Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-358: HADITH HASAN

 

 

 

 

ih358_15291523.png

 

 

 

Soalan: Apakah maksud hadith hasan?     

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut adalah berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Hasan merupakan salah satu daripada jenis-jenis hadith yang sahih.

 

Definisi Hadith Hasan

Hadith Hasan ini mempunyai lebih daripada satu definisi. Akan tetapi, Imam al-Baiquniy menyatakan di dalam mazhumahnya dalam memberi definisi hadith hasan ini adalah seperti berikut:

 

وَالحَسَنُ المَعْروفُ طُرُقاً وَغَدَتْ * رِجَالُهُ لَا كَالصَّحِيْحِ اشْتَهَرَتْ

Maksudnya: “Dan [Hadith Hasan] dikenali dengan banyaknya thuruq (jalur). Rijalnya (perawi) tidak semasyhur seperti perawi bagi hadith yang sahih.”

 

Hadith Hasan juga adalah hadith yang diketahui sumbernya dan dikenali perawi-perawinya atau hadith yang bersambung sanadnya oleh perawi yang adil tetapi kurang tahap hafalannya serta terselamat daripada syaz dan juga ‘illah (kecacatan). [Lihat: ‘Ulum al-Hadith wa Nusus min al-Athar, 124]

 

Pembahagian Hadith Hasan

Menurut Imam Ibn al-Salah hadith Hasan terbahagi kepada dua:

  • Hasan li Zatihi (الحسن لذاته)

Hasan li Zatihi adalah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang adil tetapi kurang pada tahap hafalannya berserta sanadnya yang bersambung tanpa ada syaz dan ‘illah. Contoh hadith Hasan li Zatihi ialah:

Daripada Abi Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ أَحَبَّ لِلَّهِ، وَأَبْغَضَ لِلَّهِ، وَأَعْطَى لِلَّهِ، وَمَنَعَ لِلَّهِ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ الْإِيمَانَ

Maksudnya: “Barangsiapa berkasih sayang kerana Allah, marah kerana Allah, memberi kerana Allah dan menghalang sesuatu kerana Allah, maka telah sempurna iman.” [Riwayat Abu Daud (4681)]

Perawi-perawi di dalam hadith ini adalah thiqah (dipercayai) melainkan al-Qasim iaitu Abdulrahman al-Syami. Beliau merupakan seorang tabi’i dan beliau merupakan salah seorang perawi yang adil (tidak berdusta). Akan tetapi, para ahli hadith membincangkan berkaitan tahap hafalannya sehingga sebahagian ulama mengdhaifkannya dan sebahagian yang lain mengthiqahkannya. Justeru itu, hadith ini adalah hadith Hasan li Zatihi kerana salah seorang perawi di dalam sanad hadith dipertikai dari sudut tahap hafalannya dalam meriwayatkan hadith.

 

  • Hasan li Ghairihi (الحسن لغيره)

Hasan li Ghairihi pula adalah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang mastur atu dhaif yang mana perawi ini tidak banyak melakukan kesilapan dan tidak dituduh sebagai pendusta. Selain itu, riwayatnya boleh menjadi mutaba’at atau banyaknya jalur riwayat tersebut atau terdapat baginya syahid (sokongan daripada riwayat yang lain). Contoh hadith Hasan li Ghairihi ialah:

Daripada ‘Amir bin Rabi’ah, daripada bapanya berkata: Ada seorang wanita dari bani Fazarah telah bernikah dengan maharnya berupa sepasang selipar. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya:

 

أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ؟ قَالَتْ: نَعَمْ، قَالَ: فَأَجَازَهُ

Maksudnya: “Apakah kamu redha ke atas diri kamu dengan dua selipar ini? Dia menjawab: Ya. Maka Nabi SAW membenarkannya.” [Riwayat al-Tirmizi (1113)]

 

Terdapat seorang perawi di dalam sanad hadith ini atau riwayat ini iaitu ‘Asim bin ‘Ubaidillah yang mana beliau merupakan seorang perawi yang buruk tahap hafalannya. Namun, hadith ini dihasankan kerana terdapat jalur lain yang menyokong serta mengangkat riwayat ini ke tahap Hasan li Ghairihi. Imam al-Tirmizi ada menyatakan bahawa di antara jalur lain bagi hadith ini adalah daripada jalur Umar, Abi Hurairah, Sahl bin Sa’ad, Anas bin Malik, Abi Sa’id dan beberapa orang lagi daripada kalangan sahabat R.anhum.

 

Hukum Hadith Hasan

Hadith Hasan secara umumnya boleh dijadikan hujjah di sisi jumhur ulama sepertmana hadith Sahih. [Lihat: al-Ba’ith al-Hathith, 46] Adapun, Hasan li Zatihi adalah hujjah di sisi ahli Hadith, manakala Hasan li Ghairihi juga boleh dijadikan sebagai hujjah. Akan tetapi, Imam al-Sakhawi meletakkan syarat pada hadith Hasan li Ghairihi untuk menjadi hujjah yang mana ia perlu mempunyai banyak jalur.

 

Makna Hasan Sahih Oleh Imam al-Tirmizi

Imam Ibn Kathir di dalam kitabnya ada menyebut makna Hasan Sahih oleh Imam al-Tirmizi terdapat padanya sedikit kemusykilan kerana menghimpunkan keduanya (iaitu Hasan dan Sahih) di dalam satu hadith seperti terdapat satu ketidakpastian. Di sini kami sertakan beberapa maksud yang telah diberikan oleh para ulama berkaitan definisi atau maksud Hasan Sahih:

  • Hadith Hasan Sahih adalah hadith yang mempunyai dua sanad (jalur) dan satu sanadnya adalah hasan dan satu lagi sanadnya adalah sahih.
  • Hadith Hasan Sahih adalah hadith yang hasan pada matannya (makna) dan sahih pada sanadnya.
  • Hadith Hasan Sahih adalah hadith yang martabatnya atau kedudukannya lebih rendah daripada hadith Sahih tetapi ia lebih tinggi daripada hadith Hasan. [Lihat: al-Ba’ith al-Hathith, 52-53]
  • Hadith Hasan Sahih adalah disebabkan para ulama berselisih pandangan pada status hadith tersebut sama ada Hasan atau Sahih sekiranya hadith tersebut mempunyai satu sanad. Sekiranya hadith tersebut mempunyai dua sanad (jalur), maka berkemungkinan satu sanadnya hasan dan satu lagi adalah sahih.

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith Hasan termasuk di dalam kategori hadith Sahih dan ia juga boleh dijadikan hujjah. Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.

 

Wallahua’lam