Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-372: KELEBIHAN SOLAT 4 RAKAAT DI SIANG HARI

 

 

ih372_15291523.png

 

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan 4 rakaat di dalam hadith ini?

 

  • Daripada Nu’aim bin Hammar RA, bahawa Nabi SAW meriwayatkan daripada Allah SWT, firman Allah SWT:

يَا ابْنَ آدَمَ، لَا تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ، أَكْفِكَ آخِرَهُ

Maksudnya: “Wahai anak Adam! Janganlah kamu tinggalkan untukku 4 rakaat pada awal siangmu. Nescaya aku akan cukupkan bagimu di akhir siangmu.” [Riwayat al-Tirmizi (475) dan Abu Daud (1289)][Hadith ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi. Adapun Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih kerana perawi-perawinya adalah thiqah]

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, hadith di atas adalah di antara hadith-hadith Qudsi yang mana Nabi SAW meriwayatkan daripada Allah SWT. Untuk memahami dengan lebih lanjut berkaitan hadith Qudsi ini, boleh membacanya di dalam artikel yang pernah kami terbitkan iaitu Irsyad al-Hadith siri ke-94.

Berdasarkan soalan di atas, para ulama berbeza pandangan dalam memahami maksud 4 rakaat di dalam hadith di atas. Sebahagian mereka memahami bahawa yang dimaksudkan dengan 4 rakaat di dalam hadith ini ialah solat sunat fajar dan juga solat fardhu Subuh. Adapun sebahagian ulama memahaminya dengan 4 rakaat solat sunat Dhuha.

Para ulama berbeza pandangan dalam menentukan 4 rakaat ini adalah kerana mereka berbeza dalam memahami maksud awal siang. Sebahagian mereka memahaminya dengan maksud selepas terbitnya fajar dan sebahagian yang lain memahaminya dengan maksud terbitnya matahari. Antara ulama yang cenderung kepada pandangan yang mengatakan ia adalah solat sunat Fajar dan juga solat fardhu Subuh adalah Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad. Manakala kebanyakan para ulama cenderung kepada solat sunat Dhuha seperti Imam al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Rejab al-Hanbali dan ramai lagi.

Kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa 4 rakaat di dalam hadith di atas adalah solat sunat Dhuha yang ditunaikan dengan dua salam sebagaimana yang difahami dan dipegang oleh kebanyakan para ulama.

Walaupun begitu, terdapat hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan solat sunat Fajar dan solat sunat yang Nabi SAW amat titikberatkan.

 

  • Daripada Aisyah R.anha, bahawa Nabi SAW:

لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ

Maksudnya: “Tidak ada solat sunat yang Nabi SAW sangat melaziminya daripada dua rakaat Fajar (solat sunat Fajar).” [Riwayat al-Bukhari (1169)]

 

Di dalam hadith yang lain, juga daripada isteri Nabi SAW iaitu:

 

  • Daripada Aisyah R.anha, bahawa Nabi SAW:

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya: “Dua rakaat Fajar (solat sunat Fajar) lebih baik daripada dunia dan seisinya.” [Riwayat al-Nasa’ie (1759)]

 

Oleh yang demikian, maksud hadith di atas adalah galakan kepada kita untuk menunaikan solat sunat Dhuha sebanyak 4 rakaat kerana Allah SWT mengingatkan kita agar tidak meninggalkannya. Selain itu, dengan menunaikan 4 rakaat solat sunat Dhuha ini akan menyelamatkan kita daripada perkara-perkara yang tidak baik serta Allah SWT akan memelihara kita daripada melakukan dosa kepada-Nya. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 4/118]

 

Penutup

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita melazimi solat sunat Dhuha sekurang-kurangnya 4 rakaat. Di samping itu, kita tidak mengabaikan solat sunat Fajar yang mana Nabi SAW amat menggalakknya sehinggakan Baginda SAW amat melaziminya. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amalan kita terutamanya di dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini. Amin.

 

Wallahua’lam