Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN #84: HUKUM MENGGANTIKAN PUASA BAGI YANG TELAH MENINGGAL DUNIA

 

Soalan:

Apakah hukumnya menggantikan puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia? Orang yang telah meninggal dunia tersebut ketika hayatnya masih ada baki-baki qadha’ puasa yang belum dilunaskan namun telah meninggal dunia terlebih dahulu.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Bagi persoalan di atas, sekiranya berterusan keuzuran seseorang itu sehingga dia meninggal dunia seperti sakitnya yang berterusan, berpanjangan safarnya, pengsannya, hamilnya, menyusunya dan semisalnya, maka ia tidak dikira berdosa. Tidak wajib keatasnya sesuatupun dan begitu juga bagi pihak walinya (saudara terdekat) kerana kewajipan berpuasa tidak dapat dilaksanakan sehinggalah dia meninggal dunia maka telah gugur hukum berpuasa buatnya.[1]

 

Sekiranya seseorang itu mampu untuk mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan sama ada sebab uzur ataupun tidak, namun tidak diqadha’kan sehingga dia mati, adapun mazhab al-Qadim (dan ia adalah yang rajih dan disahihkan oleh golongan muhaqqiq), dalam keadaan begini dibolehkan bagi wali untuk berpuasa bagi pihak si mati namun tidaklah dilazimi (wajib) akan perbuatan tersebut. Ini berdasarkan hadis `Aisyah R.Anha yang mana Nabi SAW telah bersabda:

 

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya.

Riwayat al-Bukhari (1952) & Muslim (1147)

 

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj menyebutkan bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa keatasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya.[2]

 

Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadha’kan). Adakah aku perlu menggantikannya?. Jawab Nabi SAW:

 

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan.

Riwayat Abu Daud (3310)

 

Puasa tersebut boleh digantikan oleh wali si mati dari kalangan ahli keluarga yang terdekat dan boleh juga untuk mengupah orang lain berpuasa bagi si mati. Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi si mati tanpa izin atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut.[3]

 

Sekiranya wali tidak berpuasa bagi si mati, dan tidak juga orang yang lain, maka dikeluarkan dari bahagian yang ditinggalkan puasa tersebut fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan satu mud (cupak). Sekiranya si mati tiada meninggalkan harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah. Wallahu a’lam.

 

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

24 Mei 2017 bersamaan 27 Sya`ban 1438H

 

[1] Lihat Al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Shafi`e. Dar al-Qalam, 2/201.

[2] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabiy, 8/23.

[3] Lihat Al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Shafi`e. Dar al-Qalam, 2/202.