Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

 

ih368_15291523.png

 

 

Soalan: Siapakah Imam Ibn Majah dan kedudukan kitab sunannya?      

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Abu Abdullah Muhammad bin Yazid Ar-Rabi’ bin Majah al-Qazwini al-Hafiz atau yang lebih dikenal dengan Ibn Majah merupakan seorang adalah ulama hadith yang terkenal dalam mengumpulkan hadith-hadith. Karyanya yang paling dikenali adalah kitab Sunan Ibnu Majah dan kitab ini termasuk di dalam kelompok al-Kutub al-Sittah.

Ibnu Majah telah lahir pada tahun 207 Hijrah atau 209 Hijrah di daerah Qazwin (salah satu kota yang terkenal di kawasan ‘Iraq. Perkataan Majah dinisbahkan kepada ayahnya Yazid, yang juga dikenal dengan sebutan Majah Maula Rab’at. Ada juga yang mengatakan bahawa Majah adalah ayah daripada Yazid. Walaupun demikian, pendapat pertama yang lebih sahih. Perkataan “Majah” adalah gelaran ayah Muhammad, bukan gelaran datuknya [Lihat: al-Bidayah wa-al Nihayah, 11/52]

 

Di samping itu juga, beliau telah melakukan rehlah dalam mencari ilmu ke Baghdad, Basrah, al-Kufah, Makkah, Syam, Mesir dan sebagainya. Ini menunjukkan kesungguhan Imam Ibn Majah dalam mencari dan menuntut ilmu. Antara guru beliau yang terkenal ialah Suwaid bin Said, Abu Bakar bin Abi Syaibah, Ibrahim bin al-Munzir dan Hisyam bin Ammar.

 

Selain itu, antara pujian yang pernah diberikan oleh para ulama kepada beliau ialah:

 

  • Abu Ya’la al-Khalili berkata: “Beliau merupakan seorang yang alim di dalam bidang ini (hadith) dan banyak menulis berkaitan sejarah dan sunan-sunan.”
  • Imam al-Zahabi berkata: “Ibn Majah merupakan seorang yang al-Hafiz, al-Naqid, al-Sodiq dan luas ilmunya.”
  • Imam Ibn Kathir berkata: “Ibn Majah merupakan penulis kitab sunan yang masyhur dan itu adalah bukti di atas dalamnya pengetahuan serta keilmuannya dan beliau merupakan seorang yang kuat berpegang dengan sunnah sama ada pada perkara usul atau furu’.”

 

Imam Ibn Majah telah wafat pada tahun 273 Hijrah di Qazwin dan kitab sunan beliau mengandungi 32 kitab (tajuk), 1500 bab dan 4000 buah hadith yang kebanyakan adalah baik melainkan sebahagian kecil yang tidak baik. [Lihat: al-Hadith wa al-Muhaddithun, 303]

Adapun berkaitan Sunan Ibn Majah, ia disusun mengikut bab-bab feqah dan di antara bab yang terkandung di dalamnya adalah berkaitan Adab, al-Fitan, al-Zuhud serta muqadimmah kitab yang membicarakan berkaitan masalah-masalah melibatkan ilmu.

Selain itu, kedudukan kitab Sunan Ibn Majah di dalam al-Kutub al-Sittah ini dipertikaikan dalam kalangan ulama. Ada yang mengutamakan kitab al-Muwatta’ berbanding Sunan Ibn Majah dan sebahagian lagi mengutamakan kitab Sunan al-Darimi berbanding Sunan Ibn Majah. Adapun, orang yang pertama meletakkan Sunan Ibn Majah sebagai kitab yang keenam di dalam koleksi al-Kutub al-Sittah ialah Abu al-Fadhl bin Thohir. [Lihat: Manahij al-Muhadithin, 262]

 

Tambahan pula, di dalam Sunan Ibn Majah terdapat banyak hadith-hadith yang dhaif dan juga palsu. Hal ini, ada disebutkan oleh Imam Ibn al-Jauzi bahawa terdapat sebanyak 34 buah hadith yang telah dinilai oleh beliau. Manakala, Syeikh Nasiruddin telah menilai sebanyak 39 buah hadith palsu dan bilangan ini tidak termasuk hadith yang Wahiyat dan Munkar.

 

Penutup

Kesimpulannya, Imam Ibn Majah merupakan salah seorang daripada tokoh-tokoh yang hebat dan karya beliau juga termasuk di dalam rujukan utama dalam bidang hadith. Ini kerana, keilmuannya diakui dan dipercayai oleh para ulama yang sezaman dengannya atau yang datang selepas daripadanya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dan kekuatan dalam mencontohi sifat atau akhlak yang mulia sepertimana ulama’-ulama’ Islam terdahulu. Amin.

 

Wallahua'lam