Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-354: MENCARI KEREDHAAN MANUSIA

 

 

 

 

ih354_15291523.png

 

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

رِضَا النَّاسِ غَايَةٌ لَا تُدْرَكُ، فَعَلَيْكَ بِمَا يَصْلُحُكَ فَالْزَمْهُ فَإِنَّهُ لَا سَبِيْلَ إِلَى رِضَاهُمْ

Maksudnya: “Keredhaan manusia merupakan satu matlamat yang tidak mampu dicapai. Maka hendaklah kamu kamu melakukan apa-apa yang baik buat diri kamu dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana, sesungguhnya tidak ada jalan untuk sampai kepada keredhaan mereka (manusia).”

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Mencari keredhaan merupakan salah satu daripada ciri atau sifat yang terpuji. Ini kerana, kita dituntut untuk sentiasa mencari keredhaan Allah SWT dan juga keredhaan orang yang berada di sekeliling dengan kita. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith:

مَنِ التَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ، وَمَنِ التَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mencari redha Allah sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barangsiapa yang mencari redha manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkannya kepada manusia.” [Riwayat al-Tirmizi (2414)][Hadith ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban tetapi dengan lafaz yang sedikit berbeza dan beliau menukilkan hadith ini di dalam kitab sahihnya]

Syeikh al-Mubarakfuri berkata ketika mensyarahkan hadith ini, maksud Allah SWT akan menyerahkannya kepada manusia adalah Allah SWT akan membiarkan manusia menguasainya dirinya sehingga dia itu akan disakiti atau dizalimi oleh manusia (yang menguasai dirinya itu). [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 82/7]

Di samping itu juga, makna redha boleh dibahagikan kepada dua sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Raghib iaitu redha hamba kepada Allah dan redha Allah kepada hamba. Maksud redha hamba kepada Allah adalah seorang hamba itu tidak benci pada qadha’ atau ketentuan yang berlaku ke atas dirinya. Adapun redha Allah kepada hamba iaitu Allah SWT akan memastikannya sentiasa mentaati perintahnya serta meninggalkan segala larangannya. [Lihat: I’Rab al-Quran al-Karim wa Bayanuhu, 547/10]

Berdasarkan soalan di atas, ucapan tersebut bukannya hadith Nabi SAW tetapi ia adalah ucapan daripada Imam al-Syafie kepada Rabi’ sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Abu Nu’aim di dalam kitabnya [Lihat: Hilyah al-Awliya’, 123/9] dan juga Imam Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya. [Lihat: Sifat al-Safwah, 436/1] Walaubagaimanapun, makna ucapan ini adalah sahih iaitu seseorang itu tidak mungkin mampu untuk mendapatkan keredhaan semua manusia. Justeru itu, seseorang itu wajib untuk menjaga keredhaan Allah sahaja dan tidak mencari redha manusia sekalipun ia dimurkai oleh Allah SWT.

 

Penutup

Kesimpulannya, redha termasuk di dalam sifat-sifat mahmudah iaitu sifat yang terpuji. Di samping itu juga, redha juga merupakan salah satu daripada ciri-ciri orang yang bertaqwa. Akan tetapi, mencari keredhaan Allah SWT adalah yang paling utama berbanding mencari keredhaan manusia. Kami akhiri artikel ini dengan kata-kata atau nasihat al-Fudhail bin ‘Iyadh kepada Bisyr al-Hafi:

الرِّضَا أَفْضَلُ مِنَ الزُّهْدِ فِي الدُّنْيَا. لِأَنَّ الرَّاضِيَ لَا يَتَمَنَّى فَوْقَ مَنْزِلَتِهِ

Maksudnya: “Redha lebih afdhal berbanding zuhud di dunia. Ini kerana, orang yang redha tidak mengharapkan lebih daripada apa yang dia berada.” [Lihat: Madarij al-Salikin, 175/2]

Akhirnya, semoga kita digolongkan dalam kalangan orang-orang yang sentiasa redha.

 

Wallahua'lam