IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-541: KISAH JARI HAMZAH BIN 'AMR BERCAHAYA

ih541

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Maaf ganggu. Saya ada persoalan. Baru-baru ini saya ada mengajar anak yang darjah 4. Saya guna buku teks. Saya ada lihat tentang satu kisah dalam buku itu. Buku itu sebut ada seorang sahabat Namanya Hamzah al-Islami yang bercahaya tangannya ketika gelap kerana sering menjaga wuduk. Dalam buku itu sebut kisah ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari. Saya semak dalam sahih al-Bukhari versi terjemahan Indonesia tiada pula kisah yang disebutkan. Apa sumber kisah tersebut ustaz? Saya sertakan sekali keratan dari buku tersebut. Mohon pencerahan ustaz.

ih

Ringkasan jawapan :

kisah tersebut dinukilkan dan diriwayatkan dalam beberapa kitab. Antaranya Imam al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir, Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, Imam al-Baihaqi di dalam Dalail al-Nubuwwah wa Ma’rifat Ahwal Sohib al-Syari’ah, Ibn ‘Asakir di dalam Tarikh Dimasyq, Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah dan Ibn Sa’ad dalam al-Tabaqat al-Kubra. Kesemuanya diriwayatkan melalui jalan periwayatan Kathir bin Zaid. Namun begitu, kesemua riwayat tersebut tidak menjelaskan dan menyebutkan bahawa cahaya yang keluar dari jari Hamzah bin ‘Amr al-Aslami adalah disebabkan beliau sering menjaga wuduk. Satu pembetulan perlu dilakukan di mana nama sebenar beliau adalah Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bukan Hamzah al-Islami. Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua.

Huraian jawapan :

Sahabat yang dinyatakan dalam buku tersebut adalah Hamzah bin ‘Amr al-Aslami (m.61 H) bukan Hamzah al-Islami. KIsah tersebut diriwayatkan dengan beberapa lafaz. Antaranya Hamzah bin ‘Amr berkata :

كُنَّا معَ النبيِّ صلى اللَّه عليه وسلم في سَفَرٍ، فَتَفَرَّقْنا في لَيْلةٍ ‌ظَلْماءَ ‌دُحْمُسَةٍ، فأَضاءَتْ أَصابِعي حَتَّى جَمَعوا عَليْها ظَهْرَهم وما هَلَكَ مِنْهُمْ، وإِنَّ أَصابِعي لَتُنِيرُ

“Kami bersama Nabi SAW dalam sebuah permusafiran. Lalu kami terpisah pada waktu malam yang sangat gelap. Tiba-tiba jari-jari saya bercahaya sehingga mereka boleh berkumpul semula dan mengutip barang-barang yang tercicir. Sesungguhnya, jari-jari saya mengeluarkan cahaya.”

Kisah ini dinukilkan dalam beberapa kitab. Antaranya Imam al-Bukhari (m.256 H) di dalam al-Tarikh al-Kabir[1]. Beliau menukilkan sanad seperti berikut :

قالَ أَحْمدُ بنُ حَجَّاجٍ: أخبرَنا سُفيانُ بنُ حَمْزةَ عَن كَثيرِ بنِ زَيدٍ عن مُحمَّدِ بنِ حَمْزةَ الأسْلَميِّ عن أبيهِ قالَ: كُنَّا معَ النبيِّ صلى اللَّه عليه وسلم في سَفَرٍ...

“Ahmad Bin Hajjaj berkata : Sufyan bin Hamzah telah memberitahu kami, beliau meriwayatkan daripada Kathir bin Zaid daripada Muhammad bin Hamzah al-Aslami daripada ayah beliau. Hamzah berkata : Kami bersama Rasulullah SAW dalam satu permusafiran…”

Kisah ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani (m.360 H) di dalam al-Mu’jam al-Kabir[2] melalui jalan periwayatan kathir Bin Zaid. Beliau menukilkan sanad seperti berikut :

