Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-543: PADA MALAM MI'RAJ, NABI TERLIHAT DI PINTU SYURGA TERTULIS HASAN DAN HUSAIN PILIHAN ALLAH

IH 543

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Maaf menganggu masa ustaz. Saya ada soalan. Saya ada baca tentang hadis Israk Mikraj nabi.  Nabi sebut apabila baginda naik ke langit, baginda nampak di pintu syurga ada satu tulisan. Tertulis di pintu tersebut ‘Muhammad pesuruh Allah, Ali kesayangan Allah, Hasan dan Husain pilihan Allah dan siapa yang benci Fatimah dia akan dilaknat’. Adakah benar hadis ini ustaz? Macam sesuatu sahaja. Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Hadis tersebut diriwayatkan dalam beberapa sumber. Antaranya, al-Khatib al-Baghdadi (m.463 H) di dalam Tarikh Baghdad, Ibn ‘Asakir (m. 571 H) di dalam Tarikh Dimashq, Ibn al-Jauzi (m.597 H) di dalam al-‘ilal al-Mutanahiyah fi al-Ahadith al-Wahiyah. Namun begitu, hadis ini bermasalah dari sudut riwayatnya. Menurut Al-Hafiz al-Zahabi bahawa hadis ini adalah palsu . Al-Khatib al-Baghdadi mengatakan bahawa sanad hadis ini munkar . Penilaian palsu riwayat ini turut dipersetujui oleh Ibn Hajar al-Asqalani . Bahkan dalam sanadnya terdapat beberapa perawi yang bermasalah seperti Ali bin Ahmad al-Hulwani yang banyak meriwayatkan hadis palsu, Muhamad bin Ishak al-Muqri yang banyak melakukan kesalahan dalam periwayatan hadis dan Jabir bin Yazid al-Ju’fi yang merupakan perawi matruk (ditinggalkan periwayatan). Oleh kerana itu, hadis ini haram disebarkan kerana kepalsuannya menurut ulama-ulama hadis.

Namun begitu, kita tidak menafikan kelebihan yang dimiliki oleh Ahlu Bayt (keluarga) Nabi SAW sepertimana yang terkandung di dalam hadis-hadis yang sahih.

Huraian jawapan :

Teks (matan) asal hadis tersebut adalah seperti berikut, Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

لَيْلَةَ عُرِجَ بِي إِلَى السَّمَاءِ رَأَيْتُ عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ مَكْتُوبًا لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ عَلِيٌّ حَبِيبُ اللَّهِ ‌الْحَسَنُ ‌وَالْحُسَيْنُ ‌صَفْوَةُ ‌اللَّهِ فَاطِمَةُ أَمَةُ اللَّهِ عَلَى من باغضهم لَعْنَةُ اللَّهِ

Maksudnya : “Pada malam saya dibawa naik ke langit (mi’raj), saya melihat satu tulisan di pintu syurga yang tertulis : Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, Muhammad adalah pesuruh Allah, Ali adalah kekasih Allah, Hasan dan Husain adalah pilihan Allah dan Fatimah adalah pembantu Allah. Laknat Allah kepada sesiapa yang membenci mereka.”

Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa sumber. Antaranya al-Khatib al-Baghdadi (m.463 H) di dalam Tarikh Baghdad[1]. Beliau menukilkan sanad seperti berikut :

أَخْبَرَنَا أَبُو الْفَتْحِ هِلالُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ جَعْفَرٍ الْحَفَّارُ قَالَ: حَدَّثَنِي أَبُو الْحَسَنِ عَلِيُّ بْنُ أَحْمَدَ بْنِ حَمَّوَيْهِ الْحُلْوَانِيُّ الْمُؤَدِّبُ قَالَ: حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ الْمُقْرِئ قَالَ: حدثنا عَلِيُّ بْنُ حَمَّادٍ الْخَشَّابُ قَالَ: حدثنا عَلِيٌّ ابْنُ الْمَدِينِيِّ، قَالَ: حدثنا وَكِيعُ بْنُ الْجَرَّاحِ، قَالَ: حدثنا سُلَيْمَانُ بْنُ مِهْرَانَ قَالَ: حدثنا جَابِرٌ عَنْ مُجَاهِدٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيْلَةَ عُرِجَ بِي إِلَى السَّمَاءِ

“Abu al-Fath Hilal Bin Muhammad bin Ja’far al-Haffar telah memberitahu kami, beliau berkata: Abu al-Hasan Ali bin Ahmad bin Hammawayh al-Hulwani al-Muaddib telah menceritakan kepada saya, beliau berkata: Muhammad bin Ishak al-Muqri’ telah menceritakan kepada saya, beliau berkata : Ali bin Hammad al-Khasyab telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Ali bin al-Madini telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Waki’ bin al-Jarrah telah menceritakan kepada kami, beliau berkata :Sulaiman bin Mihran telah menceritakan kepada kami, beliau berkata Jabir telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Jabir daripada Mujahid daripada Ibn Abbas, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda :Pada malam saya dibawa naik ke langit…”

Hadis ini turut dinukilkan oleh Ibn ‘Asakir (m. 571 H) di dalam Tarikh Dimashq[2]. Beliau menukilkan sanad berikut :

