Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-548: TUAN RUMAH TIDAK BOLEH BERPUASA MELAINKAN DENGAN IZIN TETAMU

IH 548

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ada persoalan. Saya pernah dengar satu hadis yang menyebut tuan rumah kalau ada tetamu datang, dia tidak boleh berpuasa kecuali dapat izin dari tetamu yang ada. Adakah ada hadis ini ustaz? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan:

Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Dailami (m.509 H) di dalam al-Firdaus bi Ma’thur al-Khiṭāb atau lebih dikenali sebagai Musnad al-Firdaus. Akan tetapi, hadis tersebut adalah hadis yang lemah disebabkan dua orang perawi iaitu Abdurrahman bin Waqid dan Ṣalt bin Hajjaj. Mereka berdua adalah sebab hadis ini dinilai sebagai lemah dan riwayat mereka sering dikritik oleh ulama hadis.

Namun begitu, para fuqaha membincangkan hukum puasa bagi orang yang dikunjungi tetamu. Al-Khatib al-Syirbini menyatakan harus untuk berbuka puasa untuk memuliakan tetamu. Hukum ini juga berdasarkan anjuran Nabi SAW agar memuliakan tetamu yang datang bertandang ke rumah seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Abu Daud dan lain-lain.

Huraian jawapan :

Ada teks hadis yang hampir sama dengan persoalan yang dikemukakan. Lafaz tersebut ialah:

‌لا ‌يصومُ ‌صاحبُ ‌البيت ‌إلا ‌بأذن ‌الضيف

Maksudnya : “Tuan rumah tidak berpuasa melainkan dengan keizinan tetamu.”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Dailami (m.509 H) di dalam Musnad al-Firdaus.[1] Beliau menukilkan hadis tanpa sanad dan hanya menyebut perawi dari kalangan sahabat iaitu ‘Aishah RA. Namun begitu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (m.852 H) mencari dan menemui sanad al-Dailami bagi hadis tersebut. Beliau berkata :

Dia (al-Dailami) berkata : Ayah saya telah memberitahu kami, beliau berkata: Abu Ali bin al-Banna telah memberitahu kami, beliau berkata :Abu al-Husain bin Bisyran telah memberitahu kami, beliau berkata : Abu Bakar al-Syāfi’ī telah memberitahu kami, beliau berkata: Ishak bin al-Hasan al-Harb telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Abdurrahman bin Waqid telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: al-Ṣalt bin al-Hajjaj telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Abu Muhammad al-Ṣalt al-Kufi telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada ayah beliau daripada ‘Aisyah RA, beliau berkata:  Rasulullah SAW bersabda…”[2]

Hadis ini tidak diriwayatkan melainkan dengan sanad ini sahaja. Al-Hafiz al-Suyuti (m. 911 H) di dalam al-Jami’ al-Kabir memberi isyarat bahawa hadis ini hanya diriwayatkan oleh al-Dailami.[3] Abu ‘Ali bin Al-Bannā atau nama sebenarnya al-Hasan bin Ahmad bin Abdullah merupakan tokoh hadis di dalam mazhab Hanbali. Beliau juga merupakan tokoh profilik yang bukan sahaja pakar dalam bidang hadis, namun pakar dalam bidang fiqh, faraid, qiraat dan lain-lain.[4] Beliau adalah anak murid kanan kepada tokoh besar mazhab Hanbali, Abu Ya’la bin al-Farrā’.[5] Al-Imam al-Zahabi (m.748 H) menilai beliau sebagai seorang yang saduq (benar).[6]

Abu al-Husain bin Bisyran atau nama sebenarnya Ali bin Muhammad bin Abdullah bin Bisyran adalah seorang tokoh hadis di Baghdad. al-Hafiz al-Zahabi menyifatkan beliau sebagai seorang yang meriwayatkan hadis dengan tepat dan amanah.[7] al-Khatib al-Baghdadi (m. 463 H) menjelaskan :

