IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-591: HUKUM PELAJAR YANG BELAJAR SAMBIL BEKERJA MENGGUNAKAN WANG ZAKAT

huuh 3

 

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan. Saya dapat duit biasiswa daripada sebuah agensi Baitulmal untuk orang belajar. Biasiswa diberikan untuk tempoh tiga tahun. Untuk tahun pertama memang guna. Tapi sebab duit tu hanya cukup-cukup makan, dan kebiasaannya tak cukup untuk duduk KL, ditambah pula hanya untuk tempoh 3 tahun, maka saya mencari kerja bermula tahun kedua. Tujuannya untuk menyimpan sedikit duit tambahan supaya boleh digunakan untuk pembayaran yuran tahun ke 4 dan seterusnya sekiranya biasiswa tersebut sudah tidak diberikan. Dalam erti kata lain, saya cari kerja untuk sara diri sendiri dan persiapan untuk membayar yuran PhD nanti.

Memandangkan saya sekarang sudah bekerja, saya mula menyedari bahawa saya boleh langsung untuk tidak sentuh duit biasiswa tersebut, cukup semata-mata bergantung dengan gaji. Dalam masa yang sama, terfikir juga nak masukkan duit biasiswa tersebut dalam simpanan ASB supaya duit boleh bertambah banyak.  

Persoalannya, adakah saya boleh menggunakan duit zakat yang asalnya diberikan untuk menampung kos pembelajaran, sebaliknya saya gunakan untuk melabur di ASB?

 

Ringkasan Jawapan

Apabila penerima memperoleh pekerjaan ketika tempoh belajar, maka hukum menggunakan wang lebihan zakat bergantung kepada jenis pekerjaan penerima;

a- Sekiranya pekerjaan tersebut bersifat sementara, sekadar niat menampung kos universiti dan kehidupan semata-mata, maka harus menggunakan wang lebihan mengikut kehendaknya termasuklah tujuan pelaburan di Amanah Saham Bumiputera (ASB).

b- Sekiranya pekerjaan tersebut bersifat tetap dan penerima berhasrat menjadikannya sebagai karier jangka masa panjang, maka kelayakan untuk penerima menggunakan lebihan wang zakat sudah hilang.

Penyelesaiannya, penerima boleh menyerahkan secara peribadi duit tersebut kepada asnaf yang lebih memerlukan. Dalam masa yang sama, memaklumkan kepada pihak Baitulmal berkenaan status dan kedudukan kewangan semasa penerima. Hal yang sedemikian lebih dekat dengan sifat warak dan mempunyai rasa empati dengan nasib orang lain yang lebih memerlukan.

 

Huraian Jawapan

Pertamanya, hukum melabur di Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah Harus. Ini berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang memutuskan bahawa hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Keduanya, biasiswa yang diberikan pihak Baitulmal kepada penerimanya merupakan sebahagian daripada tanggungjawab mereka untuk mencapai matlamat-matlamat kebajikan dan pembangunan yang selaras dengan peruntukan syarak bagi kelapan-lapan kelompok asnaf zakat. Allah SWT berfirman:

 إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ 

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. 

Surah al-Taubah (60)

Sekiranya dana tersebut datang daripada hasil kutipan zakat semata-mata tanpa dicampur bersama dana lain, maka pengagihan wajib diberikan kepada golongan fakir, miskin, muallaf dan lain-lain yang disebutkan tanpa mengira latar belakang seseorang itu sama ada orang awam mahupun para pelajar.

Secara asasnya, zakat hendaklah diberikan kepada golongan asnaf seperti yang ditentukan oleh Allah SWT dalam ayat di atas. Jika zakat diberikan kepada golongan yang tidak berhak memilikinya, maka ia tidak sah. Justeru, tidak boleh zakat diberikan kepada seseorang melainkan diketahui bahawa dia berhak menerimanya atas dasar tergolong dalam salah satu kategori asnaf.

