Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-174 : HUKUM MEMAKAI WANGIAN KETIKA BERPUASA

ifr174

Soalan:

Apakah hukum memakai dan terhidu minyak wangi ketika puasa?

Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah S.W.T:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)”.

(Surah al-Baqarah: 187)

Ayat di atas menunjukkan larangan dan tegahan untuk makan dan minum setelah terbit fajar bagi orang yang berpuasa. Para ulama’ juga menyatakan di antara perkara yang boleh membatalkan puasa ialah jimak, muntah dengan sengaja dan lain-lain. Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Adapun berkenaan dengan memakai wangian ketika puasa, maka para ulama’ tidak menyebutkan tentang hal ini secara jelas mengenai larangan atau keharusannya.

Di sisi mazhab Syafie hukum memakai atau menghidu bau minyak wangi adalah tidak membatalkan puasa kerana tidak ada nas sahih yang menunjukkan hal tersebut (batalnya puasa) dan ia bukanlah satu bentuk perbuatan makan dan minum.

Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Dan hendaklah menahan diri daripada menyampaikan sesuatu ke dalam rongga yang disebut sebagai perut, kerana orang melakukan hal tersebut tidak dinamakan mumsik (orang yang menahan dirinya), berbeza halnya dengan sampainya kesan seperti rasa (makanan) dan bau yang dihidu, contohnya seperti masuknya asap kayu gaharu ke dalam perut sekalipun dengan sengaja, maka hal itu tidak membatalkan puasa”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 3/400-401).

Oleh itu, menghidu bau minyak wangi adalah tidak membatalkan puasa sekalipun dengan sengaja kerana ia bukannya dalam bentuk jirim yang boleh dilihat dan tidak ada sesuatu yang masuk ke badannya melalui rongga hidung melainkan angin (bau minyak wangi) tersebut.

Namun sebahagian ulama’ Syafie mengatakan sunat untuk meninggalkan wangi-wangian kerana ia termasuk dalam perkara yang boleh membangkitkan syahwat. Hal ini adalah berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A:

والذي نفسي بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله  من ريح المسك يترك طعامه وشرابه وشهوته من أجلي

Maksudnya: “Demi diriku yang berada ditangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi. Mereka meninggalkan makan minum dan nafsu syahwat kerana-Ku".

Riwayat al-Bukhari (1771)

Berkata Imam al-Nawawi: “Dan sunat (bagi orang yang berpuasa) memelihara dirinya daripada perkara yang tidak membatalkan puasa seperti mencium wangi-wangian atau tumbuhan-tumbuhan yang bau harum dan melihat kepadanya (bunga yang wangi) dan mendengar nyanyian kerana pada demikian itu terdapat kemewahan yang tidak sesuai dengan hikmah puasa iaitu sampai boleh membangkitkan nafsu dan mengalahkan ia (nafsu) ke atas taqwa bahkan dimakruhkan itu ke atasnya”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/435).

Hukum memakai minyak wangi saat berpuasa adalah tidak membatalkan puasa namun hukumnya makruh. Para ulama’ menjelaskan hikmah kemakruhan tersebut kerana ketika puasa kita wajib menahan diri daripada syahwat, sedangkan minyak wangi adalah termasuk hal yang boleh membangkitkan syahwat contohnya sekiranya suami yang sedang puasa memakai minyak wangi maka ia boleh membangkitkan syahwat dan begitulah sebaliknya. (Rujuk: Ittihaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam, hlm. 111-112).

Berkata Imam al-Nawawi: “Jikalau berlawanan di antara hukum makruhnya mengenakan wangian bagi orang yang berpuasa dan makruh hukumnya menolak wangian, maka menjauhkan diri daripada mengenakan wangian bagi orang yang berpuasa adalah lebih utama kerana hal tersebut (mengenakan wangian) boleh membawa kepada kurangnya (khusyuk) dalam ibadah”. (Rujuk: I’anah al-Tolibin, 2/249).

Kesimpulan

Justeru, kami berpandangan bahawa hukum memakai dan menghidu minyak wangi adalah tidak membatalkan puasa kerana ia tidak menyampaikan sesuatu ke perut melainkan sampai baunya sahaja dan ianya bukanlah termasuk dalam perbuatan makan, minum serta perkara yang boleh memberi tenaga kepada orang yang berpuasa.

Kami juga cenderung mengatakan hukum menghidu minyak wangi (yang terlalu kuat) adalah makruh kerana padanya terdapat kemewahan yang tidak sesuai dengan hikmah puasa dan boleh membuka jalan kepada naiknya syahwat.

Adapun hukum memakai sesuatu yang boleh menghilangkan bau badan seperti sabun atau deodorant bagi orang yang berpuasa adalah harus kerana secara kebiasaannya ia adalah alat untuk membersihkan badan serta menghilangkan bau busuk dan bukannya untuk tujuan berwangi-wangi itu sendiri. Wallahu a’lam.