حَدَّثَنَا مُصْعَبُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ بْنِ حَمْزَةَ الزُّبَيْرِيُّ حَدَّثَنِي أَبِي ح وَحَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ ثنا إِبْرَاهِيمُ بْنُ حَمْزَةَ ثنا سُفْيَانُ بْنُ حَمْزَةَ عَنْ كَثِيرِ بْنِ زَيْدٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ حَمْزَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَسْلَمِيِّ عَنْ أَبِيهِ قَالَ

“Mus’ab bin Ibrahim bin Hamzah al-Zzubairi telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Ayah saya menceritakan kepada saya ; Ali bin Abdul Aziz telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Ibrahim bin Hamzah telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Sufyan bin Hamzah telah menceritakan kepada kami, beliau meriwayatkan daripada Kathir bin Zaid daripada Muhammad bin Hamzah bin ‘Amr al-Aslami daripada ayah beliau. Hamzah berkata…”

Imam Al-Baihaqi (m.458 H) turut meriwayatkan kisah ini di dalam kitab Dalail al-Nubuwwah[3] dengan jalan periwayatan yang sama. Beliau menukilkan sanad seperti berikut :

أَخْبَرَنَا أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ السُّلَمِيُّ أَنْبَأَنَا الْمُسَيَّبُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ حَدَّثَنَا أَبِي حَدَّثَنَا حَمْزَةُ بْنُ مَالِكٍ الْأَسْلَمِيُّ أَبُو صَالِحٍ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ حَمْزَةَ (ح) وأَخْبَرَنَا أَبُو بَكْرٍ مُحَمَّدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الْفَارِسِيُّ، أَنْبَأَنَا أَبُو إِسْحَاقَ الْأَصْبَهَانِيُّ أَنْبَأَنَا أَبُو أَحْمَدَ بْنُ فَارِسٍ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ البخاري حَدَّثَنِي أَحْمَدُ بْنُ الْحَجَّاجِ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ حَمْزَةَ عَنْ كَثِيرِ بْنِ زَيْدٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ حَمْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ... وأَخْبَرَنَا أَبُو نَصْرٍ عُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ بْنُ قَتَادَةَ أَنْبَأَنَا أَبُو عَمْرُو بْنُ مَطَرٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللهِ بْنُ الصَّقْرِ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ الْمُنْذِرِ الْحِزَامِيُّ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ حَمْزَةَ عَنْ كَثِيرِ بْنِ زَيْدٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ حَمْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ عَنْ أَبِيهِ

“Abu Abdurrahman al-Sulami telah memberitahu kami, beliau berkata: al-Musayyib bin Muhammad bin al-Musayyib telah memberitahu kami, beliau berkata : Ayah saya telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Abu Soleh Hamzah bin Malik al-Aslami telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Sufyan bin Hamzah telah menceritakan kepada kami ; Abu Bakar Muhammad bin Ibrahim al-Farisi juga telah memberitahu kami, beliau berkata: Abu Ishak al-Asbahani telah memberitahu kami, beliau berkata: Abu Ahmad bin Faris telah memberitahu kami, beliau berkata : Muhammad bin Ismail al-Bukhari telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Ahmad bin Hajjaj telah menceritakan kepada saya, beliau berkata : Sufyan bin Hamzah telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Kathir bin Zaid daripada Muhammad bin Hamzah al-Aslami daripada ayah beliau.

Abu Nasr Umar Bin Abdul Aziz bin Qatadah telah memberitahu kami, beliau berkata : Abu ‘Amr bin Matar telah memberitahu kami, beliau berkata : Abdullah bin Al-Saqr telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Ibrahim bin al-Munzir al-Hizami telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Sufyan bin Hamzah telah menceritakan kepada kami. . Beliau meriwayatkan daripada Kathir bin Zaid daripada Muhammad bin Hamzah al-Aslami daripada ayah beliau…”

Selain daripada itu, kisah ini turut dimuatkan oleh Ibn ‘Asakir (m.571 H) di dalam Tarikh Dimasyq[4] dan Ibn Kathir (m.774) dalam al-Bidayah wa al-Nihayah[5].

