Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE #93 : BAGAIMANAKAH PUASA BAGI PESAKIT HIV/AIDS?

 

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Saya seorang pesakit HIV dan AIDS. Keadaan saya ini tidak memungkinkan saya berpuasa kerana saya dikehendaki untuk memakan ubat pada jam 8.00 pagi – 10.00 pagi kerana keperluan perubatan. Diketahui juga penyakit HIV dan AIDS ini tidak ada ubat yang betul-betul kesembuhan. Bagaimanakah saya perlu mengganti puasa? Saya dengar puasa saya boleh digantikan oleh waris tetapi saya tidak memiliki waris. Bahkan untuk membayar fidyah sendiri saya tidak mampu kerana tiada duit dan bergantung sepenuhnya kepada peruntukan hospital. Mohon pendapat.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum kami memberikan jawapan lanjut, kami berikan di sini definisi HIV dan AIDS.

HIV adalah kata akronim bagi “Human Immunodeficiency Virus”, merujuk kepada sejenis virus yang menyebabkan AIDS.[1] Dalam Bahasa Melayu, virus ini mengakibatkan kurang daya tahan dalam tubuh manusia.[2] Dengan perkataan lain, HIV ini adalah retrovirus yang menyerang sistem ketahanan penyakit dan memusnahkannya dalam tempoh tertentu. Virus ini hanya menjangkiti manusia dan boleh dikesan melalui ujian antibody HIV. HIV paling banyak terdapat dalam air mani, darah dan bendalir faraj dan sangat sedikit di dalam air mata dan air liur.[3]

Manakala perkataan “AIDS” pula adalah kata akronim bagi “acquired immune deficiency syndrome” (sindrom kurang daya tahan penyakit) iaitu penyakit atau keadaan yang dianggap disebabkan oleh sejenis virus yang menjadikan sel-sel putih dalam tubuh seseorang itu tidak lagi berupaya melindunginya daripada serangan penyakit.[4] Perkataan “acquired” menunjukkan penyakit ini tidak diwarisi. AIDS ini sifatnya adalah jangkitan opurtunistik yakni sebarang penyakit yang mengambil kesempatan daripada sistem daya tahan yang lemah. [5]

Orang yang dijangkiti HIV pada awalnya hanya mendapat penyakit yang kurang serius dan seterusnya akan menghidapi penyakit yang serius seperti barah dan pneumonia (radang paru-paru) dan ketika penyakit serius ini berlaku seseorang itu dikatakan menghidapi AIDS. Buat masa sekarang, HIV dan AIDS tidak boleh disembuhkan manakala rawatan dan ubat-ubatan diberi untuk merawat jangkitan oportunistik, dan pencegahan HIV daripada membiak dan memusnahkan sistem imun badan.[6]

Berkenaan soalan di atas, isunya adalah:

  • Adakah pesakit AIDS wajib berpuasa atau tidak?
  • Jika tidak, adakah pesakit wajib membayar fidyah atau tidak?
  • Jika wajib, bagaimana pula jika pesakit itu seorang yang miskin tidak mampu membayar fidyah?

Justeru, perbincangan selanjutnya akan menekuni isu di atas satu persatu.

 

Isu Pertama

Berdasarkan definisi dan fakta tentang HIV/AIDS di atas, pesakit boleh dikategorikan sebagai pesakit yang menghidapi penyakit yang tidak boleh sembuh jika berpuasa daripada memakan ubat pada waktu siang akan menambahkan virus dan mengurangkan sistem ketahanan badan.

Namun jika berpuasa tidak menyebabkan penyakit bertambah buruk kerana pengambilan ubat boleh dijadualkan pada waktu sahur dan waktu berbuka, maka pesakit HIV/AIDS berkenaan tetap wajib berpuasa. Seseorang yang memenuhi syarat wajib berpuasa yakni;

  1. Islam,
  2. baligh,
  3. berakal,
  4. bersih daripada haid atau nifas,
  5. mampu untuk berpuasa

adalah wajib menunaikan ibadah puasa Ramadhan. Sekiranya seseorang itu memulakan biasa, kemudian ditimpa uzur seperti sakit dan jika berpuasa ditakuti akan menambahkan sakit atau menyusahkan, maka dia boleh berbuka dan wajib menggantikannya pada waktu lain.

Jika dia meninggal dunia sebelum sempat dia menggantikan puasanya, maka puasanya tidak perlu diganti atau dibayar fidyah daripada harta pusakanya dan dia tidak berdosa. Begitu juga jika dia menangguh gantinya kerana uzur sehingga mati, seperti berterusan sakit, musafir, pengsan (termasuk koma, dll), haid, nifas, hamil, menyusukan anak. Dalam kes pesakit HIV/AIDS, dia tidak dapat menggantikan kerana penyakit menjadi lebih serius.

