Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

 

ih465_15291523.png

 

Soalan: Apakah sumber dan makna doa ini?

 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon perlindungan-Mu daripada penyaki sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, doa di atas ada diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan al-Nasa’ie di dalam sunannya. Imam Ahmad juga meriwayatkan hadith ini di dalam musnadnya. Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih ketika mengtakhrijkan hadith atau riwayat ini di dalam Sunan Abu Daud. Tambahan pula, Imam Ibn Hibban juga meriwayatkan hadith ini di dalam sahihnya, iaitu:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon perlindungan-Mu daripada penyaki sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.” [Riwayat Abu Daud (1554), Riwayat al-Nasa’ie (5493) dan Riwayat Ahmad (13004)]

 

Imam al-Khattabi menyatakan kita dituntut untuk memohon perlindungan daripada penyakit-penyakit ini adalah disebabkan ia mengcacatkan badan dan kekal kesannya serta sebahagiannya memberi kesan kepada akal. Penyakit-penyakit ini tidak sama dengan penyakit-penyakit lain yang mana ia tidak kekal seperti demam, pening dan lain-lain lagi kerana ia adalah kaffarat (penghapus dosa) dan bukannya hukuman. [Lihat: Ma’alim al-Sunan, 1/297]

Tambahan pula, penyakit gila adalah sesuatu penyakit yang menyebabkan hilangnya akal yang mana akal adalah pemula kepada kebaikan ilmu dan amal sehingga dikatakan ia (akal) lebih utama daripada ilmu. Adapun penyakit kusta pula adalah penyakit yang menyebabkan badan menjadi hitam, lalu ia akan merosakkan anggota dan kemungkinan ia akan memakan anggota tersebut sehingga menyebabkan ia terputus daripada badan. Justeru, kita dituntut untuk memohon perlindungan dengan Allah daripada apa-apa yang boleh merosakkan batin kita seperti hilangnya akal serta apa-apa yang boleh mengcacatkan zahir kita seperti penyakit kusta ini. Maka dengan sebab itu, diumumkan (pada akhir doa) pada setiap penyakit yang membinasakan diri atau badan dengan menyebut penyakit-penyakit yang buruk. [Lihat: al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 7/217-218]

Kami pernah bertanya kepada Syeikh Muhamad ‘Awwamah berkaitan makna “penyakit-penyakit yang buruk” adalah apa-apa sahaja penyakit teruk yang berbahaya seperti selsema burung, kanser dan sebagainya. Maka, virus korona yang sedang tukar pada waktu ini boleh dimasukkan ke dalam penyakit-penyakit yang buruk sepertimana disebutkan di dalam hadith atau doa di atas.[1]

 

Penutup

Kesimpulannya, doa merupakan anugerah yang istimewa diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya sebagai tanda ingatan seorang hamba kepada Penciptanya. Untuk itu, kita amat dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar \ sentiasa berada di dalam pengawasan dan penjagaan Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita daripada penyakit-penyakit atau perkara-perkara yang tidak baik lagi berbahaya berlaku kepada kita. Amin.

 

Wallahua’lam

 

[1] Pertemuan di kediaman beliau di Istanbul, Turki pada 27/1/2020