Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IFKR 164

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, kalau kita tak sengaja makan dan minum ketika berpuasa, ia dimaafkan. Soalan saya, bagaimana jika hampir selesai makan baru teringat yang kita berpuasa, bolehkah untuk minum air bagi elakkan tercekik ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berpuasa seperti yang ditakrifkan oleh para ulama adalah : Menahan diri dari kesemua perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbitnya fajar sadiq sehingga terbenamnya matahari, dengan niat beribadah kepada Allah S.W.T.

Makan dan minum termasuk dalam kategori perbuatan yang membatalkan puasa. Begitu banyak nas dan riwayat yang menjelaskan hal ini antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W meriwayatkan dari Allah S.W.T yang berfirman :

يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي

Maksudnya : (Orang yang berpuasa itu) meninggalkan makanannya, minumannya, dan syahwatnya, semata kerana-Ku.

Riwayat Al-Bukhari (1894)

Meskipun begitu, tidaklah dinamakan manusia melainkan kerana sifat pelupa yang ada pada dirinya seperti yang disebutkan oleh sebahagian ulama. Oleh kerana itu, secara umumnya Allah S.W.T mengangkat dosa ke atas setiap perbuatan yang dilakukan dalam keadaan seseorang itu terlupa.

Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al-Ghifari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya : Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.

Riwayat Ibn Majah (2043)

Demikian juga orang yang berpuasa turut tidak terlepas dari sifat ini seperti makan dan minum dalam keadaan terlupa. Dalam hal ini, meskipun seseorang yang berpuasa itu melakukan perkara yang membatalkan puasa, namun selama mana ia terhasil dari sifat lupa, ia tidak dianggap sebagai membatalkan puasa di sisi syarak. Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

Maksudnya : Apabila salah seorang kamu terlupa, kemudian dia makan dan minum, hendaklah dia menyempurnakan puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberi dia makan dan juga minum.

Riwayat Al-Bukhari (1933)

Berdasarkan hadis ini, secara jelas Rasulullah S.A.W menyebutkan bahawa perbuatan makan dan minum dalam keadaan terlupa bagi orang yang berpuasa itu tidak membatalkan puasa, sebaliknya puasa mereka adalah sah. Oleh kerana itu, baginda mengarahkan supaya golongan yang terlupa ini untuk meneruskan puasa tersebut.

Persoalan yang timbul adalah, apakah had bagi perbuatan makan dan minum tersebut ? Adakah yang dimaafkan semasa terlupa itu meliputi makan dan minum dalam kadar yang sedikit atau kadar yang banyak ?  Maka para ulama Al-Syafi’eyyah berbeza pendapat dalam isu ini kepada dua pendapat yang utama.  Berikut kami kongsikan beberapa pendapat tersebut :

Pertama : Imam Al-Nawawi berdalilkan dengan keumuman hadis riwayat Abu Hurairah R.A di atas, lalu beliau mengeluarkan pendapat yang menyebut :

إذَا أَكَلَ أَوْ شَرِبَ نَاسِيًا لَمْ يُفْطِرْ عِنْدَنَا سَوَاءٌ قَلَّ ذَلِكَ أَمْ كَثُرَ هَذَا هُوَ الْمَذْهَبُ

Maksudnya : Apabila seseorang itu makan atau minum dalam keadaan terlupa, ia tidak membatalkan puasa di sisi kami (Al-Syafi’eyyah) sama ada yang demikian itu (kadar makan dan minum) sedikit ataupun banyak. Inilah pendapat mazhab.

Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Al-Nawawi (6/324)

Kedua : Meskipun begitu, tidak dinafikan bahawa ada beberapa tokoh dalam kalangan Al-Syafi’eyyah sendiri menyatakan pendapat yang berbeza dalam isu ini. Ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh Taqiuddin Al-Hisni :

فَلَو كثر ذَلِك فَوَجْهَانِ الْأَصَح عِنْد الرَّافِعِيّ يفْطر لِأَن النسْيَان مَعَ الْكَثْرَة نَادِر

Maksudnya : Sekiranya ia (makan dan minum itu) dalam kadar yang banyak maka ada dua pendapat (dalam isu ini). Pendapat yang paling sahih di sisi Imam Al-Rafi’e adalah ia membatalkan puasa. Ini kerana, sifat terlupa bersama dengan kadar yang banyak itu adalah suatu yang jarang (bukan kebiasaan).

Rujuk Kifayah Al-Akhyar, Taqiuddin Al-Hisni (Hlm. 199)

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas, kami cenderung kepada pendapat muktamad dalam mazhab Imam Al-Syafi’e bahawa makan dengan kadar yang banyak dalam keadaan terlupa, tidak membatalkan puasa dengan berdalilkan kepada keumuman hadis dalam hal ini. Namun, sekiranya seseorang itu telah menyedari bahawa dia berada dalam keadaan berpuasa, hendaklah dia serta merta memberhentikan makan dan minum. Jika selepas itu dia meminum air dalam keadaan sedar yang dia sedang berpuasa dan bukannya terlupa, maka kami menyatakan bahawa puasanya adalah terbatal. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.