Namun, jika dia meninggal dunia tetapi ada sela hari yang memungkinkan dia menggantikan puasa, tetapi gagal melalukannya, maka orang ini mengikut pendapat qadim mashab al-Syafie dan yang ditashihkan oleh para muhaqqiq mazhab;

  1. Sunat digantikan puasanya oleh waris
  2. Jika tidak digantikan, maka dibayar daripada harta peninggalannya fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan kerana itu adalah hutang Allah.

 

Isu Kedua

Jika pesakit HIV/AIDS itu tidak mampu berpuasa, maka dia wajib membayar fidyah bagi setiap hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan. Tidak boleh bagi orang lain berpuasa bagi pihaknya. Keadaannya sama seperti seorang tua yang sudah tidak mampu berpuasa. Ini merupakan keringanan bagi mereka seperti firman Allah:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama

(Surah al-Hajj, 22:78)

Firman Allah Taala:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

(Surah al-Baqarah, 2:184)

Abdullah bin Abbas RA menjelaskan ayat itu:

هُوَ الشَّيْخُ الكَبِيرُ، وَالمَرْأَةُ الكَبِيرَةُ لاَ يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا، فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Maksudnya: “Maknanya ialah lelaki dan wanita yang tersangat tua, tidak mampu bagi keduanya berpuasa. Maka mereka memberi makan orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan.”

Riwayat al-Bukhari (4505)

Abu Hurairah RA berkata:

مَنْ أَدْرَكَهُ الْكِبَرُ فَلَمْ يَسْتَطِعْ صِيَامَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَعَلَيْهِ لِكُلِّ يَوْمٍ مُدٌّ مِنْ قَمْحٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mencapai umur tua sehingga tidak mampu berpuasa bulan Ramadhan maka ke atasnya satu mud (cupak) daripada gandum (untuk bayaran fidyah).”

Riwayat al-Baihaqi (8319) dalam Sunan al-Kubra.

Daripada Qatadah RA:

أَنَّ أَنَسًا رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ضَعُفَ عَامًا قَبْلَ مَوْتِهِ فَأَفْطَرَ وَأَمَرَ أَهْلَهُ أَنْ يُطْعِمُوا مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Maksudnya: “Bahawa Anas RA menjadi lemah satu tahun sebelum wafatnya. Lalu dia tidak berpuasa dan mengarahkan keluarnya untuk memberi makan orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan.”

Hisyam (salah seorang perawi dalam riwayat di atas) berkata: Beliau memberi makan 30 orang miskin.

Riwayat al-Baihaqi (8320) dalam Sunan al-Kubra.

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Berkata al-Syafie dan para ashab mazhab bahawa orang yang tersangat tua yang puasa akan memberatkannya yakni akan mengakibatkan kesukaran yang melampau, dan orang yang sakit tidak diharapkan sembuh, maka tiada puasa ke atas kedua mereka tanpa khilaf. Akan datang keterangan bahawa Ibn Munzir menakalkan ijma’ terhadap perkara ini. Namun wajib fidyah berdasarkan qaul yang paling sahih.”

Rujuk al-Majmu’ (6/258)

Isu Ketiga

Jika pesakit itu gagal membayar fidyah kerana berstatus mu`sir (orang susah) yang tidak memiliki harta, maka dia tidak perlu membayar fidyah mengikut pendapat yang paling sahih dalam mazhab al-Syafie. Ini kerana diqiaskan dengan kewajipan membayar zakat fitrah. Maka tidak perlu bagi orang lain membayarkan bagi pihaknya. Namun jika dia mendapat harta sehingga menjadi musir (orang senang) seperti diberikan wang yang banyak, maka dia wajib membayar fidyah bagi puasa Ramadhan yang dia tinggalkan bagi tahun semasa dan dimaafkan bagi tahun-tahun yang lepas-lepas diqiaskan dengan zakat fitrah.

Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/197-203)

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan di atas, maka puasa pesakit HIV/AIDS bergantung pengesahan pakar perubatan yang terpercaya. Jika doktor mengesahkan berpuasa itu selamat bagi mereka, dan jadual ubat-ubatan yang membatalkan puasa boleh dipinda kepada waktu sahur dan berbuka, maka pesakit itu wajib berpuasa. Jika sebaliknya, maka pesakit tidak wajib berpuasa dan wajib membayar fidyah. Begitu juga jika pesakit adalah seorang yang susah sampai tidak mampu membayar fidyah, maka dia tidak wajib membayar fidyah.

Semoga penjelasan ini menatijahkan kebaikan dan amalan. Wallahua’lam.

 

Nota Hujung

[1] Kamus Dewan Edisi Keempat. Rujuk: http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=hiv&d=112592&#LIHATSINI

[2] Istilah MABBIM. Rujuk: http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=hiv&d=228972&#LIHATSINI

[3] Manual Islam & HIV/AIDS. 2009. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Hal. 21.

[4] Kamus Dewan Edisi Keempat. Rujuk: http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=aids

[5] Manual Islam & HIV/AIDS. Ibid.

[6] Manual Islam & HIV/AIDS. Ibid. Hal. 30.