Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADAN SIRI KE-190: ADAKAH HUKUM MENGUMPAT DAN BERKATA KEJI BOLEH MEMBATALKAN PUASA

190.JPG

Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Apakah hukum mengumpat, bercakap keji dan cela serta melakukan perbuatan maksiat ketika berpuasa. Adakah ia boleh membatalkan puasa atau hanya sekadar mengurangkan pahala puasa. Bolehkah pihak tuan jelaskan tentang perkara ini. Terima kasih

Ringkasan Jawapan

Mengumpat dan berkata keji tidak termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan puasa. Namun ia boleh mengurangkan dan membatalkan pahala puasa, bahkan ia juga boleh mengakibatkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia dan hanya menahan lapar serta dahaga sahaja. Hal ini kerana mengumpat merupakan perkara yang dilarang dan diharamkan syarak sama ada dibulan puasa mahupun pada bulan-bulan yang lain

Huraian Jawapan

Ibadah puasa merupakan ibadah yang difardukan ke atas umat Islam pada setiap tahun di bulan Ramadan. Dalam hal ini, seseorang itu hendaklah menjaga puasanya daripada perkara yang boleh membatalkan puasa di antaranya memasukkan sesuatu ke dalam rongga, muntah, keluar mani dan sebagainya.[1]

Di samping itu, mereka yang berpuasa hendaklah menghindarkan diri daripada perbuatan yang boleh mengurangkan pahalanya agar dapat mencapai matlamat puasa iaitu menambah ketakwaan diri kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Surah al-Baqarah (183)

Menjawab persoalan di atas, umum mengetahui bahawa mengumpat merupakan perkara yang keji dan dilarang di dalam Islam. Namun persoalannya, adakah ia boleh membatalkan ibadah puasa. Dalam hal ini, terdapat hadis yang menceritakan tentang mengumpat boleh membatalkan puasa. Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda:

خمس يفطرن الصَّائِم وينقض الْوضُوء الْكَذِب والنميمة والغيبة وَالنَّظَر بالشهوة وَالْيَمِين الكاذبة

Maksudnya: “Lima perkara yang boleh membatalkan puasa dan membatalkan wuduk: Berdusta, mengadu domba, mengumpat, melihat perkara yang boleh menimbulkan syahwat dan sumpah palsu.”

Riwayat al-Dailami (2979)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis di atas statusnya adalah batil dan tidak boleh menjadi hujah dan sandaran. Beliau juga menukilkan pandangan Imam al-Mawardi dan al-Mutawalli yang menyatakan bahawa hadis tersebut jika sahih sanadnya menjelaskan bahawa boleh membatalkan pahala puasanya dan bukanlah membatalkan puasa itu sendiri. Perkara ini sepertimana yang dinyatakan di dalam karyanya al-Majmu’:

" خَمْسٌ يُفْطِرْنَ الصَّائِمَ " فَحَدِيثٌ بَاطِلٌ لَا يُحْتَجُّ بِهِ وَأَجَابَ عَنْهُ الْمَاوَرْدِيُّ وَالْمُتَوَلِّي وَغَيْرُهُمَا بِأَنَّ الْمُرَادَ بُطْلَانُ الثَّوَابِ لَا نَفْسَ الصَّوْمِ

Maksudnya: “Hadis (خَمْسٌ يُفْطِرْنَ الصَّائِمَ) merupakan hadis yang batil dan tidak boleh berhujah dengannya. Imam al-Mawardi, al-Mutawalli dan selain mereka menjawab tentangnya bahawa yang dimaksudkan itu adalah batal pahala puasanya bukan puasa itu sendiri.[2]

Namun hadis ini tidak difahami secara zahir lafaznya(jika sahih sanadnya) dan Imam al-Nawawi menegaskan maksud sebenar hadis ini adalah tentang menjaga kesempurnaan dan fadilat puasa dengan meninggalkan perkara-perkara yang lagha dan kata-kata keji namun ia tidak membatalkan puasa.[3]

Selain itu, terdapat pelbagai hadis yang lain dan statusnya yang sahih menceritakan tentang larangan mengumpat dan bercakap perkara yang keji dan sia-sia. Namun tidaklah sampai ke tahap yang boleh membatalkan puasa seperti hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

"‏ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ ‏"

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan amalan yang keji, maka Allah tidak berhajat pada perbuatannya yang meninggalkan makan dan minumnya

Riwayat al-Bukhari (1903)

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani menukilkan pandangan Imam al-Baidhawi menyatakan bahawa tujuan asal pensyariatan puasa itu bukanlah hanya menahan diri dari lapar dan dahaga malah ia turut menahan diri dari hawa nafsu dan syahwat. Sekiranya dengan berpuasa itu tidak dapat menghindarkan dirinya daripada perkara tersebut, maka Allah SWT tidak akan menerima amalannya.[4]

Oleh itu, jelas bahawa mengumpat dan berkata keji tidak termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan puasa. Namun ia boleh mengurangkan dan membatalkan pahala puasa bahkan ia juga boleh mengakibatkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia dan hanya menahan lapar serta dahaga sahaja. Hal ini kerana mengumpat merupakan perkara yang dilarang dan diharamkan syarak sama ada dibulan puasa atau pun tidak.  Firman Allah SWT:

فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Maksudnya: “Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta

(Surah al-Hajj, 30)

Wallahu’alam

 

[1] Ahmad bin al-Husain bin Ahmad, Abu Syuja’, Syihabuddin Abu al-Toyyib al-Asfahani, Matan Abi Syuja’ al-Musamma al-Ghayah wa al-Takrib, (t.t.p, ‘Alim al-Kutub, t.t), hlm.19

والذي يفطر به الصائم عشرة أشياء: ما وصل عمدا إلى الجوف أو الرأس والحقنة في أحد السبيلين والقيء عمدا والوطء عمدا في الفرج والإنزال عن مباشرة والحيض والنفاس والجنون والإغماء كل اليوم والردة,

[2] Ibid

[3] Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/356

أَجَابَ أَصْحَابُنَا عَنْ هَذِهِ الْأَحَادِيثِ سِوَى الْأَخِيرِ بِأَنَّ الْمُرَادَ أَنَّ كَمَالَ الصَّوْمِ وَفَضِيلَتَهُ الْمَطْلُوبَةَ إنَّمَا يَكُونُ بصيانته عن اللغو والكلام الردئ لَا أَنَّ الصَّوْمَ يَبْطُلُ بِهِ (وَأَمَّا) الْحَدِيثُ الْأَخِيرُ

[4] Ahmad bin Ali bin Hajar Abu al-Fadl al-‘Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. (Bairut: Dar al-Ma’rifah, 1379H) 4/117

لَيْسَ الْمَقْصُودُ مِنْ شَرْعِيَّةِ الصَّوْمِ نَفْسَ الْجُوعِ وَالْعَطَشِ بَلْ مَا يَتْبَعُهُ مِنْ كَسْرِ الشَّهَوَاتِ وَتَطْوِيعِ النَّفْسِ الْأَمَّارَةِ لِلنَّفْسِ الْمُطْمَئِنَّةِ فَإِذَا لَمْ يَحْصُلْ ذَلِكَ لَا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَيْهِ نَظَرَ الْقَبُولِ فَقَوْلُهُ لَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ مَجَازٌ عَنْ عَدَمِ الْقَبُولِ