IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-42: QADHA PUASA HARI ARAFAH KERANA DATANG HAID

arafah

Soalan:

Assalamualaikum WBT. Sekiranya saya masih dalam keadaan haid pada hari arafah, bolehkah saya qada puasa sunat tersebut untuk mendapatkan pahala sunat dan kelebihan puasa hari arafah?

 

Ringkasan Jawapan:

Hukumnya sunat mengqada puasa sunat tersebut berdasarkan keumuman hadis Nabi SAW yang mensyariatkan qada ibadah sunat yang telah ditinggalkan.

 

Huraian Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Puasa hari arafah idalah antara puasa sunat yang memiliki ganjaran yang sangat besar di sisi Allah SWT. Antara kelebihan puasa hari arafah ialah boleh menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Maksudnya: “Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar menghapuskan dosa yang sebelum tahun tersebut dan selepasnya”.

Riwayat Muslim (1162)

Puasa hari arafah sunat dilakukan pada hari arafah iaitu 9 Zulhijjah. Ia termasuk dalam ibadah sunat muaqqat iaitu puasa sunat yang ditentukan waktunya yang mana ia disyariatkan dalam waktu tertentu. Antara contoh yang lain ialah puasa sunat asyura (disunatkan pada 10 Muharram), puasa sunat 6 hari di bulan Syawal serta puasa sunat Isnin dan Khamis (Rujuk: Nihayah al-Zain, 1/185).[1]

Para ulama mengatakan sunat mengqada ibadah sunat muaqqat (yang ditentukan waktunya) yang ditinggalkan. Hal ini berdasarkan kaedah qiyas kepada hadis yang menyebutkan sunat qada solat sunat rawatib.

Perkara ini dinukilkan oleh Shaikh Zakariyya al-Ansari:

Dan disunatkan qada ibadah sunat yang ditentukan waktunya yang telah ditinggalkan seperti dua solat sunat hari raya, solat dhuha, solat rawatib sebagaimana (disyariatkan) qada solat fardu yang ditinggalkan kerana keduanya ditentukan waktunya. Hal yang demikian berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim “Sesiapa yang tertidur lalu meninggalkan solat atau dia lupa maka hendaklah dia mendirikan solat apabila mengingatinya” dan kerana Nabi SAW qada dua rakaat solat sunat zohor yang dilewatkan selepas solat asar, iaitu diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim serta Nabi SAW qada dua rakaat solat sunat subuh selepas terbit fajar iaitu ketika Baginda tertinggal solat subuh kerana tertidur di suatu lembah, hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih dan periwayatan seumpamanya dalam sahih Muslim. Lalu terkeluar daripada kategori solat yang ditentukan waktunya ialah solat yang dilaksanakan kerana sebab tertentu seperti solat sunat gerhana dan solat tahiyyatul masjid, maka tidak sunat diqada. (Rujuk Fath al-Wahhab, 1/114).

Justeru, berdasarkan penerangan di atas kita dapat memahami beberapa perkara seperti berikut:

  • Disyariatkan qada solat sunat yang ditentukan waktunya yang telah ditinggalkan iaitu sama seperti disyariatkan qada solat wajib.
  • Hadis Nabi SAW menunjukkan sunat mengqada solat sunat yang ditentukan waktunya yang telah ditinggalkan.
  • Sekiranya solat sunat tersebut bukan solat sunat yang ditentukan waktunya tetapi dilakukan kerana sebab tertentu seperti solat sunat istisqa (solat sunat kerana meminta hujan), solat sunat kusuf (solat sunat kerana gerhana) atau solat sunat tahiyyatul masjid maka tidak sunat diqada.

Oleh yang demikian jelas bahawa sunat mengqada ibadah sunat yang ditentukan waktunya yang telah ditinggalkan sama ada solat sunat atau puasa sunat. Ini adalah pandangan yang muktamad dalam Mazhab Syafie. Manakala pandangan yang lemah mengatakan tidak sunat untuk diqada kerana sudah luput atau telah berlalu masa tersebut (Rujuk: Hasyiyah al-Jamal, 2/651).[2]

Imam al-Bujairimi turut mengulas masalah ini, menurutnya:

Katanya (pengarang): dan disunatkan qada ibadah sunat yang ditentukan waktunya mengikut pandangan yang muktamad dan tidak disunatkan qada mengikut (pandangan) yang lemah iaitu sepertimana (tidak disunatkan) qada ibadah sunat lain yang tidak ditentukan waktunya. Tetapi dikecualikan dalam masalah ini solat sunat jumaat maka tidak boleh diqada kerana tidak sah melakukan solat jumaat di luar waktunya. Begitu juga (sunat qada) bagi puasa sunat yang ditentukan waktunya seperti puasa sunat hari arafah. (Rujuk Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala Syarh Manhaj Tullab, 1/283).

 

KESIMPULAN

Sunat mengqada puasa sunat yang ditentukan waktunya yang telah ditinggalkan. Sebagai contoh puasa sunat hari Arafah, puasa hari Asyura, puasa 6 hari di bulan Syawal, puasa hari Isnin dan Khamis serta puasa hari putih. Hal ini berdasarkan keumuman hadis Nabi SAW yang mensyariatkan qada ibadah sunat. Namun sekiranya puasa sunat tersebut ialah puasa sunat mutlak (tidak ditentukan waktunya dan tidak mempunyai sebab) atau puasa sunat yang dilakukan kerana sebab tertentu seperti puasa sunat istisqa’ (kerana meminta hujan) yang dilakukan tanpa arahan pemerintah maka tidak sunat diqada.

Wallahu A’lam.

 

 


Cetak   Emel