Dalam masa yang sama, tidak boleh seseorang yang tidak tergolong dalam asnaf untuk menerima sumbangan zakat dalam keadaan dia mengetahuinya. Jika dia mengambilnya juga maka dia telah melakukan satu kezaliman kerana mengambil hak orang fakir dan miskin. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah.

Surah al-Nisa’ (29)

Namun begitu, berbalik kepada situasi di atas, terdapat pandangan ulama yang menyebut bahawa seseorang yang berstatus pelajar juga mempunyai bahagian dalam asnaf zakat melalui asnaf fi sabilillah selain daripada kategori asnaf fakir, miskin dan sebagainya.

Terdapat pelbagai tafsiran dan definisi yang dikemukan para ulama berkenaan asnaf fi sabilillah. Kami membawakan takrifan rasmi yang dipilih oleh Pusat Pungutan Zakat -Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). Asnaf fi sabilillah merupakan:

“Manamana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.”[1]

Berdasarkan kepada takrifan umum di atas, elemen ‘penuntut ilmu’ dimasukkan dalam kategori asnaf fi sabilillah melalui skim Pendidikan.[2]

Apabila dirujuk pandangan ulama silam, Imam al-Nawawi ketika menghuraikan golongan fakir miskin yang mampu bekerja dan mencari rezeki dalam masa yang sama ingin mempelajari ilmu agama menyebut:

وَلَوْ قَدَرَ عَلَى كَسْبٍ يَلِيقُ بِحَالِهِ إلَّا أَنَّهُ مُشْتَغِلٌ بِتَحْصِيلِ بَعْضِ الْعُلُومِ الشَّرْعِيَّةِ بِحَيْثُ لَوْ أَقْبَلَ عَلَى الْكَسْبِ لَانْقَطَعَ عَنْ التَّحْصِيلِ حَلَّتْ لَهُ الزَّكَاةُ لِأَنَّ تَحْصِيلَ الْعِلْمِ فَرْضُ كِفَايَةٍ

Maksudnya: Jika seseorang berkemampuan untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan keadaannya namun disibukkan diri dengan mempelajari sebahagian daripada ilmu syariah yang mana sekiranya dia fokus terhadap mencari rezeki kelak terputuslah peluang menuntut ilmu, oleh itu halal untuknya menerima zakat.

(Rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/190)

Kenyataan ini juga merupakan pandangan yang dipegang oleh majoriti ulama seperti yang disebutkan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى جَوَازِ إعْطَاءِ الزَّكَاةِ لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَقَدْ صَرَّحَ بِذَلِكَ الْحَنَفِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ، وَالْحَنَابِلَةُ، وَهُوَ مَا يُفْهَمُ مِنْ مَذْهَبِ الْمَالِكِيَّةِ

Maksudnya: Para fuqaha bersepakat tentang keharusan memberikan wang zakat kepada penuntut ilmu. Perkara ini disebutkan secara jelas oleh para ulama mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. Begitu juga yang difahami daripada mazhab Maliki.

 (Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/337)

Dalam rujukan yang sama dibawakan pandangan sebahagian ulama Hanafi menyebut:

وَذَهَبَ بَعْضُ الْحَنَفِيَّةِ إلَى جَوَازِ أَخْذِ طَالِبِ الْعِلْمِ الزَّكَاةَ وَلَوْ كَانَ غَنِيًّا إذَا فَرَّغَ نَفْسَهُ لإِفَادَةِ الْعِلْمِ وَاسْتِفَادَتِهِ، لِعَجْزِهِ عَنْ الْكَسْبِ

Maksudnya: Bahkan sebahagian daripada ulama’ mazhab Hanafi berpendapat bahawa penuntut ilmu berhak mendapat zakat walaupun dia seorang yang kaya sekiranya dia menfokuskan diri untuk memperoleh ilmu pengetahuan disebabkan kekangan untuk mencari pendapatan.