Dalam riwayat yang lain memperincikan peristiwa tersebut bahawa ianya berlaku sejurus selepas peperangan Tabuk. Ianya diriwayatkan oleh Ibn Sa’ad dalam al-Tabaqat al-Kubra[6]. Beliau menukilkan sanad dan lafaz seperti berikut :

قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ عُمَرَ: قَالَ حَمْزَةُ بْنُ عَمْرٍو: ‌لَمَّا ‌كُنَّا ‌بِتَبُوكَ ‌وَانْفَرَّ ‌الْمُنَافِقُونَ ‌بِنَاقَةِ ‌رَسُولِ ‌اللَّهِ صلّى الله عليه وسلم فِي الْعَقَبَةِ حَتَّى سَقَطَ بَعْضُ مَتَاعِ رَحْلِهِ، قَالَ حَمْزَةُ: فَنَوَّرَ لِي فِي أَصَابِعِي الْخَمْسِ فَأُضِيءُ حَتَّى جَعَلْتُ أَلْقُطُ مَا شَذَّ مِنَ الْمَتَاعِ السَّوْطَ وَالْحِبَاءَ وَأَشْبَاهَ ذَلِكَ

“Muhammad bin Umar berkata : Hamzah bin ‘Amr berkata : Ketika kami berada di Tabuk, orang Munafik menyebabkan unta Rasulullah SAW lari ketika di Aqabah sehingga jatuh sebahagian barang keperluan Baginda. Hamzah berkata : Lalu ada cahaya di kelima-lima jari saya dan menerangi kawasan tersebut sehingga saya mula mengutip apa yang terjatuh dari unta Baginda yang berupa pemberian, barangan dan yang serupa dengannya.”

Namun begitu, dalam riwayat-riwayat tersebut tidak menjelaskan cahaya yang keluar dari jari beliau adalah disebabkan sering menjaga wuduk.

Kesimpulannya, kisah tersebut dinukilkan dan diriwayatkan dalam beberapa kitab. Antaranya Imam al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir, Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, Imam al-Baihaqi di dalam Dalail al-Nubuwwah wa Ma’rifat Ahwal Sohib al-Syari’ah, Ibn ‘Asakir di dalam Tarikh Dimasyq, Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah dan Ibn Sa’ad dalam al-Tabaqat al-Kubra. Kesemuanya diriwayatkan melalui jalan periwayatan Kathir bin Zaid. Namun begitu, kesemua riwayat tersebut tidak menjelaskan dan menyebutkan bahawa cahaya yang keluar dari jari Hamzah bin ‘Amr al-Aslami adalah disebabkan beliau sering menjaga wuduk.

NOTA HUJUNG :

[1] Abu Abdullah al-Bukhari, Muhammad bin Ismail, al-Tarikh al-Kabir (2019), al-Nasyir al-Mutamayyiz, Riyadh, j.3 h.393.

[2] Al-Tabarani, Sulaiman bin Ahmad, al-Mu’jam al-Kabir (t.t), Maktabah Ibn Taimiyah, Kaherah, j.3 h.159.

[3] Abu Bakar al-Baihaqi, Ahmad bin al-Husain, Dalail al-Nubuwwah wa Ma’rifat Ahwal Sohib al-Syari’ah (1988), Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Dar al-Rayan li al-Turath,Beirut, j.6 h.79.

[4] Abu al-Qasim Ibn ‘Asakir, Ali bin al-Hasan, Tarikh Dimasyq (1995), Dar al-Fikr, Beirut, j.15 h.225.

[5] Abu al-Fida’ Ibn Kathir, Ismail bin Umar, al-Bidayah wa al-Nihayah (1997), Dar Hajr, Mesir, j.9 h.46, 357.

[6] Abu Abdullah Ibn Sa’ad, Muhammad bin Sa’ad, al-Tabaqat al-Kubra (1968), Dar Sadir, Beirut, j.4 h.315.


Cetak   Emel