Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IH 497

Soalan :

Assalamualaikum ustaz.Semoga ustaz sihat-sihat sahaja. Saya ada soalan yang ingin diajukan. Saya ada terdengar ceramah yang mana Al-Quran ini nantinya akan datang dalam bentuk seorang lelaki pada hari kiamat nanti untuk memberikan untuk memberinya syafaat kepada yang sentiasa mendampingi. Adakah hadis ini hadis yang sahih. Dan adakah ini bermakna Al-Quran itu makhluk sebab dia datang dalam bentuk lelaki. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran adalah kalamullah yang menjadi mukjizat. Membacanya mendapat pahala dan ganjaran sepertimana yang disebutkan oleh Baginda Nabi SAW :

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya kebaikan. Dan kebaikan itu sama seperti 10 kali ganda. Aku tidak katakana ألم itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

Riwayat Al-Tirmizi (2910)

Bahkan lebih daripada itu, Al-Quran adalah kitab petunjuk yang menjadi pedoman bagi manusia sehinggalah hari kiamat. Firman Allah SWT :

ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

Maksudnya : “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa

(Surah Al-Baqarah : 2)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Al-Quran mengandungi hidayah yang mana ianya menuntun mereka yang mencari kebenaran dan petunjuk. Ianya membawa kebahagiaan kepada mereka di dunia dan di akhirat. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 1/39)

Ini bermakna ianya bukan sekadar wahyu akan tetapi tujuan ianya diturunkan adalah sebagai petunjuk untuk manusia menjalani kehidupan di dunia mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh Allah sehingga akhirnya nanti mendapat kebahagiaan di akhirat.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, hadis ini diriwayatkan di dalam beberapa kitab hadis yang muktabar. Di antaranya riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya (22976), Ibnu Majah di dalam Sunannya (3781) dan ianya juga dinukilkan oleh Al-Tabarani di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat (5764). Lafaz hadis tersebut ialah :

يَجِيءُ الْقُرْآنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَالرَّجُلِ الشَّاحِبِ , فَيَقُولُ : أَنَا الَّذِي أَسْهَرْتُ لَيْلَكَ ، وَأَظْمَأْتُ نَهَارَكَ

Maksudnya : “Al-Quran datang pada hari kiamat kelas seperti seorang lelaki yang kekuningan tubuhnya lalu dia berkata : Akulah yang menyebabkan engkau bangun malam dan menyebabkan engkau dahaga di siang harimu.”

Sanad hadis ini bertumpu kepada Waki’ Bin Al-Jarrah daripada Basyir Bin Muhajir daripada Abdullah Bin Buraidah daripada ayahnya Buraidah Bin Husaib. Kesemuanya perawi ini adalah perawi yang thiqah kecuali di dalam riwayat Al-Tabarani dalam Al-Mu’jam Al-Awsat terdapat seorang perawi yang bernama Yahya Bin Abdul Aziz Al-Hammani. Beliau adalah seorang perawi yang dhoif. (Majma’ Al-Zawaid Wa Manba’ Al-Fawaid, 7/73).

Sheikh Syu’aib Al-Arnaut menghukumkan sanad hadis ini sebagai sanad yang hasan. (Rujuk Musnad Ahmad, tahkik Al-Risalah, 38/76). Secara ringkasnya, hadis tersebut adalah hadis yang hasan.

Pada asasnya , banyak hadis-hadis lain yang menceritakan bahawa Al-Quran datang pada hari kiamat dengan pelbagai bentuk. Di antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda :

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Maksudnya : “ Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.

