IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 540: STATUS HADIS PENCIPTAAN ALAM SEMESTA DISEBABKAN NABI MUHAMMAD SAW

STATUS_HADIS_PENCIPTAAN_ALAM_SEMESTA_DISEBABKAN_NABI_MUHAMMAD.png

Soalan

Assalamualaikum, SS Mufti saya ingin bertanya.“Jika bukan kerana Muhammad tidak akan Aku ciptakan alam semesta ini” Adakah hadis ini sahih? Mohon penjelasan, terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Para ulama berpandangan bahawa hadis “Jika bukan kerana engkau (Muhammad), tidak akan Aku ciptakan alam semesta ini” adalah palsu.

Huraian Jawapan

Berkenaan hadis yang ditanyakan tersebut merupakan suatu riwayat yang menyebutkan berkenaan alam ini tidak akan diciptakan oleh Allah SWT jika tidak kerana Nabi Muhammad SAW. Berikut merupakan lafaznya:

لولاك ما خلقت الأفلاك

Maksudnya: Jika bukan kerana engkau (Muhammad), tidak akan Aku ciptakan alam semesta ini.

Imam al-Syaukani dalam al-Fawa’id al-Majmuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah menukilkan pandangan Imam al-Sanʻani yang mengatakan bahawa riwayat ini adalah palsu.[1]

Selain itu, Imam al-Hakim meriwayatkan dalam al-Mustadrak dengan lafaz lebih panjang dan sedikit berbeza iaitu Ibn Abbas RA meriwayatkan bahawa:

 أَوْحَى اللَّهُ إِلَى عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ يَا عِيسَى آمِنْ بِمُحَمَّدٍ وَأْمُرْ مَنْ أَدْرَكَهُ مِنْ أُمَّتِكَ أَنْ يُؤْمِنُوا بِهِ فَلَوْلَا مُحَمَّدٌ مَا خَلَقْتُ آدَمَ وَلَوْلَا مُحَمَّدٌ مَا خَلَقْتُ الْجَنَّةَ وَلَا النَّارَ وَلَقَدْ خَلَقْتُ الْعَرْشَ عَلَى الْمَاءِ فَاضْطَرَبَ فَكَتَبْتُ عَلَيْهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولٌ اللَّهِ فَسَكَنَ

Maksudnya: Allah mewahyukan Isa AS, wahai Isa berimanlah kepada Muhammad dan perintahkan kepada sesiapa yang sempat bersamanya (Muhammad) daripada kalangan umatmu untuk beriman kepadanya (Muhammad). Kalau tidak kerana Muhammad tidak akan Aku ciptakan Adam AS dan kalau tidak kerana Muhammad tidak akan Aku ciptakan syurga dan neraka. Sesungguhnya Aku ciptakan Arasy ke atas air lalu dibolak balikkan kemudian Aku menulis ke atasnya tiada tuhan selain Allah dan Muhammad utusan Allah lalu kekal ia.[2]

Imam al-Hakim menyebutkan hadis ini sanadnya adalah sahih. Walaupun begitu, Imam al-Zahabi tidak bersetuju dengannya dan menyebutkan bahawa hadis ini palsu ke atas Saʻid.[3] Saʻid yang dimaksudkan adalah Saʻid bin Abi ʻArubah (salah seorang perawi dalam sanad hadis di atas).

Jika diperhatikan dari sanad hadis riwayat al-Hakim, ʻAmr bin Aus meriwayatkan hadis ini daripada Saʻid bin ʻArubah. Setelah penelitian dilakukan terhadap sanad ini maka didapati bahawa ʻAmr bin Aus seorang yang tidak dikenali bahkan al-Zahabi menyebutkan ʻAmr bin Aus seorang perawi yang mendatangkan khabar munkar. Imam al-Zahabi juga berpandangan bahawa hadis ini adalah palsu daripada jalur Jandal bin Waliq.[4] Pandangan Imam al-Zahabi ini turut disokong oleh Imam Ibn Hajar al-ʻAsqalani.[5]

Berdasarkan komentar-komentar ulama di atas, jelas bahawa hadis yang menyebutkan tentang “Jika bukan kerana engkau (Muhammad), tidak akan Aku ciptakan alam semesta ini” bukan bersumberkan daripada Nabi SAW dan ia adalah palsu. Walau bagaimanapun dalam hadith kedua di atas yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak  terdapat percanggahan pendapat antara al Hakim yang mengatakan sahih dan al-Zahabi yang menghukumkan palsu. Waallahuaʻlam.

[1] Muhammad bin ‘Ali al-Syaukani, al-Fawa’id al-Majmuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah, ed. ‘Abd al-Rahman bin Yahya al-Muʻallimi (Beirut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, t.t), 326.

[2] Al-Hakim al-Naisaburi, al-Mustadrak ʻala al-Sahihain, ed. Mustafa ʻAbd al-Qadir ʻAta (Beirut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 1990), 2: 671.

[3] Ibn Mulaqqin, Mukhtasar Talkhis al-Zahabi, ed.  Abdullah bin Hamd al-Lahaidan (al-Riyad: Dar al-ʻAsimah, 1411), 2: 1067.

[4] Al-Zahabi, Mizan al-Iʻtidal fi Naqd al-RIjal, ed. ʻAli Muhammad al-Bajawi (Beirut: Dar al-Maʻrifah, 1963), 3: 246.

[5] Ibn Hajar al-ʻAsqalani, Lisan al-Mizan (al-Hind: Da’irah al-Maʻarif al-Nizamiyyah, 1971), 4: 354.


Cetak   Emel