Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-202: KELEBIHAN MEMPERCEPATKAN BERBUKA

 

Soalan: Apakah hadith yang menuntut untuk kita menyegerakan berbuka?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Bulan Ramadhan merupakan bulan di mana manusia berebut-rebut untuk mengejar ganjaran-ganjaran yang ditawarkan oleh Allah SWT. Tambahan pula, setiap perkara yang dituntut di bulan yang mulia ini pasti terdapat hikmah disebaliknya. Antara perkara yang dituntut atau sunat dilakukan adalah menyegerakan berbuka puasa.

 

Hal ini, disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka.

 

  • Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ

Maksudnya: “Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa”. [Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098)]

 

Makna Dan Hikmah

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan hikmah dituntut mempercepatkan berbuka adalah agar tidak ditambah waktu siang hari berpuasa ke malam hari kerana itu lebih baik bagi orang yang berpuasa dan lebih menguatkannya dalam beribadah. Para ulama’ telah bersepakat bahawa dibolehkan berbuka apabila yakin terbenamnya matahari dengan melihatnya sendiri atau dengan pengkhabaran dua orang yang adil dan begitu juga seorang pada pendapat yang lebih tepat. [Lihat: Fath al-Bari, 199/4]

 

Selain itu, Imam al-Nawawi RA mengatakan bahawa pada hadith ini terdapat galakan mempercepatkan berbuka setelah ia yakin akan terbenamnya matahari. Antara maknanya adalah urusan umat ini akan sentiasa tersusun dan mereka akan berada dalam kebaikan selagimana mereka berterusan menjaga sunnah ini. Sebaliknya jika mereka melewatkannya, ini menunjukkan tanda kerosakan telah berlaku padanya. [Lihat: al-Minhaj, 208/7]

 

Syeikh al-Bugho ketika menta’liqkan hadith ini di dalam Sahih al-Bukhari mengatakan bahawa maksud “لاَ يَزَالُ” adalah mereka kekal di dalam keluasan dan kelapangan apabila mereka berbuka setelah pasti terbenamnya (matahari) kerana itu lebih mudah buat mereka dan lebih menguatkan mereka untuk beribadah. Selain itu, ia akan mendapat ganjaran yang lebih disebabkan berpegang dengan sunnah Nabi SAW.

 

Penutup

Kesimpulannya, setiap tuntutan di dalam syara’ mempunyai hikmah-hikmah yang tertentu dan ini juga menunjukkan sikap kita dalam mentaati segala perintah dan suruhan Allah SWT dan juga Nabi SAW. Di samping itu, kita memang disunatkan untuk menyegerakan berbuka puasa. Akhirnya, marilah sama-sama kita mengamalkan sunnah ini dalam kehidupan seharian kita dan semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada kita agar dapat menyempurnakan ibadah puasa hingga ke akhirnya. Amin.

 

Wallahua’lam