كَانَ تَامَّ المُرُوْءةِ، ظَاهِرَ الدِّيَانَة، صَدُوْقاً ثَبْتاً

“Beliau adalah seorang yang sempurna maruah dirinya, terzahir kesan agama pada dirinya. Beliau juga adalah seorang yang saduq dan kuat hafalan.”[8]

Abu Bakar al-Syāfi’ī, Muhammad bin Abdullah bin Ibrahim bin al-Abdawayh[9] adalah seorang perawi yang thiqah dan teliti dalam periwayatan. Imam al-Daruqutni (m.385 H) menjelaskan:

أبو بكر جبلي ثقة مأمون فما كان في ذلك الزمان أوثق منه ما رأيت له إلا أصولا صحيحة متقنة قد ضبط سماعه فيها أحسن الضبط

“Abu Bakar adalah tokoh yang berasal dari Jabbuli[10], thiqah dan dipercayai. Tiada pada zaman tersebut orang yang lebih thiqah daripada beliau. Saya tidak melihat beliau melainkan mempunyai pegangan yang kukuh lagi sahih dan juga mahir. Beliau begitu teliti dalam periwayatannya.”[11]

Al-Khatīb al-Baghdadī juga menyifatkan beliau sebagai seorang yang thiqah dan mempunyai karya-karya yang bagus dan guru yang ramai.[12]

Ishak bin al-Hasan al-Harbi adalah seorang perawi yang thiqah. Antara yang menilai beliau sebagai perawi yang thiqah adalah al-Daraqutni.[13]

Abdurrahman bin Waqid, Abu Muslim adalah seorang perawi yang berasal daripada Basrah. Beliau banyak meriwayatkan hadis munkar yang dinisbahkan kepada perawi yang thiqah Beliau juga terkenal sebagai seorang yang mencuri periwayatan orang lain dan menisbahkan kepada periwayatan beliau sendiri.[14] Ibn Hajar al-Asqalani menilai beliau sebagai seorang perawi yang saduq namun banyak melakukan kesilapan dan kekeliruan.[15]

Ṣalt bin Hajjaj adalah seorang perawi yang dipertikaikan kredibilitinya. Ibn ‘Adī menjelaskan bahawa dalam riwayatnya terdapat kesalahan.[16] Ibn al-Jauzi juga menilai beliau sebagai perawi yang lemah dan banyak meriwayatkan hadis munkar.[17]

Justeru, hadis tersebut adalah lemah disebabkan dua orang perawi iaitu Abdurrahman bin Waqid dan Ṣalt bin Hajjaj. Mereka berdua adalah sebab hadis ini dinilai sebagai lemah.

Namun begitu, para fuqaha membincangkan hukum puasa bagi orang yang dikunjungi tetamu. Al-Khatīb al-Syarbīni (m.977 H) menjelaskan bahawa makruh untuk membatalkan puasa sunat berdasarkan ayat 33 Surah Muhammad. Justeru, meneruskan puasa adalah lebih baik. Namun jika ada keperluan seperti membantu tetamu dan sekiranya tuan rumah tidak makan bersama, tetamu tidak ingin menjamah makanan, maka harus untuk tidak meneruskan puasa sunat bahkan ia dianggap sebagai sunat.[18]

Hukum tersebut adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Uthman bin Maẓ’un, Nabi SAW bersabda :

‌وإنَّ ‌لضَيفِكَ ‌عليك ‌حقاَ

“Sesungguhnya kamu mempunyai hak (tanggungjawab yang perlu ditunaikan) kepada tetamu kamu.”[19]

Maulana Muhammad Asyraf al-Aẓim Abadī menjelaskan bahawa hadis ini menjadi dalil kepada orang yang berpuasa agar berbuka puasa jika ada tetamu yang datang berziarah. Sunat untuk tuan rumah makan bersama tetamu agar tetamu merasa gembira dan itu adalah salah satu cara memuliakannya.[20]

Kesimpulannya, hadis tersebut adalah hadis yang lemah disebabkan dua orang perawi iaitu Abdurrahman bin Waqid dan Ṣalt bin Hajjaj. Mereka berdua adalah sebab hadis ini dinilai sebagai lemah dan riwayat mereka sering dikritik oleh ulama hadis. Namun begitu, para fuqaha membincangkan hukum puasa bagi orang yang dikunjungi tetamu. Al-Khatib al-Syirbini menyatakan harus untuk berbuka puasa untuk memuliakan tetamu. Hukum ini juga berdasarkan anjuran Nabi SAW agar memuliakan tetamu yang datang bertandang ke rumah.