أخبرنا أبو القاسم علي بن إبراهيم وأبو الحسن علي بن أحمد قالا نا وأبو منصور بن خيرون أنا أبو بكر أحمد بن علي  أنا أبو الفتح هلال بن محمد بن جعفر الحفار حدثني أبو الحسن علي بن أحمد بن حموية الحلواني المؤدب حدثني محمد بن إسحاق المقرئ يعني أبا بكر المعروف بشاموخ نا علي بن حماد الخشاب نا علي بن المديني نا وكيع بن الجراح نا سليمان بن مهران نا جابر عن مجاهد عن ابن عباس قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

“Abu al-Qasim Ali bin Ibrahim dan Abu al-Hasan Ali bin Ahmad telah memberitahu kami, mereka berdua berkata : Abu Mansur bin Khairun telah memberitahu kami, beliau berkata : Abu Bakar Ahmad bin Ali telah memberitahu kami, beliau berkata : Abu al-Fath Hilal bin Muhammad bin Ja’far al-Haffar telah memberitahu kami, beliau berkata: Abu al-Hasan Ali bin Ahmad bin bin Hammawayh al-Hulwani al-Muaddib telah menceritakan kepada saya, beliau berkata :Muhammad bin Ishak al-Muqri iaitu Abu Bakar yang dikenali sebagai Syamukh telah menceritakan kepada saya, beliau berkata : Ali bin Hammad al-Khasyab telah memberitahu kami, beliau berkata : Ali bin al-Madini telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Waki’ bin al-Jarrah telah menceritakan kepada kami, beliau berkata :Sulaiman bin Mihran telah menceritakan kepada kami, beliau berkata Jabir telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Jabir daripada Mujahid daripada Ibn Abbas, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda…”

Hadis ini turut dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi (m.597 H) di dalam al-‘ilal al-Mutanahiyah[3]. Beliau menukilkan sanad yang sama melalui sanad al-Khatib al-Baghdadi.[4]

Jika dilihat, sanad hadis ini tertumpu kepada Ali bin Ahmad bin Hammawayh daripada Muhammad bin Ishak al-Muqri daripada Ali bin Hammad al-Khasyab daripada Ali bin al-Madini daripada Waki’ bin al-Jarrah daripada Sulaiman bin Mihran daripada Jabir daripada Mujahid daripada Ibn Abbas.

Ali bin Ahmad al-Hulwani adalah seorang yang banyak meriwayatkan hadis-hadis palsu. Perkara ini dijelaskan oleh al-Hafiz al-Zahabi (m. 748 H)  bahawa  antara hadis yang dipalsukan oleh Ali bin Ahmad al-Hulwani adalah hadis ini[5]. Perkara yang sama turut disebutkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani (m. 852 H), bahkan beliau menukilkan ucapan al-Khatib al-Baghdadi pada akhir nukilan terhadap hadis ini :

أي والله وعلى واضعه لعنة الله قال الخطيب غالب ظني أن هذه الأحاديث من عمل الحلواني

“Demi Allah, orang yang mereka-reka hadis ini juga mendapat laknat Allah. Al-Khatib berkata : Menurut saya, hadis-hadis (palsu) ini adalah hasil perbuatan al-Hulwani.”[6]

Muhamad bin Ishak al-Muqri yang lebih dikenali sebagai Syamukh[7]. Beliau adalah antara perawi yang meriwayatkan daripada  Ali bin Hammad al-Khasyab. Al-Khatib al-Baghdadi mengkritik beliau dengan menyebut bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan olehnya mengandungi banyak kesalahan[8].  Beliau menjelaskan lagi bahawa Ali Bin Hammad, guru beliau adalah seorang perawi  yang thiqah dan berkredibiliti tidak mungkin untuk meriwayatkan hadis ini[9].

Jabir yang dinyatakan dalam hadis ini adalah Jabir bin Yazid al-Ju’fi. Antara perawi yang meriwayatkan daripada Tabi’in besar, Mujahid bin Jabr. Beliau adalah seorang perawi asal Kufah yang ditinggalkan periwayatannya (matruk). Beliau dinilai sebagai matruk oleh Imam al-Nasaie (m.303 H)[10]. Yahya bin Ma’in juga turut mengkritik beliau. Beliau mengatakan bahawa hadis riwayatnya tidak boleh ditulis atau dinukilkan[11].  Selain daripada itu, al-‘Ijli (m. 261 H) mengatakan :

جَابر بن يزِيد الْجعْفِيّ كَانَ ضَعِيفا يغلو فِي التَّشَيُّع وَكَانَ يُدَلس

“Jabir bin Yazid al-Ju’fi adalah perawi yang lemah. Beliau melampau dalam tasyaiyu’ (fahaman syiah) dan banyak melakukan penipuan (tadlis).”[12]

