Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 471 : SIAPAKAH UMMUL MUKMININ YANG PALING AKHIR MENINGGAL DUNIA?

IH_471.JPG

Soalan :

Assalamualaikum Datuk Mufti. Moga sihat-sihat sentiasa. Soalan saya mudah, siapakah isteri Nabi SAW yang paling akhir meninggal dunia?

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Isteri-isteri Nabi merupakan wanita-wanita yang mempunyai kelebihan dan kedudukan yang diberikan oleh Allah SWT melebihi wanita-wanita yang lain. Keistimewaan dan kelebihan mereka disebutkan oleh Allah SWT. Firman Allah :

يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ ۚ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ

Maksudnya : “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa…”

(Surah Al-Ahzab : 32)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut jika ada ramai wanita sekalipun maka mereka tidak akan pernah sama sekali menyamai isteri Nabi dari sudut kemuliaan dan kelebihan.(Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 22/5).

Imam Fakhruddin Al-Razi menyebut makna ayat tersebut adalah kalian sebagai isteri Nabi berbeza dengan wanita yang lain. Disebabkan kalian adalah ummahatul Mukminin sekaligus isteri kepada sebaik-baik manusia iaitu Rasulullah SAW. Seperti mana Nabi Muhammad bukan seperti lelaki-lelaki lain. (Rujuk Mafatih Al-Ghaib, 1/3633).

Bahkan isteri-isteri Nabi digelarkan sebagai Ummahatul Mukminin  yang bermaksud ibu-ibu bagi orang-orang yang beriman sebagai satu pengiktirafan kedudukan dan kemuliaan mereka.Firman Allah SWT :

ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَٰجُهُۥٓ أُمَّهَـٰتُهُمْ

Maksudnya : “Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka…”

(Surah Al-Ahzab : 6)

Al-Baidhawi menyebut bahawa Nabi SAW lebih utama untuk didahulukan dalam semua perkara. Ini kerana Nabi tidak perintahkan sesuatu melainkan disebalik perintah Nabi itu ada kebaikan dan juga untuk kejayaan mereka yang mana ia bercanggahan dengan nafsu. Oleh kerana itu wajib untuk mencintai Nabi lebih daripada diri sendiri dan segera melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Nabi SAW. Begitu juga isteri-isteri Baginda SAW adalah ibu bagi orang mukmin. Ini menunjukkan kedudukan mereka yang mana isteri-isteri tidak boleh dikahwini dan perlu untuk dimuliakan. (Rujuk Anwar Al-Tanzil  Wa Asrar Al-Ta’wil ; Tafsir Al-Baidhawi, 5/5).

Oleh itu, sebagai orang yang beriman tidak boleh sama sekali menghina, mencaci, mengeji mahupun merendahkan mana-mana isteri Nabi SAW. Perbuatan merendahkan dan memperlekehkan isteri-isteri Nabi adalah perbuatan yang fasiq.

Imam Malik Bin Anas pernah menyebut :

“Sesiapa yang mencerca Abu Bakar maka selayaknya dia dirotan. Sesiapa yang menghina Aisyah maka dia selayaknya dibunuh.” Pernah ditanya kepada beliau : Untuk apa?. Kata Imam Malik : “Jika seseorang menuduh Aisyah berzina maka dia telah melakukan perkara yang bercanggah dengan Al-Quran”. (Rujuk Al-Sorim Al-Maslul ‘Ala Syatim Al-Rasul, hlm 440).

Jika menuduh Aisyah R.Anha sahaja sudah dianggap menyalahi Al-Quran apatahlagi merendahkan dan memperlekehkan isteri-isteri Nabi yang lain.

Isteri Nabi ada sebelas kesemuanya. Mereka ialah :

  • Khadijah Binti Khuwailid R.anha
  • Saudah Binti Zam’ah anha
  • ‘Aisyah Binti Abu Bakar R.anha
  • Hafsah Binti Umar R.anha
  • Zainab Binti Khuzaimah R.anha
  • Ummu Salamah Hind Binti Abu Umayyah Al-Makhzumiah R.anha
  • Ummu Habibah Ramlah Binti Abi Sufyan R.anha
  • Juwairiyah Binti Al-Harith R.anha
  • Maimunah Binti Al-Harith Al-Hilaliyah R.anha
  • Sofiyyah Binti Hayyi Bin Akhtab R.anha
  • Zainab Binti Jahsy R.anha

