Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH 566: STATUS HADIS SESEORANG YANG BERPUASA ATAU SOLAT PADA BULAN REJAB DIA AKAN MELIHAT TEMPATNYA DI SYURGA SEBELUM DIA MENINGGAL DUNIA

IH566.jpg

Soalan

Assalamualaikum wrth Datuk, benarkah terdapat hadis yang menceritakan kelebihan bulan Rejab bahawa sesiapa yang berpuasa sehari di bulan Rejab dan solat empat rakaat di bulan Rejab maka dia tidak akan mati sehingga di melihat tempatnya di dalam syurga?

Ringkasan Jawapan

Riwayat yang menyebutkan bahawa “sesiapa yang berpuasa sehari di bulan Rejab dan solat empat rakaat pada bulan tersebut dengan dibacakan pada rakaat pertama 100 kali ayat al-kursi dan 100 kali surah al-Ikhlas pada rakaat kedua maka dia tidak akan mati sehingga dilihatkan tempatnya di dalam syurga” merupakan riwayat yang palsu. Perkara ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh ulama hadis seperti Imam Ibn al-Jauzi, Imam al-Suyuti, Imam al-Laknawi dan lain-lain.

Huraian Jawapan

Saban tahun apabila datang bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) maka akan timbul persoalan-persoalan yang berkaitan dengan kelebihan bulan-bulan tersebut. Menceritakan kelebihan bulan-bulan tersebut demi menggalakkan umat Islam untuk melakukan amalan ibadah adalah suatu perbuatan yang baik tetapi menjadi suatu kesalahan apabila menyebarkan riwayat-riwayat yang palsu lalu disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Hal ini kerana, sesuatu matlamat tidak menghalalkan cara.

Berdasarkan kepada persoalan di atas, maka riwayat yang dimaksudkan ialah seperti berikut:

مَنْ صَامَ يَوْمًا مِنْ رَجَبٍ وَصَلَّى فِيهِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ يَقْرَأُ فِي أَوَّلِ رَكْعَةٍ مِائَةَ مَرَّةٍ آيَةَ الْكُرْسِيِّ وَفِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِائَةً مَرَّة قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ لَمْ يَمُتْ حَتَّى يَرَى مقعده من الْجَنَّةِ أَوْ يُرَى لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa satu hari di bulan Rejab dan solat empat rakaat pada bulan tersebut dengan membaca pada rakaat pertama 100 kali ayat al-kursi dan membaca 100 kali “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa”  pada rakaat kedua. Dia tidak akan mati sehingga dia melihat tempatnya daripada syurga atau dilihatkan kepadanya.

Riwayat ini tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadis muktabar. Namun, riwayat ini disebutkan oleh Imam Ibn al-Jauzi dalam al-Mauduʻat[1], Imam al-Suyuti dalam al-La’ali’ al-Masnuʻah[2], Imam al-Kinani dalam Tanzih al-Syariʻah[3], Imam al-Syaukani dalam al-Fawa’id al-Majmuʻah[4] dan Imam al-Laknawi dalam al-Athar al-Marfuʻah[5].

Imam Ibn al-Jauzi menyebutkan bahawa:

هَذَا حَدِيث مَوْضُوع عَلَى رَسُول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. أَكْثَر رُوَاته مَجَاهِيل، وعُثْمَان مَتْرُوك عِنْد الْمُحدثين.

Maksudnya: Hadis ini adalah palsu ke atas Rasulullah SAW. Kebanyakan perawinya tidak dikenali dan Uthman[6] merupakan perawi matruk(perawi yang ditinggalkan periwayatannya) menurut ulama hadis.[7]

Justeru, riwayat ini merupakan riwayat yang palsu dan tidak boleh disebarkan serta disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Namun begitu, Imam Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas RA mengenai kelebihan bulan Rejab di dalam tafsirnya bahawa beliau berkata:

ثُمَّ اخْتَصَّ مِنْ ذَلِكَ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ فَجَعَلَهُنَّ حَرَامًا، وعَظم حُرُماتهن، وَجَعَلَ الذَّنْبَ فِيهِنَّ أَعْظَمَ، وَالْعَمَلَ الصَّالِحَ وَالْأَجْرَ أَعْظَمَ

Maksudnya: Lalu dikhususkan dan menjadikan empat bulan haram, kehormatannya sangat besar, dosa yang dilakukan pada bulan tersebut (azabnya) lebih besar dan amal soleh yang dilakukan pada bulan tersebut (pahalanya) lebih besar.[8]

Menerusi nukilan ini, difahami bahawa segala amal kebaikan yang dilakukan pada bulan haram seperti bulan Rejab pahala akan dilipat gandakan oleh Allah SWT. Begitu juga sekiranya kejahatan yang dilakukan pada bulan tersebut maka dosanya juga akan digandakan oleh Allah SWT.

Oleh itu, dinasihati untuk tidak menyebarkan hadis-hadis palsu demi menggalakkan umat Islam beribadah. Tetapi biarlah ajakan untuk meningkatkan ibadah tersebut dilakukan dengan menggunakan nas-nas agama yang bersumberkan daripada sumber yang berautoriti bukannya sumber-sumber yang bersifat hoax. Wallahuaʻlam

[1]    Jamal al-Din Ibn al-Jauzi, al-Mauduʻat, ed. ‘Abd al-Rahman Muhammad ‘Uthman (Madinah: Muhammad ‘Abd al-Muhsin, 1966), 2: 123.

[2]    Jalal al-Din al-Suyuti, al-La’ali’ al-Masnuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah, ed. Solah bin Muhammad bin ‘Uwaidah (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1996), 2: 47.

[3]    Nur al-Din al-Kinani, Tanzih al-Syariʻah al-Marfuʻah ‘an al-Akhbar al-Syaniʻah al-Mauduʻah, ed. ‘Abd al-Wahab ‘Abd al-Latif dan ‘Abdullah Muhammad al-Siddiq al-Ghumari (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1399), 2: 89.

[4]    Muhammad bin ʻAli bin Muhammad al-Syaukani, al-Fawa’id al-Majmuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah, ed. ‘Abd al-Rahman bin Yahya al-Muʻallimi (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.t), 47.

[5]    Abu al-Hasanat al-Laknawi, al-Athar al-Marfuʻah fi al-Akhbar al-Mauduʻah, ed. Muhammad al-Saʻid Basyuni Zaghlul (Baghdad: Maktabah al-Syarq al-Jadid, t.t), 61.

[6]    Uthman bin ‘Ata’. Rujuk Nur al-Din al-Kinani, Tanzih al-Syariʻah al-Marfuʻah ‘an al-Akhbar al-Syaniʻah al-Mauduʻah, 2: 90.

[7]     Jamal al-Din Ibn al-Jauzi, al-Mauduʻat, 2: 124.

[8]    Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, ed. Sami bin Muhammad Salamah (Dar al-Taibah, 1999), 4: 148.