Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-182 : HUKUM SOLAT TARAWIH DALAM KEADAAN ADA SOLAT FARDU YANG PERLU DIQADA

ifkr182

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hukum seseorang melakukan solat sunat tarawih tetapi dalam masa yang sama dia mempunyai solat-solat fardu yang pernah ditinggalkannya satu masa dahulu. Adakah dia perlu menggantikan solat fardu tersebut terlebih dahulu atau dia boleh untuk melaksanakan juga solat sunat tarawih?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Pertama, solat-solat fardu yang ditinggalkan hendaklah digantikan dengan segera apabila teringat dan tidak boleh untuk melengah-lengahkannya. Bahkan jika solat-solat tersebut banyak, maka seseorang itu perlu memanfaatkan masa yang ada untuk menggantikan solat-solat tersebut sehingga selesai tanpa melakukan pekerjaan lain kecuali perkara-perkara yang penting sahaja.

Oleh itu, jika sekiranya seseorang mempunyai solat-solat fardu yang perlu diqada, maka dia perlulah menggantikannya terlebih dahulu sebelum melakukan ibadah-ibadah sunat yang lain, termasuklah solat sunat tarawih. Hal ini kerana ibadah yang wajib adalah lebih utama dan didahulukan berbanding ibadah sunat dan selainnya.

WaAllahu a’lam.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan waktu-waktu tertentu yang diwajibkan ke atas umat Islam untuk mendirikan solat. Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(Surah al-Nisa’: 103)

Pada asasnya setiap solat yang ditinggalkan perlu untuk digantikan (qada) dengan segera apabila teringat berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW:

مَن نَسِيَ صَلَاةً فَليٌصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا ، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ

Maksudnya: Sesiapa yang terlupa suatu solat (yang fardu), hendaklah dia mendirikan solat (qada) apabila dia mengingatinya. Tiada kaffarah lain baginya kecuali perkara tersebut.

Riwayat al-Bukhari

Bagi pandangan mazhab al-Syafie, wajib bagi seseorang yang meninggalkan solat tanpa keuzuran syarie untuk segera menggantikan solatnya tersebut. Manakala, jika dia meninggalkannya disebabkan oleh keuzuran syarie seperti tidur, terlupa atau seumpamanya, maka sunat baginya untuk segera menggantikannya. Imam al-Khatib al-Syarbini menerangkan di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj bahawa:

 (وَيُبَادِرُ بِالْفَائِتِ) نَدْبًا إنْ فَاتَهُ بِعُذْرٍ كَنَوْمٍ وَنِسْيَانٍ وَوُجُوبًا إنْ فَاتَهُ بِغَيْرِ عُذْرٍ عَلَى الْأَصَحِّ.

Maksudnya: Seseorang itu sunat untuk menyegerakan qada’ solat  jika dia meninggalkannya disebabkan oleh keuzuran syarie seperti tidur dan terlupa. Manakala wajib hukumnya untuk dia segera menggantikan solat yang tertinggal jika sekiranya ditinggalkannya tanpa keuzuran syarie mengikut pandangan yang paling sahih.[1] (Rujuk Mughni al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 1:308)

Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam Tuhfah al-Muhtaj menyatakan:

(وَيُبَادِرُ بِالْفَائِتِ) الَّذِي عَلَيْهِ وُجُوبًا إنْ فَاتَ بِغَيْرِ عُذْرٍ وَإِلَّا كَنَوْمٍ لَمْ يَتَعَدَّ بِهِ وَنِسْيَانٍ كَذَلِكَ بِأَنْ لَمْ يَنْشَأْ عَنْ تَقْصِيرٍ بِخِلَافِ مَا إذَا نَشَأَ عَنْهُ كَلَعِبِ شِطْرَنْجٍ، أَوْ كَجَهْلٍ بِالْوُجُوبِ وَعُذْرٍ فِيهِ بِبُعْدِهِ عَنْ الْمُسْلِمِينَ أَوْ إكْرَاهٍ عَلَى التَّرْكِ، أَوْ التَّلَبُّسِ بِالْمُنَافِي فَنَدَبَا تَعْجِيلًا لِبَرَاءَةِ ذِمَّتِهِ.

