Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

ih506_15291523.png

 

Soalan: Benarkah selawat lebih tinggi daripada zikir?

 

Ringkasan Jawapan: Selawat dan zikir adalah ibadah yang masyru’ (disyariatkan) oleh agama kita. Sebahagian ulama juga ada menyatakan bahawa selawat merupakan satu juzuk daripada zikir. Oleh sebab itu, Allah SWT menuntut kita untuk sentiasa berselawat ke atas junjungan Nabi SAW. Tambahan pula, ia merupakan wasilah atau jalan kita untuk mendapatkan cinta Allah SWT.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Selawat dan zikir keduanya merupakan tuntutan di dalam syarak kerana terdapat banyak dalil yang menyeru manusia agar sentiasa melaziminya. Sebelum kami menjawa berkaitan isu ini, suka bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu maksud selawat dan zikir agar kita dapat memahaminya dengan baik.

Selawat adalah perkataan jama’ bagi solat (الصلاة‎) yang bermaksud doa atau pujian. Tambahan pula, makna selawat Allah SWT, selawat para malaikat dan juga selawat manusia adalah berbeza di antara satu sama lain. Selawat Allah ialah pujian-Nya di sisi para malaikat yang tinggi. Manakala selawat malaikat pula ialah doa tambahan gandaan pahala dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

Zikir dari sudut bahasa bermaksud mengingati. Manakala dari sudut istilah pula, zikir merupakan sesuatu perkara yang dilakukan dengan tujuan mengingati Allah SWT dengan cara-cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan, perbuatan atau dengan hati.

 

Di dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan dengan begitu jelas berkaitan tuntutan untuk kita sentiasa berselawat dan berzikir. Antaranya:

 

  • Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

al-Ahzab: 56

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

 

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 11/5511)]

Adapun ayat al-Quran berkaitan tuntuan berzikir adalah:

 

  • Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

al-Ahzab: 41

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”

 

  • Firman Allah SWT:

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

al-Insan: 25

Maksudnya: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar solat) pada waktu pagi dan petang.”

 

Terdapat banyak lagi ayat al-Quran berkaitan seruan agar kita sentiasa berzikir dengan mengingati Allah SWT. Di samping itu, di dalam hadith juga ada dinyatakan kelebihan atau tuntutan untuk kita sentiasa berselawat dan berzikir, antaranya:

 

  • Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ

Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat.” [Riwayat al-Baihaqi (5995)][Imam al-Syaukani menilai sanad hadith ini adalah hasan]

 

  • Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [Riwayat Muslim (384)]

 

Di sana juga terdapat banyak hadith berkaitan galakan berzikir ini seperti:

  • Daripada Abu Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.” [Riwayat al-Bukhari (6407)]

 

  • Daripada Abu al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، قَالَ مَكِّيٌّ: وَأَزْكَاهَا، عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ، فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ " قَالُوا: وَذَلِكَ مَا هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: ذِكْرُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Tidakkah kamu ingin aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Kata Makki: Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan duit. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung lehermu. Para sahabat berkata: Apakah perkara itu (kami ingin mengetahuinya) wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Azza Wa Jalla.” [Riwayat Ahmad (27102)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih]

 

Berdasarkan kepada soalan di atas, kami berpandangan keduanya iaitu selawat dan zikir adalah disyariatkan oleh Allah SWT berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadith Nabi SAW yang jelas dan di sana tidak ada dinyatakan dari sudut keutamaan di antara keduanya. Untuk itu, meninggalkan salah satu daripadanya adalah satu perbuatan yang sia-sia yang menyebabkan hilangnya kelebihan yang akan kita perolehi apabila melakukannya. Oleh sebab itu, kita dituntut untuk sentiasa melazimi keduanya pada setiap hari dengan memperbanyakkan selawat dan juga zikir kepada Allah kerana itu adalah yang terbaik agar kita mendapat kelebihan-kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW apabila melakukannya.

 

Penutup

Kesimpulannya, selawat dan zikir adalah ibadah yang masyru’ (disyariatkan) oleh agama kita. Sebahagian ulama juga ada menyatakan bahawa selawat merupakan satu juzuk daripada zikir. Oleh sebab itu, Allah SWT menuntut kita untuk sentiasa berselawat ke atas junjungan Nabi SAW. Tambahan pula, ia iaitu selawat merupakan wasilah atau jalan kita untuk mendapatkan cinta Allah SWT sebagaimana yang terdapat di dalam firman-Nya:

  • Firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

ali-Imran: 31

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

Di sana juga terdapat banyak kelebihan bagi orang yang melakukannya. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima setiap amalan kita serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berselawat ke atas Rasulullah SAW dan berzikir kepada-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam