Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-549: SESIAPA YANG MENGUCAPKAN لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله, IA ADALAH PENYEMBUH 99 PENYAKIT

IR549.JPG

SOALAN:

Assalamualaikum w.b.t ustaz. Apa khabar? Harap ustaz sihat sentiasa. Saya ada persoalan yang ingin dikemukakan. Saya ada dengar hadis Nabi yang disampaikan oleh seorang ustaz yang mana ustaz tu sebut Nabi sebut sesiapa yang mengucapkan la haula wa la quwwata illa billah, ia akan jadi penyembuh 99 penyakit. Adakah ada hadis ini ustaz? Mohon penjelasan ustaz yang mulia.

RINGKASAN JAWAPAN:

Hadis tersebut diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis antaranya kitab al-Du’ā oleh Imam al-Ṭabarānī (m. 360 H), Ishāk bin Rahawaih (m.238 H di dalam al-Musnad , Abu Bakar Ibn Abi al-Dunya (m.281 H) di dalam al-Farj ba’da al-Shiddah , Ibn ‘Adī (m. 365) di dalam al-Kāmil fī Ḍu’afā al-Rijal , Abu ‘Ali al-Tannukhi (m. 384 H) di dalam al-Farj b’ada al-Shiddah , al-Hākim al-Nīsābūrī (m.405 H) di dalam al-Mustadrak ‘ala al-Ṣaḥīḥain , Abu Nu’aim al-Aṣbahānī (m.430 H) di dalam al-Ṭib al-Nabawī , dan Imam al-Baihaqī (m.458 H) di dalam al-Da’wāt al-Kabīr. Imam al-Ṭabarānī turut menukilkan hadis tersebut dengan sanad dan teks yang sama di dalam kitab al-Mu’jam al-Awsaṭ. Kesemuanya sanad mereka bertemu paksi riwayat (madar) yang sama iaitu daripada Abd al-Razzāq daripada Bishr bin Rāfi’ daripada Muhammad bin ‘Ajlān daripada ayahnya daripada Abu Hurairah RA. Ringkasnya, riwayat ini lemah disebabkan Bishr bin Rafī‘.

Namun begitu, jalur riwayat ini mempunyai syawahid (sokongan melalui jalur riwayat sahabat yang lain) daripada Mu’awiyah bin Haydah yang dinukilkan oleh Imam al-Ṭabarāni di dalam al-Mu’jam al-Awṣaṭ. riwayat sokongan ini juga adalah lemah disebabkan ‘Amr bin Abu Salamah al-Tinnīsī dan Ṣadaqah bin ‘Abdullah Abu Mu’awiyah al-Samīn.

Walaupun riwayat hadis ini lemah, dari sudut makna, ia disokong dengan hadis sahih yang menyatakan kelebihan berzikir dan kelebihan mengucapkan hauqalah . Antaranya hadis sahih yang diriwayatkan Abu Hurairah seperti yang dinukilkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab al-Musnad. Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.

 

HURAIAN JAWAPAN:

Teks (matan) hadis tersebut adalah seperti berikut:

‌مَنْ ‌قَالَ ‌لَا ‌حَوْلَ ‌وَلَا ‌قُوَّةَ ‌إِلَّا ‌بِاللَّهِ ‌كَانَتْ ‌لَهُ ‌دَوَاءً مِنْ تِسْعٍ وَتِسْعِينَ دَاءً أَيْسَرُهَا الْهَمُّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan la haula wa la quwwata illa billah, ia akan menjadi penawar dari 99 penyakit yang paling ringan adalah penyakit al-ham (kerisauan).”

Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya kitab al-Du’ā oleh Imam al-Ṭabarānī (m. 360 H).[1] Beliau menukilkan sanad seperti berikut:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ النَّضْرِ الْأَزْدِيُّ، ثنا خَالِدُ بْنُ خِدَاشٍ ح، وَحَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ إِسْحَاقَ النَّيْسَابُورِيُّ، ثنا إِسْحَاقُ بْنُ رَاهَوَيْهِ، قَالَا: ثنا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، أَنْبَأَ بِشْرُ بْنُ رَافِعٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلَانَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Muhammad bin al-Naḍr al-Azdī telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Khalid bin Khidash telah menceritakan kepada kami (ح)[2] Ismail bin Ishak al-Nisaburī turut menceritakan kepada kami, beliau berkata: Ishak bin Rahawaih telah menceritakan kepada kami, kedua-duanya (Ishak bin Rahawaih dan Khalid bin Khidash) berkata: Abd al-Razzāq telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Bisyr bin Rāfi’ telah memberitahu kami. Beliau meriwayatkan daripada Muhammad bin ‘Ajlān daripada ayahnya daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda…”