Berdasarkan huraian di atas, secara asalnya sekiranya seseorang itu menerima harta zakat atas kapasitinya sebagai asnaf zakat berdasarkan syarat dan kriteria yang ditetapkan Baitulmal, maka diharuskan untuk menggunakan wang tersebut mengikut perancangan dan kehendak dirinya terhadap perkara-perkara yang dibenarkan Syarak termasuklah melaburkan duit.

Namun, sebagai amanah penerima wang zakat yang dikhususkan untuk pendidikan, sewajarnya seseorang itu mengutamakan perbelanjaan duit zakat untuk kegunaan membiayai kos pendidikan terlebih dahulu; seperti pembayaran yuran universiti, yuran kediaman dan segala perkara yang bersangkut-paut dengannya.

Sekiranya ada lebihan seperti kes di atas, maka diharuskan untuk menggunakan duit tersebut bagi kegunaan lain mengikut kehendak penerima sepanjang kontrak berlangsung. Hujahnya penerima masih layak menerima wang zakat melalui asnaf fi sabilillah, dalam masa yang sama pekerjaan dilakukan bagi menampung kos universiti dan kos kehidupan untuk masa akan datang.

Walau bagaimanapun, jalan yang paling warak dan terhindar daripada sebarang syubhah ialah sekiranya pekerjaan yang diperolehi merupakan pekerjaan tetap dalam erti kata penerima berhasrat untuk menjadikannya sebagai profesion jangka masa panjang, maka dinasihatkan agar penerima secara peribadi menyalurkan duit lebihan zakat yang masih diterima kepada orang lain yang lebih memerlukan. Dalam masa yang sama, memaklumkan kepada pihak Baitulmal untuk menghentikan pembiayaan supaya memberi peluang kepada asnaf yang lebih berhajat.

Ketetapan ini bersandarkan hadis Nu’man Bin Basyir RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

"إنَّ الحلالَ بيِّنٌ وإنَّ الحرامَ بيِّنٌ وبينهما أمورٌ مُشتبِهاتٌ لا يعلمهنَّ كثيرٌ من الناس فمنِ اتَّقى الشُّبُهاتِ استبرأ لدِينِه وعِرضِه، ومن وقع في الشُّبهاتِ وقع في الحرامِ..."

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas. Di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. Dan sesiapa yang terjatuh di dalam (melakukan) perkara syubhah, sama seperti ia terjatuh di dalam (melakukan) perkara yang haram…

Riwayat al-Bukhari (3842)

Perkara ini dilakukan kerana penerima awal tadi sudah berubah statusnya daripada asnaf kepada bukan asnaf disebabkan mempunyai kemungkinan mendapat pekerjaan tetap dan mempunyai pendapatan yang stabil. Tambahan pula, dana tersebut dapat disalurkan kepada asnaf lain yang lebih memerlukan. Langkah sebegini lebih menepati tujuan dan objektif sebenar pensyariatan zakat.

Pendekatan sebegini bertepatan dengan satu kaedah Usul Fiqh yang sangat masyhur:

الحكم يدور مع علّته وجوداً وعدما

MaksudnyaKewujudan sesuatu hukum tertakluk kepada kewujudan atau ketiadaan ‘illahnya (sebabnya).

Hukum keharusan menerima harta zakat asalnya disebabkan penerima menepati syarat dan kriteria asnaf yang lapan. Namun, apabila keadaan penerima sudah berubah daripada miskin kepada kaya, atau lebih tepat disebut ‘golongan tidak mempunyai sumber pendapatan’ kepada ‘mempunyai sumber pendapatan’, maka sebab keharusan tersebut sudah hilang.

Sebaliknya, jika pekerjaan tersebut bersifat sementara dan separuh masa sekadar mencari duit tambahan, maka penerima harus untuk menerima dan menggunakan wang zakat tersebut mengikut kehendaknya.

Wallahu a’lam.

 

[1] https://www.zakat.com.my/info-zakat/golongan-penerima-zakat/

[2] https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/bz


Cetak   Emel