IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-542: STATUS HADIS “AKAN TIBA SUATU ZAMAN MANUSIA BERKUMPUL DI DALAM MASJID NAMUN TIADA SEORANG YANG BERIMAN”

QQ.png

 

Soalan

Assalamua'laikum ust, mohon pencerahan hadith di atas. Adakah ianya sahih?

Kata Abdullah Ibn Umar RA:

Akan tiba suatu zaman, manusia berkumpul di dalam masjid-masjid namun tiada seorang pun antara mereka yang beriman. (Riwayat al-Hakim, riwayat ini sahih dan dipersetujui oleh az-Zahabi)

Ringkasan Jawapan

Sanad hadis melalui jalur yang dibawa oleh Imam al-Hakim berkenaan hadis ini adalah sahih. Namun, jika jalur periwayatan yang mempunyai perawi bernama al-Hakam bin ʻAbdullah Abu Mutiʻ al-Balkhi adalah daif kerana ia dikritik oleh ulama hadis sebagai perawi yang daʻif. Kandungan hadis ini sebenarnya menceritakan kepada manusia bahawa di akhir zaman nanti akan ada orang-orang yang berada di dalam masjid melakukan ibadah namun iman mereka lemah dan tidak sehebat iman orang-orang sebelum daripada mereka.

Huraian Jawapan

Persoalan ini timbul apabila tular di media sosial berkenaan Masjid yang dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baru-baru ini menyebabkan masyarakat mula menghubungkan isu tersebut dengan hadis ini.[1] Hal ini kerana terdapat beberapa individu yang kelihatan tidak memakai pakaian yang sewajarnya ketika berada di dalam ruang solat Masjid tersebut. Berdasarkan kepada penelitian yang dibuat, hadis tersebut bersumberkan daripada riwayat al-Hakim seperti berikut. Al-Aʻmasy meriwayatkan hadis ini daripada Khaithamah, daripada ‘Abddullah Ibn Umar RA, beliau berkata:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَجْتَمِعُونَ فِي الْمَسَاجِدِ لَيْسَ فِيهِمْ مُؤْمِنٌ

Maksudnya: Akan tiba suatu zaman, manusia berkumpul di dalam masjid-masjid namun tiada seorang di antara yang beriman.[2]

Riwayat al-Hakim

Imam al-Hakim menyebutkan bahawa:

هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحُ الْإِسْنَادِ عَلَى شَرْطِ الشَّيْخَيْنِ، وَلَمْ يُخْرِجَاهُ

Maksudnya: Sanad hadis ini adalah sahih sebagaimana syarat Imam al-Bukhari dan Muslim. Tetapi hadis ini tidak dikeluarkan oleh mereka.

Perkara ini juga dipersetujui oleh al-Zahabi dengan mengatakan bahawa sanad hadis ini sahih berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.[3] Namun, Ibn ʻAdi mengkritik jalur sanad hadis ini yang terdapat di dalamnya perawi yang bernama al-Hakam bin ʻAbdullah Abu Mutiʻ al-Balkhi. Yahya bin Maʻin menyebutkan beliau sebagai seorang yang laisa bi syai’ (tiada apa-apa/bermasalah). Kemudian, Al-Bukhari dan al-Nasa’i menyebutkan bahawa al-Hakam bin ʻAbdullah Abu Mutiʻ al-Balkhi seorang perawi yang daʻif.[4]

Menurut Abu Bakar al-Ajurri al-Baghdadi, hadis ini menunjukkan situasi iman bertambah dan berkurang. Beliau berkata:

كُلُّ هَذِهِ الْآثَارِ تَدُلُّ عَلَى زِيَادَةِ الْإِيمَانِ وَنُقْصَانِهِ

Maksudnya: Setiap athar ini menunjukkan kepada pertambahan iman dan pengurangannya.[5]

Oleh itu, hadis ini sebenarnya memberi isyarat bahawa di akhir zaman nanti orang-orang yang berada di dalam masjid melakukan ibadah namun iman mereka lemah dan tidak sehebat iman orang-orang sebelum daripada mereka.

Dalam hal ini, Abu Jaʻfar al-Tahawi memberikan sedikit komentar terhadap hadis ini dengan menyebutkan seperti berikut:

وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ ذَلِكَ الزَّمَانِ

Maksudnya: Kami memohon dengan Allah agar dijauhkan daripada zaman tersebut.[6]

Justeru, hadis ini dengan jalur yang dibawa oleh Imam al-Hakim sanadnya adalah sahih. Manakala, jika sanad yang terdapat nama al-Hakam bin ʻAbdullah Abu Mutiʻ al-Balkhi maka sanad tersebut adalah daʻif. Hadis ini sebenarnya menceritakan kepada manusia bahawa di akhir zaman nanti akan ada orang-orang yang berada di dalam masjid melakukan ibadah namun iman mereka lemah dan tidak sehebat iman orang-orang sebelum daripada mereka. Wallahuaʻlam.

[1]    Rujuk pautan berikut https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/723621/ruang-solat-tidak-boleh-jadi-tempat-suntik-vaksin.

[2]    Al-Hakim al-Naisaburi, al-Mustadrak ʻala al-Sahihain, ed. Mustafa ʻAbd al-Qadir ʻAta (Beirut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 1990), no. hadis 8365, 4: 489.

[3]    Rujuk rujukan sebelum.

[4]    Abu Ahmad bin ʻAdi al-Jurjani, al-Kamil fi Duʻafa’ al-Rijal, ed. ʻAdil Ahmad ʻAbd al-Maujud & Ali Muhammad Muʻawwad (Beirut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 1997), 2: 501.

[5]    Abu Bakar Muhammad bin al-Husain al-Ajurri al-Baghdadi, al-Syariʻah, ed. ʻAbdullah bin Umar bin Sulaiman (al-Riyad: Dar al-Watan, 1999), 2: 602.

[6]    Abu Jaʻfar al-Tahawi, Syarh Musykil al-Athar, ed. Syuʻaib al-Arna’ut (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1415), 2: 172.


Cetak   Emel