian berpuasa pada hari ini?. Mereka menjawab : Hari ini adalah hari yang agung di mana Allah swt menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya. Juga hari di mana Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Nabi Musa berpuasa sebagai tanda syukur. Maka kami pun berpuasa. Nabi saw lantas bersabda : Kami lebih berhak dan utama mengikut Nabi Musa daripada kalian. Lalu Rasulullah saw berpuasa dan memerintahkan (yang lain) untuk turut berpuasa.”

Riwayat Muslim ( 2628)

Hadis ini diriwayatkan dengan sanad yang berikut. Kata Imam Muslim :

“Ibn Abi Umar menceritakan kepada saya. Sufyan menceritakan kepada kami.Daripada Ayub daripada Abdullah Bin Said Bin Jubair. Daripada ayahnya daripada Ibnu Abbas.”

Hadis ini juga didatangkan dengan mutaba’ah iaitu jalan riwayat yang lain.Kata Imam Muslim :

“Ishak Bin Ibrahim menceritakan kepada kami.Abdurrazaq mengkhabarkan kepada kami.Ma’mar menceritakan kepada kami daripada Ayub daripada Abdullah Bin Said Bin Jubair daripada ayahnya.”

Rujuk Sahih Muslim (3/150)

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan hadis ini dengan makna yang hampir sama. Kata beliau :

حَدَّثَنَا زِيَادُ بْنُ أَيُّوبَ حَدَّثَنَا هُشَيْمٌ حَدَّثَنَا أَبُو بِشْرٍ عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَمَّا قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَ الْيَهُودَ يَصُومُونَ عَاشُورَاءَ فَسُئِلُوا عَنْ ذَلِكَ فَقَالُوا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي أَظْفَرَ اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَبَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى فِرْعَوْنَ وَنَحْنُ نَصُومُهُ تَعْظِيمًا لَهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْنُ أَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ ثُمَّ أَمَرَ بِصَوْمِهِ

Maksudnya :” Ziyad Bin Ayyub menceritakan kepada kami. Husyaim menceritakan kepada kami. Abu Bisyr menceritakan kepada kami daripada Said Bin Jubair daripada Ibnu Abbas r.a beliau berkata : ketika mana Nabi saw sampai di Madinah, Baginda mendapati orang yahudi berpuasa pada hari Asyura’. Lalu mereka ditanya dan mereka berkata : Ini adalah hari di mana Allah memberi kemenangan kepada Nabi Musa dan Bani Israel ke atas Firaun dan kami berpuasa sebagai tanda mengagungkan hari tersebut. Nabi saw bersabda : Kami lebih layak untuk Musa berbanding kalian. Kemudian Nabi saw memerintahkan (orang lain) untuk turut berpuasa.”

Riwayat al-Bukhari ( 3934)

Secara ringkasnya, hadis ini adalah hadis yang sahih lagi thabit.

Faedah daripada hadis.

Kami nyatakan beberapa faedah daripada hadis ini :

  1. Para ulama bersepakat bahawa puasa hari ‘Asyura adalah sunnah bukan wajib
  2. Orang Muslim lebih layak untuk Nabi Musa berbanding orang Yahudi sendiri.
  3. Nabi pun memperingati hari tenggelamnya Firaun bebasnya Nabi Musa dengan melakukan puasa 'Asyura sebagai tanda syukur.

Kesimpulannya, kisah Allah menyelamatkan Nabi Musa dan menenggelamkan Firaun pada hari Asyura’ adalah hadis yang sahih lagi thabit. Kami menyatakan di sini kisah bagaimana Firaun ditenggelamkan. Firman Allah SWT :

وَجَـٰوَزْنَا بِبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱلْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُۥ بَغْيًا وَعَدْوًا ۖ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَدْرَكَهُ ٱلْغَرَقُ قَالَ ءَامَنتُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا ٱلَّذِىٓ ءَامَنَتْ بِهِۦ بَنُوٓا۟ إِسْرَٰٓءِيلَ وَأَنَا۠ مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya :” Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)".

(Surah Yunus : 90)

Semoga Allah memberi kita kefahaman yang betul di dalam agama. Wallahu’alam.