 Imam al-Ṭabarānī turut menukilkan hadis tersebut dengan sanad dan teks yang sama di dalam kitab al-Mu’jam al-Awsaṭ.[3] Hadis ini juga dinukilkan oleh Ishāk bin Rahawaih (m.238 H di dalam al-Musnad[4], Abu Bakar Ibn Abi al-Dunya (m.281 H) di dalam al-Farj ba’da al-Shiddah[5], Ibn ‘Adī (m. 365) di dalam al-Kāmil fī Ḍu’afā al-Rijal[6], Abu ‘Ali al-Tannukhi (m. 384 H) di dalam al-Farj b’ada al-Shiddah[7], al-Hākim al-Nīsābūrī (m.405 H) di dalam al-Mustadrak[8], Abu Nu’aim al-Aṣbahānī (m.430 H) di dalam al-Ṭib al-Nabawī[9], dan Imam al-Baihaqī (m.458 H) di dalam al-Da’wāt al-Kabīr[10]. Kesemuanya sanad mereka bertemu paksi riwayat (madar) yang sama iaitu daripada Abd al-Razzāq daripada Bishr bin Rāfi’ daripada Muhammad bin ‘Ajlān daripada ayahnya daripada Abu Hurairah RA.

Abd al-Razzāq, nama sebenarnya Abd al-Razzaq bin Hammam bin Nāfi‘ al-Himyarī al-Ṣan’anī. Beliau terkenal dengan karya beliau al-Muṣannaf. Beliau terkenal sebagai ahli hadis yang banyak menulis, mengumpulkan riwayat dan merupakan antara perawi yang dinilai thiqah (dipercayai kredibiitinya) seperti yang dinyatakan oleh Abu al-Hasan al-‘Ijli.[11] Namun begitu, beliau sering dikritik apabila meriwayatkan hadis dari hafalannya[12]. Oleh sebab itu, Imam al-Bukhari menyebut:

ما حَدَّثَ مِنْ كِتابِه فهُوَ أَصحُّ

“Apa yang beliau riwayatkan daripada kitabnya, maka riwayatnya itu lebih sahih.“[13]

Yahya bin Ma’in (m.233 H) juga hanya meriwayatkan hadis-hadis Abd al-Razzāq yang beliau riwayatkan daripada kitab.[14] Ini menunjukkan bahawa hadis-hadis diriwayatkan oleh Abd al-Razzāq hanya diterima jika beliau meriwayatkan daripada kitab disebabkan beliau mempunyai hafalan yang lemah. Perkara ini ditegaskan lagi apabila beliau diuji dengan hilang penglihatan ketika akhir umur beliau. Imam Ahmad (m.241 H) menjelaskan:

أتينا عبد الرزاق قبل المئتين وهو صحيح البصر ومن سمع منه بعدما ذهب بصره، فهو ضعيف السماع

“Kami pergi bertemu Abd al-Razzāq sebelum tahun 200 hijrah dalam keadaan matanya masih elok. Sesiapa yang mendengar hadis daripada beliau setelah penglihatan beliau hilang, maka riwayat yang didengarinya itu adalah riwayat yang lemah.“[15]

Dalam riwayat ini, ada tiga orang perawi yang mendengar daripada beliau iaitu Khālid bin Khidash al-Muhallabi, Ishak bin Ibrahim al-Hanẓalī dan Muhammad bin Sahl bin ‘Askar. Mereka semua mendengar hadis daripada Abd al-Razzāq sebelum beliau kehilangan penglihatannya.

