Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE- 99: KAIFIAT MEMBACA DOA BERBUKA PUASA

 

Soalan:

Assalamua’aikum SS Datuk Mufti. Boleh jelaskan kaifiat membaca doa sewaktu berbuka yang betul? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt, 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kelebihan Doa Orang Berpuasa

Doa orang yang berpuasa merupakan antara doa yang sangat mustajab. Sabda Baginda Nabi s.a.w:

ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak: Orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.

Hadith Riwayat Tirmizi (3598)

Menurut Imam Nawawi, hadith ini menunjukkan anjuran kepada kita agar memperbanyakkan doa sewaktu berpuasa dari bermulanya puasa hingga ke akhirnya.

Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/375)

Adapun kaifiat membaca doa berbuka puasa adalah seperti berikut:

  1. Sebelum berbuka

Membaca apa jua doa yang berkaitan dengan kelebihan dunia dan akhirat samada untuk diri sendiri, kaum keluarga, sahabat handai dan untuk seluruh kaum Muslimin. Hal ini termasuk di bawah perintah umum dan anjuran agar memperbanyakkan doa sewaktu sedang berpuasa.

  1. Sejurus selepas berbuka

Membaca doa yang warid daripada Nabi s.a.w iaitu:

اللَّهُمَّ لَك صُمْت وَعَلَى رِزْقِك أَفْطَرْت

Maksudnya: Ya Allah, untuk-Mu aku berpuasa, dan dengan rezeki dari-Mu aku berbuka.

Sunan Abi Dawud (2358)

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى

Maksudnya: Telah hilanglah dahaga, urat-urat telah basah, dan telah terhasil pahala, insyaAllah.

 Sunan Abi Dawud (2357)

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Ramli, doa ini dibaca sejurus selepas berbuka (عقب), bukan sebelumnya. (Rujuk Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfatul Muhtaj, 3/435 dan Imam Ramli dalam Nihayatul Muhtaj, 3/183. Doa-doa ini turut disebut oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Azkaar)

Antara doa yang bagus untuk dibaca ialah seperti doa ‘Abdullah ibn ‘Amru sewaktu berbuka puasa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي

Maksudnya: Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon dengan rahmat-Mu yang meliputi segala perkara, agar Engkau mengampuniku.

Sunan Ibn Majah (1753)

Wallahu a’lam.