Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

 

ih477_15291523.png

 

Soalan: Apakah maksud tashif di dalam ilmu hadith?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ‘ulum al-Hadith. Tashif adalah salah satu jenis atau bahagian hadith yang melibatkan sanad sesebuah hadith sama ada ia bersambung ataupun tidak. Dengan cara ini, para ulama’ akan mengeluarkan hukum sama ada hadith itu boleh diterima ataupun ditolak.

 

Definisi hadith Tashif (تصحيف)

Tashif ialah perubahan yang berlaku pada huruf-huruf (sama ada di dalam sanad atau matan) seperti tertukarnya huruf dengan huruf yang lain atau titik. Ini merupakan definisi yang diberikan Dr. Mustafa al-Bugha di dalam kitabnya. [Lihat: Buhuth fi ‘Ulum al-Hadith wa Nususuhu, 180]

Antara contoh tashif yang berlaku seperti yang disebutkan oleh Dr. Nuruddin ‘Itr adalah apa yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Lahi’ah daripada tulisan Musa bin ‘Uqbah kepadanya dengan sanad daripada Zaid bin Thabit RA:

 

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ فِي الْمَسْجِدِ

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW telah berbekam di masjid.” [Riwayat Ahmad (21608)]

 

Telah berlaku tashif di dalam teks hadith ini, di mana Ibn Lahi’ah telah tersilap dalam meriwayatkan hadith ini dari tulisan Musa bin ‘Uqbah kerana dia hanya mengambil hadith ini daripada kitab tersebut dan bukannya dengan cara mendengarnya. [Lihat: Lamhat Mujazah fi Usul ‘Ilal al-Hadith, 68] Tashif yang dimaksudkan di dalam teks hadith ini adalah Ibn Lahi’ah telah tertukar satu huruf pada hujung kalimah “احْتَجَم”. Riwayat yang tepat adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim dan lain-lain lagi bahawa:

  • Daripada Zaid bin Thabit RA berkata:

 

احْتَجَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حُجَيْرَةً بِخَصَفَةٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah membuat satu ruangan yang kecil dengan dibatasi dengan sehelai kain atau tikar di masjid.” [Riwayat al-Bukhari (781)]

 

Melihat kepada kedua teks hadith ini, jelas menunjukkan bahawa Ibn Lahi’ah telah melakukan tashif apabila terdapat kesilapan pada huruf yang terakhir iaitu tertukarnya di antara huruf mim dan ra’. Hal ini juga diperakui oleh al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) bahawa ini adalah tashif tanpa diragukan lagi. [Lihat: al-Itraf, 2/384] Riwayat yang sahih adalah sepertimana yang terdapat di dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim dengan lafaz “احتجر.” Perkara ini telah menyebabkan berubahnya makna atau maksud sebenar hadith.

 

Penutup

Kesimpulannya, kebiasaanya tashif ini berlaku disebabkan kurangnya sifat dhabt (ضبط) pada perawi iaitu seseorang yang kuat dan sempurna hafazannya, selamat daripada melakukan kesalahan serta berkemampuan untuk menghadirkan apa yang dihafalnya pada bila–bila masa yang dikehendaki apabila meriwayatkan seseuatu hadith. Selain itu, sifat dhabt ini sangat penting kerana ia merupakan salah satu daripada syarat hadith Sahih.. Sifat Dhabt ini terbahagi kepada dua iaitu Dhabt Shodri (hafalan) dan Dhabt Kitabi (tulisan). Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.

 

Wallahua’lam