Bishr bin Rafī‘ al-Harithī al-Najrānī  adalah seorang perawi yang lemah. Hal ini disebutkan oleh Imam Ahmad seperti yang dinukilkan oleh anak beliau, Abdullah.[16] Yahya bin Ma’in juga mengkritik beliau kerana sering meriwayatkan hadis-hadis munkar.[17] Imam al-Nasaie turut menilai Bishr bin Rafī‘ sebagai perawi yang lemah.[18]

Muhammad bin ‘Ajlān al-Qurashī adalah perawi yang thiqah menurut Sufyan bin ‘Uyainah.[19] Imam Ahmad turut menilai beliau sebagai perawi thiqah.[20] Penilaian thiqah yang diberikan kepada Muhammad bin ’Ajlān disokong oleh kebanyakan ulama hadis.

‘Ajlān Maulā Fatimah, ayah kepada Muhammad bin ‘Ajlan seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nasāiī adalah seorang perawi yang thiqah dan tiada yang meriwayatkan daripada beliau melainkan anaknya, Muhammad.[21]

Justeru, riwayat ini lemah disebabkan Bishr bin Rafī‘. Namun begitu, jalur riwayat ini mempunyai syawahid (sokongan melalui jalur riwayat sahabat yang lain)  yang dinukilkan oleh Imam al-Ṭabarāni di dalam al-Mu’jam al-Awṣaṭ. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut:

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ قَالَ: نا عَمْرٌو قَالَ: نا صَدَقَةُ عَنِ الْأَصْبَغِ، عَنْ بَهْزِ بْنِ حَكِيمٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ صَدَقَةَ السِّرِّ تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ وَإِنَّ صَنَائِعَ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السَّوْءِ وَإِنَّ صِلَةَ الرَّحِمِ تَزِيدُ فِي الْعُمُرِ وَتَقِي الْفَقْرَ. وَأَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ: لَا حَوْلَ وَلَا وَقُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ فَإِنَّهَا كَنْزٌ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ فِيهَا شِفَاءً مِنْ ‌تِسْعَةٍ ‌وَتِسْعِينَ ‌دَاءً أَدْنَاهَا الْهَمُّ

“Ahmad telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: ‘Amr telah memberitahu kepada kami, beliau berkata: Ṣadaqah telah memberitahu kami. Beliau meriwayatkan daripada al-Aṣbagh daripada Bahz bin Ḥakīm daripada ayahnya (Hakīm bin Mu’awiyah) daripada datuknya (Mu’awiyah bin Haydah) daripada Rasulullah SAW.“[22]

Jalur ini dihukum sebagai gharib atau tafarrud (bersendirian) kerana tiada yang meriwayatkan daripada Bahz bin Hakīm melainkan al-Aṣbagh, tiada yang meriwayatkan daripada al-Aṣbagh melainkan Ṣadaqah dan tiada yang meriwayatkan daripada Ṣadaqah melainkan ‘Amr. Perkara ini dijelaskan oleh Imam al-Ṭabarānī setelah menukilkan riwayat ini.[23]

‘Amr yang dinyatakan dalam sanad adalah ‘Amr bin Abu Salamah al-Tinnīsī. Yahya bin Ma’in menilai beliau sebagai perawi yang lemah (ḍa’if).[24] Al- ‘Uqailī menyebut bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan oleh beliau terdapat kesalahan.[25]

Ṣadaqah ialah Ṣadaqah bin ‘Abdullah Abu Mu’awiyah al-Samīn. Beliau merupakan perawi yang lemah. Hal ini dijelaskan oleh sebahagian ulama hadis seperti Yahya bin Ma’in.[26] Imam Ahmad turut menilai beliau sebagai perawi yang lemah.[27]

Al-Aṣbagh bin Zayd bin Ali al-Juhanī adalah seorang perawi yang thiqah seperti yang dijelaskan oleh Ibn Ma’in.[28] Imam al-Nasāiī menjelaskan bahawa beliau adalah antara perawi yang thiqah.[29]

Bahz bin Hakīm adalah seorang perawi yang disepakati kredibilitinya dalam periwayatan hadis. Antara yang menilai beliau sebagai perawi yang thiqah adalah Yahya bin Ma’in, Ali bin al-Madini (m. 234 H), Abu Zur’ah al-Razi (m. 281 H) dan lain-lain.[30] Bapa (Mu’awiyah bin Hakīm) dan datuk beliau (Mu’awiyah bin Haydah) adalah antara sahabat Nabi SAW.