Riwayat Muslim (1910)

Begitu juga di dalam hadis yang lain menyebut :

يَجِيءُ الْقُرْآنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيَقُولُ يَا رَبِّ حَلِّهِ فَيُلْبَسُ تَاجَ الْكَرَامَةِ ثُمَّ يَقُولُ يَا رَبِّ زِدْهُ فَيُلْبَسُ حُلَّةَ الْكَرَامَةِ ثُمَّ يَقُولُ يَا رَبِّ ارْضَ عَنْهُ فَيَرْضَى عَنْهُ فَيُقَالُ لَهُ اقْرَأْ وَارْقَ وَتُزَادُ بِكُلِّ آيَةٍ حَسَنَةً

Maksudnya : “ Al-Quran akan datang pada hari kiamat kelak. Lalu ia berkata : Wahai Tuhan pakaikanlah (pakaian) kepadanya. Maka orang tersebut dipakaikan mahkota kemuliaan. Kemudian Al-Quran berkata lagi : Wahai Tuhan,tambahkanlah. Maka orang tersebut dipakaikan dengan pakaian kemuliaan. Kemudian Al-Quran berkata : Wahai Tuhan redhalah terhadapnya. Maka Allah pun redha kepada orang tersebut. Disebut kepadanya : Bacalah Al-Quran dan naiklah.  Maka ditambahkan bagi setiap ayat satu kebaikan.”

Riwayat Al-Tirmizi (2839)

Dan banyak lagi hadis-hadis yang semisal dengan hadis-hadis tersebut. Namun begitu, adakah jika Al-Quran datang dalam bentuk lelaki, burung dan sebagainya bermakna Al-Quran adalah makhluk?. Sudah tentu tidak. Para ulama cuba menghuraikan apa yang disebutkan oleh Nabi SAW. Di antara yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi. Beliau menyebut :

المُراَدُ أَنَّ ثَوَابَهُما يَأتِي كَغُمَامَتَينِ

Yang dimaksudkan dengan hadis tersebut adalah pahala dari bacaan Al-Quran datang dalam bentuk awan dan sebagainya.” (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim , 6/90).

Imam Abdul Rauf Al-Munawi menjelaskan bahawa yang datang seperti mana yang disebutkan di dalam hadis ialah pahala yang layak diganjarkan kepada orang yang membaca dan beramal dengannya. (Rujuk Faidh Al-Qadir Fi Syarh Al-Jami’ Al-Saghir, 2/81)

Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh para ulama seperti Imam Al-Nawawi dan Al-Munawi maka jelaslah  bahawa apa yang dimaksudkan oleh Nabi bukanlah Al-Quran itu datang dalam bentuk lelaki, burung, awan dan sebagainya. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah pahala yang layak diberikan kepada mereka yang membaca dan beramal dengannya. Pahala-pahala itu nantinya akan datang dalam bentuk lelaki yang menjadi hujah di hadapan Allah. Ia juga menjadi seperti awan yang menaungi para pembacanya dari kepanasan hari akhirat. Inilah yang cuba disampaikan oleh Nabi SAW.

Adapun Al-Quran ia merupakan Kalamullah Al-Qadim. Ia bukannya makhluk sepertimana dakwaan golongan Muktazilah. Rujuk artikel kami di dalam ruangan Bayan Linnas ke 139. [1]

Kesimpulannya, hadis yang menyebutkan bahawa Al-Quran akan datang pada hari kiamat kelak dalam bentuk lelaki adalah hadis yang hasan. Yang dimaksudkan oleh hadis tersebut bukanlah Al-Quran itu datang dalam bentuk lelaki. Ini akan membawa kepada kefahaman bahawa Al-Quran itu makhluk. Namun yang dimaksudkan adalah pahala dan ganjaran hasil dari pembacaan dan beramal dengan Al-Quran. Pahala-pahala itu nanti akan datang pada hari kiamat kelak dengan pelbagai bentuk untuk memberikan syafaat dan perlindungan kepada mereka yang berhak.

Semoga kita sentiasa berdamping dengan Al-Quran dan menjadi orang yang sentiasa membaca dan beramal dengannya.Wallahu’am.

 

[1] Rujuk https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/2486-bayan-linnas-siri-ke-139-al-quran-kalamullah-yang-mukjizat