Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-46: HUKUM SOLAT HARI RAYA

Solat hari raya ialah sunat muakkad. Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu. Berdasarkan hadis daripada Abi Sa’id al-Khudri yang terdahulu, solat hari raya disyariatkan secara berjemaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang merdeka atau hamba kecuali perempuan yang menghiasi diri atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja.

Solat hari raya tidak wajib berdasarkan hadis: Rasulullah SAW bersabda kepada seorang yang bertanya tentang solat yang difardukan:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ. فَقَالَ: هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهَا؟ قَالَ: لا، إِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ

Maksudnya: “Lima solat sehari semalam. Baginda ditanya lagi: “Adakah wajib atasku selain daripada itu?” Baginda menjawab: “Tidak, kecuali engkau ingin mengerjakan solat sunat.”

Riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11)

Begitu juga hadis:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللهُ عَلَى الْعِبَادِ فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ كَانَ لَهُ عِنْدَ اللهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللهِ عَهْدٌ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Allah SWT mewajibkan lima solat atas hamba-Nya. Sesiapa yang melakukannya tanpa meninggalkan sedikit pun kerana meringan-ringankannya, Allah SWT menjanjikannya masuk syurga, manakala sesiapa yang tidak melakukannya, Allah tidak menjanjikan apa-apa kepadanya. Allah akan mengazabkannya atau memasukkannya ke dalam syurga menurut kehendak-Nya.”

Riwayat Abu Daud (1420)

Hadis seterusnya, daripada Ummu Atiyyah al-Ansariyah R.Anha:

كُنَّا نُوْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ، حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا، حَتىَّ نُخْرِجَ الْحُيِّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ، فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيْرِهِمْ، وَيَدْعُوْنَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ. وَفِي رِوَايَةٍ قَالَتْ امْرَأَةٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِحدَانَا لمَ ْيَكُنْ لَهَا جِلْبَابٌ؟ فَقَالَ: لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا

Maksudnya: “Kami disuruh keluar pada hari raya dan membawa gadis-gadis keluar dari bilik-bilik pingitan mereka bersama-sama yang haidh, kesemuanya berada di belakang jemaah lelaki. Mereka bertakbir dan berdoa bersama-sama memohon keberkatan dan kesucian hari tersebut. Sementara dalam riwayat yang lain pula, seorang perempuan berkata: “Wahai Rasulullah, seorang daripada kami tidak mempunyai baju labuh (jilbab).” Baginda menjawab: “Rakannya hendaklah meminjamkan kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (928) dan Muslim (890)

Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّهُ أَرْسَلَ إِلَى ابْنِ الزُّبَيْرِ فِي أَوَّلِ مَا بُويِعَ لَهُ إِنَّهُ لَمْ يَكُنْ يُؤَذَّنُ بِالصَّلاَةِ يَوْمَ الْفِطْرِ، إِنَّمَا الْخُطْبَةُ بَعْدَ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Dia diutus kepada Ibn Zubair pada awal pelantikannya untuk memberitahu bahawa tidak ada azan ketika solat Aidilfitri, yang ada cuma khutbah selepas solat tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (916) dan Muslim (886)

Seterusnya, hadis daripada Ibn Abbas R.Anhuma dan Jabir bin Abdullah R.A, mereka berkata:

لَمْ يَكُنْ يُؤَذَّنَ يَوْمَ الْفِطْرِ وَلاَ يَوْمَ الأَضْحَى

Maksudnya: “Tidak ada azan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.”

Riwayat al-Bukhari (917) dan Muslim (886)

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam agama ini. Amin.
Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

3 Syawal 1436H