Mereka bukan sahaja menjadi isteri Nabi semata-mata bahkan mereka juga membantu penyebaran Islam. Bahkan ada di antara isteri Nabi yang menjadi فقهاء الصحابيات iaitu orang yang faqih dari kalangan wanita-wanita yang menjadi rujukan para sahabat. Kesungguhan dan kepakaran serta semangat mereka menyebarkan ilmu dan dakwah menjadi contoh kepada generasi yang datang selepas mereka.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, isteri Nabi SAW yang paling akhir meninggal dunia ialah Ummu Salamah Hind Binti  Abu Umayyah. Beliau meninggal dunia pada tahun 62 H ketika pemerintahan Yazid Bin Muawiyah. (Rujuk Ma’rifah Al-Sahabah, 6/3218 ; Siyar ‘Alam Al-Nubala, 2/201 ; Al-Isti’ab Fi Ma’rifah Al-Sahabah, 4/1920 ; Al-Isabah Fi Tamyiz Al-Sahabah, 8/150 ; Al-Wafayat Li Ibn Qunfuz, 1/36 ; Tahzib Al-Asma’ Wa Al-lughat , 1/955).

BIODATA UMMUL MUKMININ UMMU SALAMAH

Nama sebenar beliau ialah Hind Binti Abi Umayyah Bin Al-Mughirah Bin Abdullah Bin Umar Bin Makhzum Bin Yaqazah Bin Murrah Al-Makhzumiah. Beliau merupakan sepupu kepada Khalid Al-Walid dan juga sepupu kepada Abu Jahal. Beliau merupakan antara orang yang awal menyahut seruan hijrah. Sebelum menjadi isteri Baginda Nabi SAW, beliau mempunyai seorang suami yang bernama Abu Salamah yang nama sebenarnya ialah Abdullah Bin Abdul Asad Bin Hilal Al-Makhzumi. Abu Salamah juga merupakan seorang sahabat Nabi SAW.

Umar iaitu anak kepada Ummu Salamah pernah menceritakan kisah kewafatan ayahnya Abu Salamah. Kata beliau :

بَعَثَ رَسُوْلُ اللهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- أَبِي إِلَى أَبِي قَطَنٍ فِي المُحَرَّمِ سنَةَ أَرْبَعٍ، فَغَابَ تِسْعاً وَعِشْرِيْنَ لَيْلَةً، ثُمَّ رَجَعَ فِي صَفَرٍ، وَجُرْحُهُ الَّذِي أَصَابَهُ يَوْمَ أُحُدٍ مُنْتَقِضٌ؛ فَمَاتَ مِنْهُ، لِثَمَانٍ خَلَوْنَ مِنْ جُمَادَى الآخِرَةِ، وَحَلَّتْ أُمِّي فِي شَوَّالٍ، وَتَزَوَّجَهَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya : “Rasulullah SAW menghantar ayahku kepada Abi Qatn (Sebagai Sariah) pada bulan Muharram tahun keempat hijrah. Dia pergi selama 29 hari kemudian pulang  pada bulan Safar. Luka yang dia dapat pada peperangan Uhud menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan kematian. Itu berlaku pada 22 Jamadil Akhir. Ibuku habis iddahnya pada bulan Syawal dan Nabi Rasulullah SAW mengahwininya pada bulan yang sama.” (Rujuk Al-Tabaqat Al-Kubra, 8/87).

Di dalam riwayat yang lain ada menyebutkan perbualan antara Ummu Salamah dan Abu Salamah. Ibnu Sa’ad berkata : Ahmad Bin Ishak Al-Hadrami mengkhabarkan kepada kami. Abdul Wahid Bin Ziyad menceritakan kepada kami.’Asim Al-Ahwal menceritakan kepada kami daripada Ziyad Bin Abi Maryam bahawa Ummu Salamah pernah berkata kepada suaminya, Abu Salamah :

بَلَغَنِي أَنَّهُ لَيْسَ امْرَأَةٌ يَمُوْتُ زَوْجُهَا، وَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، ثُمَّ لَمْ تَزَوَّجْ، إِلاَّ جَمَعَ اللهُ بَيْنَهُمَا فِي الجَنَّةِ، فَتَعَالَ أُعَاهِدْكَ أَلاَّ تَزَوَّجَ بَعْدِي، ولاَ أَتَزَوَّجُ بَعْدَكِ.

