SOALAN
Assalamualaikum. Apakah hukum kanak-kanak berpuasa di bulan Ramadan separuh hari sahaja dengan berbuka puasa pada waktu Zohor sebagai contoh? Adakah mereka mendapat pahala juga daripada puasa tersebut?
Mohon pencerahan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Hukum puasa kanak-kanak di bulan Ramadan mengikut kemampuan mereka adalah sunat dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah. Begitu juga, ibu bapa dan penjaga turut mendapat pahala dengan mendidik mereka untuk melaksanakan suruhan Allah SWT tersebut.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pertama, kanak-kanak tidak wajibkan untuk berpuasa dan tidak ditujukan perintah(khitab) syarak kepada mereka kerana mereka tidak cukup syarat iaitu mencapai umur baligh. Hal ini berdasarkan hadis ‘Diangkat qalam daripada tiga golongan’ (رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاث), antaranya ialah kanak-kanak sehinggalah dia mencapai usia baligh.[1]
Oleh yang demikian, sekiranya mereka tidak berpuasa maka tiada dosa dan juga puasa tidak perlu diqada. Walau bagaimanapun, Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan bahawa ibu bapa dan penjaga hendaklah menyuruh anak-anak mereka lelaki dan perempuan untuk berpuasa apabila mencapai usia genap atau sempurna 7 tahun dan mumayiz mengikut kemampuan mereka, serta memukul mereka apabila sengaja meninggalkannya apabila berumur genap 10 tahun, sama seperti kewajipan solat.[2] Ini supaya ibu bapa dapat melatih anak-anak untuk berpuasa sejak daripada usia masih kecil lagi.[3]
Namun begitu, hendaklah juga diraikan dan diambil kira kemampuan kanak-kanak tersebut untuk berpuasa. Hal ini seperti dinyatakan jelas oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami bahawa:
ويصح الصوم من الصبي المميز أو المميزة كالصلاة، ويجب عند الشافعية والحنفية والحنابلة على وليه أمره به إذا أطاقه بعد بلوغه سبع سنين، وضربه حينئذ على الصوم بعد بلوغه عشر سنين، إذا تركه ليعتاده، كالصلاة، إلا أن الصوم أشق، فاعتبرت له الطاقة، لأنه قد يطيق الصلاة من لا يطيق الصيام.
Maksudnya: Sah puasa bagi kanak-kanak yang mumayiz lelaki dan perempuan sama seperti sahnya solat. Wajib di sisi ulama mazhab al-Syafie, Hanafi dan Hambali ke atas ibu bapa atau penjaga untuk menyuruh mereka jika kanak-kanak tersebut berkemampuan apabila telah mencapai usia 7 tahun. Begitu juga diwajibkan untuk memukul mereka setelah usia 10 tahun jika meninggalkan puasa dengan sengaja supaya dapat membiasakan diri mereka berpuasa. Walau bagaimanapun hendaklah diambil kira kemampuan mereka kerana ibadah puasa adalah lebih berat untuk dilaksanakan (berbanding solat). Hal ini kerana boleh jadi seseorang kanak-kanak mampu untuk melaksanakan solat, namun tidak mampu untuk berpuasa.[4] (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3:45)
Justeru itu, apabila mereka melaksanakan ibadah menurut kemampuan mereka, maka puasa mereka sah dan mendapat pahala sunat daripada perbuatan tersebut. Hal ini bersandarkan hadis yang diriwayat daripada Ibn ‘Abbas bahawa:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقِيَ رَكْبًا بِالرَّوْحَاءِ، فَقَالَ: «مَنِ الْقَوْمُ؟» قَالُوا: الْمُسْلِمُونَ، فَقَالُوا: مَنْ أَنْتَ؟ قَالَ: «رَسُولُ اللهِ» ، فَرَفَعَتْ إِلَيْهِ امْرَأَةٌ صَبِيًّا، فَقَالَتْ: أَلِهَذَا حَجٌّ؟ قَالَ: «نَعَمْ، وَلَكِ أَجْرٌ»