 

[1] Abu Syujā’ al-Dailamī, Shairawaīh bin Shahradar (1986), al-Firdaus bi Ma’thur al-Khiṭāb, ed. Sa’id bin Baisuni Zaghlul, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, j.5 h.138.

[2] Ibn Hajar al-‘Asqalānī, Ahmad bin Ali (2018), al-Gharāib al-Multaqiṭah min Musnad al-Firdaus al-Musammā Zahr al-Firdaus, ed. Dr Wasim ‘Isam Syibli, Dubai: Jam’iyah Dar al-Bir, j.7h.433. Ibn Hajar menukilkan : قال أخبرنا أبي أخبرنا أبو علي بن البناء أخبرنا أبو الحسين بن بشران أخبرنا أبو بكر الشافعي حدثنا إسحاق بن الحسن الحربي حدثنا عبد الرحمن بن واقد حدثنا الصَلْت بن الحَجَّاج حدثنا أبو محمد بن الصَلْت الكوفي عن هشام بن عروة عن أبيه عن عائشة قالت قال رسول الله  صلى الله عليه وسلم : لا يصومُ صاحبُ البيت إلا بأذن الضيف

[3] Jalal al-Din al-Suyuti, Abdurrahman bin Abu Bakar (2005), Jam’u al-Jamawi’, ed. Mukhtar Ibrahim al-Haij, Abdul Hamid Muhammad Nada, Hassan Isa Abd al-Zahir, Kaherah: al-Azhar al-Syarif, j.12 h.81. Beliau mengisyaratkan : الديلمي عن عائشة

[4] Abu al-Husain, Muhammad bin Abu Ya’lā (t.t), Tabaqāt al-Hanābilah, ed. Muhammad Hamid al-Faqi, Kaherah:  Maṭba’ah al-Sunnah al-Muhammadiyah, j.2 h.243. وصنف كتبا فِي الفقه والحديث والفرائض وأصول الدين وفي علوم مختلفات وَكَانَ متقنا فِي العلوم

[5] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (1997), Ma’rifat al-Qurrā al-Kibār ‘ala al-Tabaqāt wa al-‘Aṣār, Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyah, h.242. قرأ عليه بالروايات مثل أبي عبد الله البارع، وأبي العز القلانسي، وهو من قدماء تلامذة القاضي أبي يعلي بن الفراء

[6] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (2006), Siyar ‘alam al-Nubalā, Kaherah: Dar al-Hadith, j.12 h.474, وَالرَّجُل فِي نَفْسِهِ صَدُوْقٌ وَكَانَ مِنْ أَبْنَاءِ الثَّمَانِيْنَ رَحِمَهُ اللهُ وَمَا التَّحَنْبَلُ بعَارٍ وَاللهِ

[7] Ibid., j.13 h.79. al-Hafiz al-Zahabi menyebut:  رَوَى شَيْئاً كَثِيْراً عَلَى سَدَادٍ وَصِدْقٍ وَصحَّة رِوَايَة، كَانَ عَدْلاً وَقُوْراً

[8] Ibid.

[9] Sebahagian menyebut Abdurbah (Abu Abdullah al-Dimashqī, Muhammad bin Ahmad (1996), Ṭabaqāt ‘Ulama al-Hadīth, ed. Akram al-Bushi, Ibrahim al-Zubaiq, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.3 h.72. الإمام، الحُجَّة، محدِّث العِراق، محمدُ بن عبد الله بن إبراهيم بن عَبْدُربه

[10] Sebuah kampung kecil antara Nu’maniyah dan Wasit yang  berada di timur Dajlah.