Oleh itu, riwayat sokongan ini juga adalah lemah disebabkan ‘Amr bin Abu Salamah al-Tinnīsī dan Ṣadaqah bin ‘Abdullah Abu Mu’awiyah al-Samīn.

Walaupun riwayat hadis ini lemah, dari sudut makna, ia disokong dengan hadis sahih yang menyatakan kelebihan berzikir dan kelebihan mengucapkan hauqalah[31]. Antaranya hadis sahih yang diriwayatkan Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

‌أَكْثِرُوا ‌مِنْ ‌قَوْلِ ‌لَا ‌حَوْلَ ‌وَلَا ‌قُوَّةَ ‌إِلَّا ‌بِاللهِ، ‌فَإِنَّهَا ‌كَنْزٌ ‌مِنْ ‌كُنُوزِ ‌الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Perbanyakkan menyebut la haula wa la quwwata illa billah (tiada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah). Sesungguhnya ucapan tersebut (hauqalah) adalah gedung daripada gedung syurga.“[32]

Al-Mulla Ali al-Qari menjelaskan bahawa gedung yang dimaksudkan ialah kalimat yang akan memberikan manfaat kepada orang yang mengucapkannya di akhirat nanti.[33]

Bahkan zikir itu boleh mendatangkan ketenangan yang menjadi ubat kepada jiwa dan diri. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah dengan zikrullah (ingat kepada Allah) itu, tenang tenteramlah hati manusia.“[34]

[1] Abu al-Qasim, Sulaiman bin Ahmad (1992), al-Du’ā, ed. Muṣtafā Abd al-Qadīr ‘Aṭā, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, h.478.

[2] Ia disebut sebagai huruf tahwil. Iaitu satu kaedah yang digunakan oleh ahli hadis di dalam penulisan mereka untuk berpindah dari satu sanad ke sanad yang lain.

[3] Abu al-Qasim, Sulaiman bin Ahmad (1995), al-Mu’jam al-Awsaṭ, ed.  Ṭāriq ‘Iwaḍullah, Abd al-Hasan al-Husaini, Kaherah: Dar al-Haramain, j.5 h.187. Beliau menyebut: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ النَّضْرِ الْأَزْدِيُّ قَالَ: نَا خَالِدُ بْنُ خِدَاشٍ قَالَ: نَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ قَالَ: حَدَّثَنِي بِشْرُ بْنُ رَافِعٍ الْحَارِثِيُّ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلَانَ، عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ دَوَاءٌ مِنْ ‌تِسْعَةٍ ‌وَتِسْعِينَ ‌دَاءً أَيْسَرُهَا الْهَمُّ

[4] Abu Ya’qub, Ishak bin Ibrahim (1991), Musnad Ishak bin Rahawaih, ed. Abd al-Ghafur bin Abd al-Hak, Madinah Munawwarah: Maktabah al-Iman, j.1 h. 464. أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، نا بِشْرُ بْنُ رَافِعٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلَانَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

[5] Ibn Abu al-Dunya, Abdullah bin Muhammad (1988), al-Farj ba’da al-Shiddah, ed. Ubaidullah bin ‘Aliyah, Mesir: Dar al-Rayyan, h.34. حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ خِدَاشٍ ثنا عَبْدُ الرَّزَّاقِ عَنْ بِشْرِ بْنِ رَافِعٍ الْحَارِثِيِّ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلَانَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

[6] Ibn ‘Adī, Abdullah bin ‘Adī (1997), al-Kāmil fī Ḍu’afā al-Rijāl, Ali Muhammad Mu’awwaḍ, ‘Adi Ahmad Abd al-Mawjud, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, j.2 h.165. حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مُحَمد بْنِ عَبد الْكَرِيمِ حَدَّثَنا مُحَمد بْنُ سَهْلِ بْنِ عَسْكَرٍ أنا عَبد الرَّزَّاق وَأَخْبَرَنَا بِشْرُ بْنُ رَافِعٍ عَنْ مُحَمد بْنِ عَجْلانَ عَنْ أَبِيهِ عَن أَبِي هُرَيْرَةَ قَال رَسُول اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسلَّمَ

[7] Abu ‘Ali, al-Muhsin bin ‘Ali (1978), al-Farj ba’da al-Shiddah, ed. ‘Abbud al-Shaliji, Beirut: Dar al-Ṣadir, j.1 h,124. حَدَّثَنَا عَلِيٌّ، قَالَ: حَدَّثَنَا ابْنُ الْجَرَّاحِ قَالَ: حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي الدُّنْيَا، قَالَ حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ خِدَاشٍ قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ عَنْ بِشْرِ بْنِ رَافِعٍ الْحَارِثِيِّ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلانَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

[8] Abu Abdullah, Muhammad bin Abdullah (1990), al-Mustadrak ‘ala al-Ṣaḥiḥain, ed. Muṣṭafā Abd al-Qadir ‘Aṭa, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, j.1 h.727. حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ صَالِحِ بْنِ هَانِئٍ ثنا أَبُو عَمْرٍو الْمُسْتَمْلِي ثنا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الْحَنْظَلِيُّ ثنا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَنْبَأَ بِشْرُ بْنُ رَافِعٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلَانَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

[9] Abu Nu’aim al-Aṣbahānī, Ahmad bin Abdullah (2006), al-Ṭib al-Nabawī, ed. Muṣṭafā Khidr Donmez al-Turkī, Beirut: Dar Ibn Hazm, j.1 h.320. حَدَّثَنا محمد بن أحمد الحسن وحبيب بن الحسن قالا: حَدَّثَنا الحسن بن علي بن الوليد حَدَّثَنا خالد بن خداش حَدَّثَنا عبد الرزاق حَدَّثَنا بشر بن رافع عَن ابن عجلان عَن أبيه عَن أَبِي هُرَيرة قال: قال رسول الله صَلَّى الله عَليْهِ وَسلَّم

[10] Abu Bakar al-Baihaqī, Ahmad bin al-Husain (2009), al-Da’wāt al-Kabīr, ed. Badr bin Abdullah al-Badr, Kuwait: Syarikah Ghuras li al-Nashr wa al-Tauzi‘, j.1 h.275. أَخْبَرَنَا أَبُو الْحُسَيْنِ بْنُ بِشْرَانَ، أَخْبَرَنَا الْحُسَيْنُ بْنُ صَفْوَانَ، حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي الدُّنْيَا، حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ خِدَاشٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّازَّقِ، عَنْ بِشْرِ بْنِ رَافِعٍ الْحَارِثِيُّ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلَانَ , عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

[11] Abu al-Hasan, Ahmad bin Abdullah (1984), Tarikh al-Thiqāt, Arab Saudi: Dar al-Baz, h.302. Beliau menyebut: ‌عبد ‌الرزاق ‌بن ‌همام: يماني ثقة يكنى أبا بكر

[12] Ibn Hibban, Muhammad bin Hibban (1973), al-Thiqat, Hayderabad: Dairah al-Ma’arif al-Uthmaniyah, j.8 h.412. وَكَانَ مِمَّن جمع وصنف وَحفظ وذاكر وَكَانَ مِمَّن يخطئ إِذا حدث من حفظه على تشيع فِيهِ

[13] Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail (2019), al-Tarikh al-Kabīr, ed. Muhammad bin Ṣalaḥ al-Dabbasī, Riyadh: al-Nasyir al-Mutamayyiz, j.7 h.156.

[14] Abu Ja’far al-‘Uqaili, Muhammad bin ‘Amr (1984), al-Ḍu’afā al-Kabīr, ed. Abd al-Mu‘ṭi Amin Qal’ajī, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, j.3 h.107. قَالَ لِي يَحْيَى مَا كَتَبْتُ عَنْ عَبْدِ الرَّزَّاقِ حَدِيثًا وَاحِدًا إِلَّا مِنْ كِتَابِهِ كُلِّهِ

[15] Al-Mizzi, Yusuf bin Abdurrahman (1980), Tahzīb al-Kamāl fī Asmā al-Rijāl, ed. Dr. Bashar ‘Awwaḍ Ma’ruf, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.18 h.52.

