Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ih484 15291523

 

Soalan: Apakah terdapat dalil berkaitan larangan membaca al-Quran secara nyaring kerana keadaannya seperti orang yang bersedekah secara terang-terangan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS. Di samping itu, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang sentiasa membaca dan mengamalkan ayat-ayat suci al-Quran berdasarkan kepada nas yang sahih sama ada daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. Antaranya:

  • Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi (2835)]

 

Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat hadith yang menceritakan berkaitan persamaan atau perumpamaan orang yang menguatkan bacaan al-Quran sama seperti orang yang bersedekah secara terang-terangan:

  • Daripada Uqbah bin ‘Amir RA, bahawa Nabi SAW:

الْجَاهِرُ بِالْقُرْآنِ، كَالْجَاهِرِ بِالصَّدَقَةِ، وَالْمُسِرُّ بِالْقُرْآنِ، كَالْمُسِرِّ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Orang yang menguatkan bacaan al-Quran seperti orang yang mengzahirkan ketika bersedekah. Manakala orang yang memperlahankan bacaan al-Quran adalah seperti orang yang bersedekah secara tersembunyi.” [Riwayat Abu Daud (1333) al-Tirmizi (2919)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini adalah sahih dan sanadnya adalah hasan]

 

Imam al-Tibi berkata ketika mensyarahkan hadith ini, terdapat athar (riwayat-riwayat) berkaitan kelebihan menyaringkan bacaan al-Quran. Di samping itu, terdapat juga athar (riwayat-riwayat) berkaitan kelebihan memperlahankan bacaan al-Quran. Untuk itu, dalam menghimpunkan di antara dua kelebihan ini dikatakan membaca dengan perlahan adalah lebih afdhal bagi orang yang bimbang pada dirinya sifat riya’. Adapun membaca dengan nyaring pula afdhal bagi orang yang tidak bimbang daripada sifat tersebut (riya’) dengan syarat dia tidak mengganggu orang lain seperti orang yang sedang solat, tidur atau selain daripada keduanya. Ini kerana, membaca dengan nyaring manfaatnya juga akan diperolehi oleh orang lain daripada mendengarnya, mempelajarinya, merasainya dan ia juga merupakan syiar terhadap agama disebabkan ia mampu menetapkan hati orang yang membaca, menguatkan semangat, mengelakkan tidur (yang banyak) serta memberi semangat kepada orang lain untuk beribadah. Justeru, sekiranya kesemua ini boleh berlaku dengan dia menyaringkan bacaannya maka membaca dengan nyaring adalah lebih afdhal. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 8/191]

Antara athar atau hadith yang menggalakkan membaca al-Quran dengan nyaring adalah:

  • Daripada al-Barra’ bin ‘Azib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

Maksudnya: “Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.” [Riwayat Abu Daud (1468)] [Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih]

 

Imam al-Khattabi makna hadith di atas adalah hiasilah suara kamu ketika membaca al-Quran dan ini juga yang ditafsirkan ramai daripada kalangan ahli hadith. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 239/4]

Selain itu, menurut Imam al-Nawawi makna hadith di atas adalah hendaklah seseorang itu membaca al-Quran dengan suara yang baik agar orang yang mendengar merasa seronok atau asyik. [Lihat: Fatawa Imam al-Nawawi, 293]

Melihat kepada kata-kata daripada Imam al-Tibi ini, dalam menentukan pembacaan al-Quran secara nyaring atau perlahan yang lebih afdhal, ia perlu dilihat kepada orang yang ingin membaca tersebut. Sekiranya dia membaca dengan nyaring akan mendatangkan lebih banyak manfaat buat dirinya dan orang yang berada di sekelilingnya maka pada waktu itu membaca dengan nyaring adalah lebih afdhal daripada membaca dengan perlahan. Adapun, sekiranya dia membaca dengan perlahan akan mendatangkan lebih banyak manfaat maka pada waktu itu membaca dengan perlahan adalah lebih afdhal daripada dia membaca dengan nyaring.

 

Penutup

Kesimpulannya, membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang amat besar ganjarannya. Di samping itu, hadith yang membuat perumpaan bagi orang membaca al-Quran dengan nyaring seperti orang yang bersedekah secara terang-terangan adalah hadith yang sahih. Walaubagaimanapun, dalam menentukan pembacaan al-Quran secara nyaring atau perlahan yang lebih afdhal, ia perlu dilihat kepada orang yang ingin membaca tersebut dan yang mana lebih memberi manfaat kepadanya serta orang yang berada di sekelilingnya.  Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang cintakan al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai teman rapat serta syafaat untuk kita di hari Akhirat kelak. Amin.

 

Wallahua’lam