[11] Ibn al-Nuqtah al-Hanbali, Muhammad bin Abdul Ghani (1988), al-Taqyīd li Ma’rifah Ruwāt al-Sunan wa al-Masanīd, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, h.69.

[12] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (1998), Tazkirat al-Huffāẓ, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, j.3 h.65. قال الخطيب: كان ثقة ثبتًا حسن التصانيف جمع أبوابًا وشيوخًا

[13] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (1963), Mīzān al-‘Itidāl fi Naqd al-Rijāl, ed. Ali Muhammad al-Bijawi, Beirut: Dar al-Ma’rifah, j.1 h.190. وثقه إبراهيم الحربى رفيقه والدارقطني

[14] Abu Ahmad, Abdullah bin ‘Adī (1997), al-Kāmil fi al-Ḍu’afā al-Rijāl, ed. Ali Muhammad Muawwad, Adil Ahmad Abdul Mawjud, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, j.5 h.513. Ibn ‘Adī menyebut: حدث بالمناكير عن الثقات وسرق الحديث

[15] Ibn Hajar al-Asqalani, Ahmad bin Ali (1986), Taqrīb al-Tahzīb, ed. Sheikh Muhammad Awwamah, Syria: Dar al-Rasyid, h. 352.

[16] Ibid., j.5 h.129. وفي حديثه بعض النكرة

[17] Abu al-Farj ibn al-Jauzi, Abdurrahman bin Ali (1985), al-Ḍu’afā’ wa al-Matrukīn, ed. Abdullah al-Qaḍī, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, j.2 h.57.

[18] Al-Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad (1994), Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma’rifah Alfāẓ al-Minhāj, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, j.2 h.186. ‌وَلَكِنْ ‌يُكْرَهُ ‌الْخُرُوجُ ‌مِنْهُ ‌بِلَا ‌عُذْرٍ لِظَاهِرِ قَوْله تَعَالَى: {وَلا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ} [محمد: 33] وَلِلْخُرُوجِ مِنْ خِلَافِ مَنْ أَوْجَبَ إتْمَامَهُ، فَإِنْ كَانَ هُنَاكَ عُذْرٌ كَمُسَاعَدَةِ ضَيْفٍ فِي الْأَكْلِ إذَا عَزَّ عَلَيْهِ امْتِنَاعُ مَضِيفِهِ مِنْهُ أَوْ عَكْسُهُ، فَلَا يُكْرَهُ الْخُرُوجُ مِنْهُ بَلْ يُسْتَحَبُّ

[19] Riwayat Abu Daud no. 1369, Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy’ath (2009), Sunan Abi Daud, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Muhammad Kamul Qurah Balali, Beirut: Dar al-Risalah al-‘Alamiyah, j.2 h.512. Hadis ini adalah sebahagian daripada teks yang panjang. Teks asalnya adalah : يا عثمانُ أرغِبتَ عن سُنتي؟ قال: لا والله يا رسولَ الله ولكن سُنَّتك أطلُبُ قال: فإني أنامُ وأصلِّي وأصومُ وأُفطر وأنكِحُ النساءَ، فاتَّقِ الله يا عثمانُ فإن لأهلك عليك حقّاَ وإنَّ لضَيفِكَ عليك حقاَ وإن لنَفسِكَ عليك حقّاً فصُم وأَفطِر وصَلِّ ونَم

[20] Abu Abdurrahman, Muhammad Asyraf bin Amir (1994) ‘Aun al-Ma’būd Syarh Sunan Abī Daud, j.4 h.170. Beliau menyebut : فِيهِ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّ الْمُتَطَوِّعَ بِالصَّوْمِ إِذَا أَضَافَهُ ضَيْفٌ كَانَ الْمُسْتَحَبُّ لَهُ أَنْ يُفْطِرَ وَيَأْكُلَ مَعَهُ لِيَنْبَسِطَ بِذَلِكَ مِنْهُ وَيَزِيدَ فِي مَحَبَّتِهِ لِمُوَاكَلَتِهِ إِيَّاهُ وَذَلِكَ نَوْعٌ مِنْ إِكْرَامِهِ


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+