[16] Ibid., j.1 h.40. al-‘Uqailī menyebut : حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَحْمَدَ قَالَ: سَأَلْتُ أَبِي عَنْ ‌بِشْرِ ‌بْنِ ‌رَافِعٍ فَقَالَ: هُوَ النَّجْرَانِيُّ لَيْسَ بِشَيْءٍ، ضَعِيفُ الْحَدِيثِ

[17] Ibn Abu Hatim al-Razī, Abdurrahman bin Muhammad (1952), al-Jarh wa al-Ta’dil, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabī, Hayderabad: Dairah al-Ma’arif al-Uthmāniyah, j.2 h.357. أبو الأسباط الحارثي شيخ كوفي يحدث بمناكير

[18] Ibid., j.2 h.163. Ibn ‘Adī menyebut: وقال النسائي بشر بْن رافع ضعيف

[19] Abu Abdullah, Ahmad bin Hanbal (2001), al-‘Ilal wa Ma’rifat al-Rijāl bi Riwayat Ibnuhu Abdullah, ed.  Wasī Allah Muhammad ‘Abbas, Riyadh: Dar al-Khanī, j.1 h.198. حَدثنِي أبي قَالَ سَمِعت بن عُيَيْنَة يَقُول حَدثنَا ‌مُحَمَّد ‌بن ‌عجلَان وَكَانَ ثِقَة

[20] Ibid., j.26 h.101. al-Mizzī menukilkan: قال صالح بْن أحمد بْن حنبل عَن أبيه: ثقة

[21] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Ahmad bin Ali, Tahzīb al-Tahzīb, ed. Ibrahim al-Zibaq, ‘Adil Mursyid, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.3 h.83. Ibn Hajar menjelaskan: قال النسائي لا بأس به وقال الآجري عن أبي داود لم يرو عنه غير ابنه محمد

[22] Ibid., j.1 h.289.

[23] لَمْ يَرْوِ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ بَهْزٍ إِلَّا الْأَصْبَغُ وَلَا عَنِ الْأَصْبَغِ إِلَّا صَدَقَةُ تَفَرَّدَ بِهِ عَمْرٌو

[24] Ibid., j.3 h.275. وقال إسحاق بن منصور عن بن معين ضعيف

[25] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (1963), Mīzān al-‘Itidal fi Naqd al-Rijāl, ed. ’Ali Muhammad al-Bijawi, Beirut: Dar al-Ma’rifah, j.3 h.262. وقال العقيلي: في حديثه وهم

[26] Ibid., j.4 h.429. نا عبد الرحمن أنا يعقوب بن إسحاق الهروي فيما كتب إلي قال نا عثمان بن سعيد قال سألت يحيى بن معين عن صدقة بن عبد الله ضعيف

[27] Al-Kāmil fi Ḍu’afā al-Rijāl, j.5 h.115. حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي عِصْمَةَ، حَدَّثَنا ابن أبي يَحْيى سألت أحمد بن حنبل عن صدقة السمين فَقَالَ ضعيف

[28] Ibid., j.3 h.302. وَقَال أَبُو بَكْر بْن أَبي خيثمة عَن يحيى بْن مَعِين: ثقة

[29] Ibid. وَقَال النَّسَائي ليس به بأس

[30] Ibid., j.4 h.259. وَقَال غيره: سئل يَحْيَى بْن مَعِين عَنْ بهز بْن حكيم، عَن أبيه، عَنْ جده، فقَالَ: إسناد صحيح، إذا كان دون بهز ثقة.

وَقَال أَبُو الحسن بْن البراء، عن عَلِيّ ابْن المديني: ثقة وَقَال أَبُو زُرْعَة: صالح، ولكنه ليس بالمشهور.

[31] Iaitu ucapan la haula wa la quwwata illa billah.

[32] Riwayat Ahmad no. 8406, Abu Abdullah, Ahmad bin Hanbal (2001), al-Musnad, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, ‘Adil Mursyid, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.14 h.132.

[33] Nur al-Dīn, Ali bin Sultan Muhammad (2002), Mirqāt al-Mafātīh Syarh Mishkāt al-Maṣabīḥ, Beirut: Dar al-Fikr, j.4 h.1607. (فَإِنَّهَا مِنْ كَنْزِ الْجَنَّةِ) أَيْ: مِنْ ذَخَائِرِهَا وَنَفَائِسِهَا تَنْفَعُ صَاحِبَهَا يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

[34] Surah al-Ra’d: 28


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+