Ringkasnya, hadis ini bermasalah dari sudut riwayatnya. Al-Hafiz al-Zahabi mengatakan bahawa hadis ini palsu[13]. Al-Khatib al-Baghdadi mengatakan bahawa sanad hadis ini munkar[14]. Penilaian palsu turut dipersetujui oleh Ibn Hajar al-Asqalani[15]. Namun begitu, kita tidak menafikan kelebihan yang dimiliki oleh Ahlu Bayt (keluarga) Nabi SAW sepertimana yang terkandung di dalam hadis-hadis yang sahih. Antaranya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

‌مَنْ ‌أَحَبَّهُمَا ‌فَقَدْ ‌أَحَبَّنِي، وَمَنْ أَبْغَضَهُمَا فَقَدْ أَبْغَضَنِي  يَعْنِي حَسَنًا وَحُسَيْنًا

Maksudnya: “Sesiapa yang mencintai kedua-duanya maka dia telah mencintai saya dan sesiapa yang benci kepada kedua-duanya maka dia telah membenci saya. Yang Nabi maksudkan adalah Hasan dan Husain.”[16]

 

 NOTA HUJUNG:

[1] Al-Khatib al-Baghdadi, Ahmad bin Ali (2002), Tarikh Baghdad, ed. Basyar Awawad Ma’ruf, Beirut: Dar al-  Gharb al-Islami, j.2 h.72.

[2] Ibn ‘Asakir, Ali bin al-Hasan (1995), Tarikh Dimashq, ed. Amru bin Gharamah al-‘Umrawi, Beirut : Dar al-Fikr, j.14 h.170.

[3] Abu al-Farj, Abdurrahman bin Ali (1981), al-‘Ilal al-Mutanahiyah fi al-Ahadith al-Wahiyah, e. Irsyad al-Haq al-Athari, Pakistan : Idarat al-‘Ulum al-Athariyah, j.1 h.257.

[4] Beliau berkata : أَنَا أَبُو مَنْصُورٍ الْقَزَّازُ قَالَ أَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ ثَابِتٍ الْخَطِيبُ قَالَ أَخْبَرَنَا هِلالُ بْنُ مُحَمَّدٍ الْحَفَّارُ قَالَ حَدَّثَنِي أَبُو الْحَسَنِ عَلِيُّ بْنُ أَحْمَدَ بْنِ حَمُّوَيْهِ قَالَ حَدَّثَنِي محمد بن إسحاق المقرىء قَالَ نا عَلِيُّ بْنُ حَمَّادٍ الْخَشَّابُ قَالَ نا عَلِيُّ بْنُ الْمَدِينِيِّ قَالَ نا وَكِيعُ بْنُ الْجَرَّاحِ قَالَ نا سُلَيْمَانُ بْنُ مَهْرَانَ قَالَ نا جَابِرٌ عَنْ مُجَاهِدٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

[5] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (1963), Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal, ed. Ali Muhammad al-Bajawi, Lubnan: Dar al-Ma’rifah, j.3 h.111. Beliau menyebut : حدث عنه هلال الحفار، روى أحاديث موضوعة، من أفظعها ما رواه الخطيب : حدثنا هلال الحفار، حدثني علي بن أحمد بن مموية الحلواني المؤدب، حدثنا محمد بن إسحاق المقرئ، حدثنا على بن حماد الخشاب، حدثنا علي بن المديني، حدثنا وكيع، حدثنا الأعمش، حدثنا جابر، عن مجاهد، عن ابن عباس - مرفوعاً، قال: لما عرج بن رأيت على باب الجنة مكتوبا...

[6] Ibn Hajar al-Asqalani, Ahmad bin Ali (1971), Lisan al-Mizan, Beirut: Muassasah al-‘Alami, j.4 h.194.

[7] Perkampungan yang berada berdekatan dengan Basrah. (Syihabuddin, Yaqut bin Abdullah (1995), Mu’jam al-Buldan, Beirut: Dar al-Sadir, j.3 h.315.

[8] Ibid. Beliau menyebut : وحديثه كثير المناكير

[9] Ibid. Al-Khatib menyebut : على بن حماد مستقيم الحديث، لا يحتمل مثل هذا

[10] Abu Abdurrahman, Ahmad bin Syu’aib (1976), al-Dhu’afa wa al-Matrukun, ed. Mahmud Ibrahim Zayid, Aleppo: Dar al-Wa’i, h.28. Beliua menyebut : ‌جَابر ‌بن ‌يزِيد الْجعْفِيّ مَتْرُوك كُوفِي

[11] Ibn Hibban, Muhammad bin Hibban (2000), al-Majruhin min al-Muhaddithin, ed. Hamadi Abdil Majid, Riyadh: Dar al-Sami’i, j.1 h.245.

[12] Abu al-Hasan al-Ijli, Ahmad bin Abdullah (1985), Ma’rifah al-Thiqat min Rijal Ahl al-‘Ilm wa al-Hadith wa min al-Dhu’afa wa Zikr Mazahibihim wa Akhbarihim, Madinah Munawwarah: Maktabh al-Dar, j.1 h.264.

[13] Ibid.

[14] Ibid.

[15] Ibid. Beliau menyebut : هذا موضوع

[16] Riwayat Imam Ahmad no. 7876, Abu Abdullah, Ahmad bin Hanbal (2001), al-Musnad, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Adil Mursyid, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.13 h.260.


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+