Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-185: TANGGUNG JAWAB IBU TUNGGAL MEMBAYAR ZAKAT FITRAH

IFR185.JPG

Soalan

Assalamualaikum, Siapakah yang bertanggungjawab membayar zakat fitrah untuk ibu tunggal yang kematian suaminya. Adakah saudara lelaki si mati perlu bertanggungjawab untuk membayar zakat fitrah ke atas mereka. mohon pencerahan, terima kasih

Ringkasan Jawapan

Isteri yang yang kematian suami dan mencukupi segala syarat yang ditetapkan iaitu berkemampuan dan memiliki lebihan harta untuk diri setelah terbenamnya matahari pada hari akhir Ramadan hendaklah menunaikan zakat fitrah untuk dirinya sendiri. Namun sekiranya abang atau saudaranya ingin menunaikan zakat fitrah untuknya, maka hendaklah mendapat keizinannya terlebih dahulu

Huraian Jawapan

Zakat fitrah wajib dikeluarkan oleh setiap umat Islam ke atas dirinya atau yang berada di bawah tanggungannya. Zakat fitrah wajib ditunaikan setelah terbenamnya matahari pada hari yang terakhir bulan Ramadan apabila memenuhi syarat-syarat yang tertentu. Pensyariatannya adalah berdasarkan riwayat Ibn Umar RAnhuma katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah atas setiap orang Islam sama ada yang bebas atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan pada bulan Ramadan dengan segantang tamar atau segantang gandum.

Riwayat Muslim (284)

Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, kewajipan membayar zakat fitrah bergantung kepada syarat-syaratnya iaitu Islam, wajib menunaikannya apabila terbenamnya matahari pada hari terakhir bulan Ramadan dan memiliki lebihan harta untuk dirinya dan tanggungannya pada siang dan malam hari raya.

Jelasnya lagi, tanggungjawab bagi setiap individu muslim apabila cukup syarat seperti yang dinyatakan di atas, maka dia wajib untuk menunaikan zakat fitrah bagi dirinya sendiri serta tanggungannya yang wajib dinafkahi seperti anak yang masih kecil dan isteri, sepertimana yang dinyatakan oleh ulama mazhab Syafi’ie:

يجب على من توفرت لديه هذه الشرائط الثلاثة، أن يخرج زكاة الفطر عن نفسه، وعمن تلزمه نفقتهم، كأصوله وفروعه، وزوجته

Maksudnya: Wajib atas mereka yang telah memenuhi tiga syarat tersebut (Islam, masuknya waktu wajib dan memiliki lebihan harta pada siang dan malam hari raya) untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya, dan bagi mereka yang berada dibawah tanggungan nafkahnya seperti usul (ibu dan bapa ke atas) dan furu’nya (anak dan cucu ke bawah) serta isterinya.

(Rujuk al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab Imam al-Syafi’e, 1/229)

Menjawab persoalan yang diajukan, kewajipan seorang isteri yang kematian suami untuk membayar zakat adalah tanggungjawab atas dirinya sendiri sekiranya ia memenuhi syarat seperti yang disebutkan di atas. Ini kerana zakat fitrah merupakan satu ibadah badaniah iaitu ibadah yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap individu muslim. Hal ini seperti yang dinulkan oleh Imam Syihabuddin al-Ramli (al-Ramli al-Kabir) di dalam hasyiahnya:

وَقَالَ الْبُلْقِينِيُّ لِأَنَّ الزَّكَاةَ عِبَادَةٌ بَدَنِيَّةٌ

Maksudnya: al-Bulqini berkata, ini kerana zakat (fitrah) merupakan ibadah badaniyyah[1]

Selain itu, jika seseorang yang ingin menunaikan zakat fitrah ke atas orang lain maka hendaklah meminta kebenaran dan mendapat keizinan empunya badan sebelum menunaikan zakat fitrahnya. Syeikh Muhammad Zuhaili menjelaskan tentang perkara ini di dalam karyanya al-Mu’tamad bahawa:

Tidak diharus bagi seseorang itu menunaikan zakat fitrah kepada orang lain (ajnabi) melainkan mendapat keizinannya. Serta tidak sah sekiranya dia menunaikannya tanpa mendapat keizinan. Ini kerana zakat fitrah itu ibadah dan tidak akan tertunai melainkan mendapat keizinan daripadanya. Namun sekiranya mendapat keizinan maka tertunailah zakat fitrahnya.”

(Rujuk al-Mu’tamad fi a-Fiqh al-Syafi’e, 2/102)

Justeru, dapat disimpulkan bahawa, isteri yang yang kematian suami dan mencukupi segala syarat yang ditetapkan iaitu berkemampuan dan memiliki lebihan harta untuk diri setelah terbenamnya matahari pada hari akhir Ramadan hendaklah menunaikan zakat fitrah untuk dirinya sendiri. Namun sekiranya abang atau saudaranya ingin menunaikan zakat fitrah untuknya, maka hendaklah mendapat keizinannya terlebih dahulu.

Wallahua’lam

 

[1] Hasyiah al-Ramli al-Kabir ala Asna Matalib, Dar kitab al-Islamiy, t.t, 1/391