قَالَ: أَتُطِيْعِيْنَنِي؟

قَالَتْ: نَعَمْ.

قَالَ: إِذَا مِتُّ تَزَوَّجِي، اللَّهُمَّ ارْزُقْ أُمَّ سَلَمَةَ بَعْدِي رَجُلاً خَيْراً مِنِّي، لاَ يُحْزِنُهَا  وَلاَ يُؤْذِيْهَا.

فَلَمَّا مَاتَ، قُلْتُ: مَنْ خَيْرٌ مِنْ أَبِي سَلَمَةَ؟

فَمَا لَبِثْتُ، وَجَاءَ رَسُوْلُ اللهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَامَ عَلَى البَابِ فَذَكَرَ الخِطْبَةَ إِلَى ابْنِ أَخِيْهَا، أَوِ ابْنِهَا.

فَقَالَتْ: أَرُدُّ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ، أَوْ أَتَقَدَّمُ عَلَيْهِ بِعِيَالِي.

ثُمَّ جَاءَ الغَدُ، فَخَطَبَ

Maksudnya : “Ada cerita sampai kepada aku bahawa mana-mana wanita yang kematian suaminya dan suaminya itu dari kalangan ahli syurga kemudian isterinya tidak berkahwin dengan sesiapa selepas itu maka Allah akan kumpulkan mereka di syurga. Mari, aku mahu berjanji dengan engkau bahawa engkay tidak akan berkahwin selepas kematianku dan aku juga tidak akan berkahwin selepas kematianmu.

Abu Salamah berkata : Adakah engkau taat kepada aku?

Ummu Salamah berkata : Ya.

Abu Salamah berkata : Jika aku mati kahwinlah dengan yang lain. Wahai Allah, rezekikanlah kepada Ummu Salamah lelaki yang lebih baik selepas dari kematianku. Yang mana dia tidak akan membuat Ummu Salamah sedih dan tidak akan menyakitinya.

Apabila Abu Salamah meninggal dunia. Ummu Salamah berkata : Siapakah lelaki yang lebih baik dari Abu Salamah?. Pada satu tempoh,  Rasulullah SAW datang dan menyatakan hasrat untuk meminang kepada anak saudaranya atau anaknya. Ummu Salamah berkata lagi : Adakah akum ahu menolak ataupun mendahulukan ahli keluargaku.  Kemudian Rasulullah datang lagi keesokan harinya lantas meminangnya.” (Rujuk Al-Tabaqat Al-Kubra, 8/88).

Beliau merupakan salah seorang fuqaha yang ada dari kalangan sahabat. Beliau juga mempunyai beberapa hadis yang beliau dengar dari Nabi SAW. Jumlah hadis yang beliau dengar sendiri dari Rasulullah SAW adalah sebanyak 378 buah hadis. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 2/210) Bukan itu sahaja, beliau juga menjadi rujukan para Tabi’in. Antara yang meriwayatkan dan mendengar hadis dari beliau ialah Sa’id Bin Musayyib, Syaqiq Bin Salamah, Al-Aswad Bin Yazid, Mujahid, Nafi’ Bin Jubair Bin Mut’im, Nafi Maula Ibn Umar, ‘Ata’ Bin Abi Rabah, Ibn Abi Mulaikah dan lain-lain lagi. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 2/202).

Beliau mempunyai tiga orang anak yang mana mereka merupakan sahabat Nabi SAW iaitu Salamah, Umar dan Zainab. Beliau dipanjangkan umur sehinggalah sampai berita pembunuhan Saidina Husin. Peristiwa ini menyebabkan beliau senyap dan tidak bercakap serta membuatkan beliau sedih yang teramat sangat. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 2/202).

Beliau wafat pada tahun 62 Hijrah. Pada ketika itu umurnya mencapai 90 tahun. Jenazah beliau disolatkan oleh Sa’ad Bin Zaid. Ada yang mengatakan Abu Hurairah yang mengetuai solat Jenazah. Jenazah beliau dikuburkan di perkuburan Baqi’. (Rujuk Ma’rifah Al-Sahabah, 6/3218). Semoga Allah sentiasa merahmati ibu kita, Ummu Salamah.

Semoga kita sentiasa mencintai ahlu bayt Nabi SAW dan berusaha untuk mengikut jejak langkah mereka. Wallahu’alam.