Maksudnya: Seseorang itu wajib menyegerakan qada’ solat jika dia meninggalkannya tanpa keuzuran syarie. Jika tidak (iaitu ditinggalkan kerana keuzuran syarie) seperti tidur yang tidak berlebih-lebihan, lupa dan juga perkara-perkara yang tidak timbul daripada kelalaian berbeza dengan perkara yang disebabkan oleh kelalaiannya sendiri seperti bermain catur, atau kejahilan terhadap kewajipan dan keuzuran kerana berada jauh daripada orang-orang Islam atau dipaksa untuk meninggalkan solat atau ada penghalang, maka hukumnya sunat bagi mempercepatkan dirinya untuk melepaskan tanggungan (hutang solat).[2] (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 1:439)

Justeru, apabila terdapat solat fardu yang ditinggalkan bukan disebabkan keuzuran syarie, maka wajib baginya untuk segera menggantikannya apabila teringat dan tidak boleh melengah-lengahkannya.

Bahkan, dia perlu menggunakan semua waktu yang ada untuk menggantikan semua solat yang ditinggalkannya tersebut sehingga selesai daripada melakukan perkara lain termasuklah ibadah-ibadah sunat, kecuali untuk melakukan perkara-perkara yang penting sahaja. Syeikh al-Malibari di dalam kitabnya, Fath al-Mu’in menyatakan bahawa:

ويبادر من مر بفائت وجوبا إن فات بلا عذر فيلزمه القضاء فورا. قال شيخنا أحمد بن حجر رحمه الله تعالى: والذي يظهر أنه يلزمه صرف جميع زمنه للقضاء ما عدا ما يحتاج لصرفه فيما لا بد منه وأنه يحرم عليه التطوع. انتهى .

Maksudnya: Seseorang itu wajib menyegerakan qada’ solat (fardu) yang ditinggalkan, jika dia meninggalkan solat fardu tanpa keuzuran syarie maka perlulah dia ganti solatnya dengan segera. Guru kami Syeikh Ahmad Ibn Hajar rahimahullah berkata: Apa yang jelas, dia perlu untuk menggunakan kesemua masanya untuk menggantikan solatnya tersebut kecuali apa yang perlu baginya pada perkara yang penting sahaja dan diharamkan baginya untuk solat sunat.[3] (Rujuk Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrat al-‘Ain, 1:37)

Manakala, di dalam kitab I’anah al-Talibin menerangkan maksud ‘haram baginya untuk solat sunat’ bahawa:

(قوله: وأنه يحرم عليه التطوع) أي مع صحته، خلافا للزركشي.

Maksudnya: (Kata pengarang: Diharamkan baginya ibadah sunat) ialah haram namun ibadah tersebut sah, berbeza dengan pandangan Imam al-Zarkasyi.[4] (Rujuk I’anah al-Talibin, 1:32)

Selain itu, perbuatan ibadah yang wajib adalah diutamakan dan didahulukan berbanding perbuatan yang lain termasuklah perbuatan sunat. Oleh itu, perbuatan menggantikan solat fardu itu perlulah didahulukan berbanding solat sunat. Oleh yang demikian, jika seseorang mempunyai solat-solat fardu yang pernah ditinggalkannya satu masa dahulu, maka hendaklah dia menggantikannya terlebih dahulu sebelum dia melakukan ibadah-ibadah sunat lain termasuklah solat sunat tarawih. Hal ini kerana solat-solat tersebut menjadi hutangnya kepada Allah SWT, maka sepatutnya ia dilunaskan terlebih dahulu sebelum melakukan perkara-perkara tambahan lain seperti solat sunat dan seumpamanya. Rasulullah SAW bersabda:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.

Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

WaAllahu a’lam.

 

 RUJUKAN

[1] Al-Syarbini, Muhammad Ibn Ahmad al-Khatib, 1994,  Mughni al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, jld.  1, hlmn. 308.

[2] Al-Haitami, Ibn Hajar, 1983, Tuhfah al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, Maktabah al-Tijariah al-Kubra, Kaherah, jld. 1, hlmn. 439.

[3] Al-Malybari, Zainuddin Ahmad Ibn Abd al-‘Aziz, t.t, Fath al-Muin bi Syarh Qurrat al-‘Ain bi Muhammati al-Din, Dar Ibn al-Hazm, jld. 1, hlmn. 37.

[4] Al-Dumyati, Abu Bakar (al-Bakri) Ibn Muhammad Syata, 1997, I’anah al-Talibin ‘ala Hall Alfaz Fath al-Mu’in, Dar al-Fikr, Kaherah, jld. 1, hlmn. 32.