Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-128: GANGGUAN MAKHLUK HALUS DALAM BULAN RAMADHAN

SYAITAN

 

Soalan: Jika benar syaitan dirantai, mengapakah masih ada kejadian gangguan makhluk halus dalam bulan Ramadhan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertanyaan ini mungkin berpunca daripada dua buah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ، وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 1899)

Dalam riwayat Muslim, no. 1079, disebutkan (وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ)

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: “...Berdasarkan sebahagian pandangan, yang dimaksudkan syaitan dalam hadith ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang (bukan semua syaitan). Sebab itulah Ibnu Khuzaimah membuat judul bab dalam kitab Sahihnya untuk hadis berkaitan, lalu beliau menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, dan al-Hakim... (sebagaimana di atas).” (Lihat Fath al-Bari, 4/114)

Jika diteliti, terdapat satu bab dalam Sahih Ibn Khuzaimah yang dinamakan:

بَابُ ذِكْرِ الْبَيَانِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا أَرَادَ بِقَوْلِهِ: «وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ» مَرَدَةُ الْجِنِّ مِنْهُمْ، لَا جَمِيعَ الشَّيَاطِينِ «إِذِ اسْمُ الشَّيَاطِينِ قَدْ يَقَعُ عَلَى بَعْضِهِمْ

Maksudnya: “Bab penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan dengan Sabda Nabi SAW: ‘Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).” Bukan merujuk kepada seluruh syaitan kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan adakalanya digunakan untuk sebahagian dari mereka.” (Lihat Sahih Ibn Khuzaimah, 1/188)

Syeikh Anwar al-Kashmiri menyebut: “(Dibelenggu syaitan-syaitan) di sisi riwayat Tirmidzi: Jin yang ganas. Justeru, tidak lazim bahawa dirantai keseluruhannya.” (Lihat Faidh al-Bari 'ala Sahih al-Bukhari, 3/327)

Menurut Imam al-Qurtubi sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani,

“Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya…” (Lihat Fath Al-Bari 4/114)

Kesimpulan

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan di atas, kami cenderung bahawa maksud syaitan yang dibelenggu itu adalah:

  1. Hanya sebahagian syaitan sahaja yang dibelenggu iaitu yang besar atau ganas (مَرَدَةُ الْجِنِّ) manakala selebihnya masih ada.
  2. Ia juga membawa maksud syaitan tidak bebas menggoda orang-orang yang beriman berbanding bulan-bulan yang lain.

Gangguan boleh dielakkan dengan memperbanyakkan ibadah dalam bulan Ramadhan seperti amalan puasa itu sendiri, membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Hulaimi yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai memberi ujian/godaan kepada umat Islam sepertimana di luar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir. (Lihat Fath al-Bari, 4/114)

Dalam masa yang sama, kami juga mencadangkan kepada mereka yang berhadapan dengan individu yang mengalami gangguan sebegini untuk merujuk juga kepada pakar perubatan kerana kemungkinan ia berkait rapat dengan masalah psikiatri dan bukannya gangguan makhluk halus semata-mata.