Maksudnya: Daripada Ibn Abbas RA, daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW berjumpa dengan serombongan unta ketika berada di Rauha’. Kemudian, Baginda SAW bersabda: “Siapakah kaum tersebut?” Para sahabat menjawab, “Kami adalah kaum Muslimin.” Mereka bertanya pula kepada Baginda, “Siapakah tuan?” Baginda SAW menjawab, “Aku ialah Rasulullah”. Lalu seorang wanita datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa anak kecil, dia bertanya: “Adakah bagi anak kecil ini kewajipan haji?”. Maka Rasulullah SAW menjawab, “Ya dan bagi kamu pahala (jika dia melaksanakannya).”[5]
Riwayat Muslim (1336)
Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa ibadah yang dilakukan oleh kanak-kanak yang belum baligh adalah sah dan mendapat pahala sunat. Ini juga termasuklah ibadah-ibadah lain dilaksanakan oleh kanak-kanak mumayiz yang belum sampai umur baligh seperti puasa. Hal ini kerana dinukilkan daripada Ibn Rusyd bahawa pendapat yang sahih ialah kanak-kanak akan dicatat ibadah yang mereka lakukan dan tidak dicatat amalan keburukan mereka.[6]
Hal ini juga sepertimana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini dengan berkata:
فِيهِ حُجَّةٌ لِلشَّافِعِيِّ وَمَالِكٍ وَأَحْمَدَ وَجَمَاهِيرِ الْعُلَمَاءِ أَنَّ حَجَّ الصَّبِيِّ مُنْعَقِدٌ صَحِيحٌ يُثَابُ عَلَيْهِ وَإِنْ كَانَ لَا يُجْزِيهِ عَنْ حَجَّةِ الْإِسْلَامِ بَلْ يَقَعُ تَطَوُّعًا وَهَذَا الْحَدِيثُ صَرِيحٌ فِيهِ
Maksudnya: Hadis ini dijadikan sebagai hujah oleh Imam al-Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad dan jumhur ulama yang berpendapat bahawa ibadah haji kanak-kanak itu sah, diterima dan mendapat ganjaran pahala atas perbuatan tersebut. Namun begitu ia tidak dikira sebagai telah menunaikan kewajipan haji, bahkan hukumnya adalah sunat sahaja. Hadis ini jelas menunjukkan hal tersebut. [7](Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9:99)
WaAllahu ‘alam.
RUJUKAN
[1] البلوغ والعقل: فلا يجب الصوم على صبي ومجنون ومغمى عليه وسكران، لعدم توجه الخطاب التكليفي لهم بعدم الأهلية للصوم، المفهوم من قوله صلّى الله عليه وسلم: «رفع القلم عن ثلاث: عن الصبي حتى يبلغ، وعن المجنون حتى يفيق، وعن النائم حتى يستيقظ» (راجع: الفقه الاسلامي وأدلّته، ج 3، ص 45)
[2] (وَيُؤْمَرُ بِهِ الصَّبِيُّ) الشَّامِلُ لِلْأُنْثَى؛ إذْ هُوَ لِلْجِنْسِ أَيْ يَأْمُرُهُ بِهِ وَلِيُّهُ وُجُوبًا (لِسَبْعٍ إذَا أَطَاقَ) وَمَيَّزَ وَيَضْرِبُهُ وُجُوبًا عَلَى تَرْكِهِ لِعَشْرٍ إذَا أَطَاقَهُ نَظِيرُ مَا مَرَّ فِي الصَّلَاةِ فِيهِمَا. (راجع تحفة المحتاج في شرح المنهاج، ج 3، ص 429)
Al-Haitami, Ibn Hajar, 1983, Tuhfat al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj, Dar Ihya Turath al-Arabi, Beirut, jld. 3, 429.
[3] (وَيُؤْمَرُ بِهِ الصَّبِيُّ لِسَبْعٍ إذَا أَطَاقَ) وَمَيَّزَ وَيُضْرَبُ عَلَى تَرْكِهِ لِعَشْرٍ لِيَتَمَرَّنَ عَلَيْهِ وَالصَّبِيَّةُ كَالصَّبِيِّ، وَالْأَمْرُ وَالضَّرْبُ وَاجِبَانِ عَلَى الْوَلِيِّ كَمَا مَرَّ فِي الصَّلَاةِ.
Al-Ramli, Syamsuddin, 1984, Nihayat al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 3, hlmn. 185.
[4] Al-Zuhaili, Wahbah, t.t, al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dar al-Fikr, Damsyiq, jld. 3, hlmn. 45.
[5] Muslim Ibn Hajjaj, t.t, al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar bi Naql al-‘Adl ‘an al-‘Adl Ila Rasulillah SAW, Beirut, Dar Ihya al-Turath, jld. 2, hlmn. 974.
[6] وَقَالَ ابْنُ رُشْدٍ فِي رَسْمِ بَاعَ غُلَامًا مِنْ سَمَاعِ ابْنِ الْقَاسِمِ مِنْ كِتَابِ النُّذُورِ: إنَّ الصَّغِيرَ لَا تُكْتَبُ عَلَيْهِ السَّيِّئَاتُ وَتُكْتَبُ لَهُ الْحَسَنَاتُ عَلَى الصَّحِيحِ مِنْ الْأَقْوَالِ. (مواهب الجليل في شرح مختصر خليل, ج 1، ص 413)
[7] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 1392H, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, Dar Ihya al-Turath al-Arabi, Beirut, jld. 9, hlmn. 99.