Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF287 compressed

SOALAN:

Salam. Saya ingin bertanya mengenai gambar di bawah yang saya dapat daripada facebook. Adakah benar saya perlu qada solat seperti di bawah?

Ilustrasi gambar:

  • (i) Permulaan Haid

Catitan

Mula datang haidh

Sembahyang Qajib Qadha

Sekiranya dia belum menunaikan sembahyang di dalam waktu tersebut

Subuh

Zohor

Asar

Maghrib

Isya’

Subuh

Zohor

Zohor dan Asar

Maghrib

Maghrib dan Isya’

  • (ii) Akhir Haidh

Catitan

Waktu Putus Haid

Wajib Semb. Tunai

Wajib. Semb. Qadho

Sekiranya dia hanya memeriksa pada awal tiap-tiap waktu sembahyang

Subuh

Dhuha

Zohor

Asar

Maghrib

Isya’

Subuh

-

Zohor

Asar

Maghrib

Isya’

Isya’ dan Maghrib

-

-

Zohor

Zohor dan Asar

Maghrib

 

JAWAPAN

Mukadimah

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada hukum asal, wanita yang kedatangan haid tidak wajib melaksanakan solat. Ini kerana haid adalah perkara yang mani` (penghalang) bagi kewajiban solat. Dalilnya adalah hadis Fatimah bin Abu Hubaisyah R.Anha bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ  فاترُكي الصَّلاَةَ، فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya: Ketika kedatangan haid, hendaklah kamu tinggalkan solat. Maka apabila tempohnya sudah berlalu hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.”

Riwayat al-Bukhari (236) dan Muslim (333)

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam mensyarahkan hadis ini: “Telah bersepakat para ulama bahawa ke atas wanita itu tidak ditaklifkan (diwajibkan) untuk bersolat dan tidak ditaklifkan untuk menggantikannya.”

Rujuk Syarh Sahih Muslim (4/22-23)

Solat yang ditinggalkan sewaktu haid tidak perlu digantikan apabila wanita itu suci. Ini kerana haid merupakan ketetapan yang telah Allah ﷻ jadikan bagi wanita. Ini berdalil hadis yang diguna pakai adalah hadis Aisyah R.Anha:

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Perkara itu (yakni haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid).

Riwayat Muslim (335)

Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Sesungguhnya solat itu banyak dan berulang-ulang maka akan menyusahkan wanita untuk menggantikannya, berbeza dengan puasa, yang diwajibkan dalam setahun itu sekali sahaja, dan mungkin seseorang wanita itu haid hanya satu atau dua hari sahaja. Berkata ashab kami (ulama Syafieyyah) setiap solat yang luput pada zaman haid tidak diqadhakan melainkan dua rakaa (solat sunat) tawaf.”

Rujuk Syarh Sahih Muslim (4/26)

Kaum wanita juga tidak dibenarkan untuk tergesa-gesa untuk mandi bagi solat dan berhubungan kelamin sebelum darah haid benar-benar berhenti ini. Ini ditekan oleh Saiyidatina Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari (1/171) dan al-Muwatta’ (189):

كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ

Maksudnya: "Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”

Dalam riwayat Imam Malik, diceritakan bahawa wanita-wanita tersebut sangat memberatkan diri dalam urusan agama sehingga mereka membawa pelita pada waktu malam berjumpa dengan Ummul Mukminin untuk memeriksa yang mereka sudah suci atau belum. Berkata Imam Ibn Abdil al-Barr Rahimahullah: “Ertinya Aisyah berkehendak agar kamu semua (kaum wanita) jangan terburu-buru untuk mandi wajib jika kamu nampak warna kekuningan, kerana itu adalah baki haid sehingga kamu nampak al-qossoh al-baido’ yakni cecair putih yang dikeluarkan oleh rahim (atau berdekatan dengan rahim) tatkala putusnya darah haid.” Rujuk al-Istidzkar (1/325)

 

Kaedah Menggantikan Solat Bagi Wanita Berhaid

Berkenaan kaedah mengqadakan solat bagi wanita, para ulama meletakkan dua kaedah berikut.

  • Kaedah Zawal al-Mani` (Hilangnya Penghalang)

Berkata Imam al-Nawawi:

“Sekiranya berbaki pada waktu kadar takbiratulihram dan lebih, yang tidak sampai kadar satu rakaat, maka terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih dengan sepakat Ashab, wajib keatasnya solat berkenaan kerana dia sempat mendapat satu bahagian daripadanya sama seperti hukum sempat mendapat solat Jamaah.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (3/65)

Apabila hilangnya mani’ (penghalang solat, seperti haid, dan gila) sedangkan berbaki masa sebelum habisnya suatu waktu solat kadar takbiratulihram dan lebih (satu lahzah dan lebih), maka wajib diqadakan solat itu. Begitu juga solat sebelum itu wajib diqadha jika solat itu daripada jenis yang boleh dijamak dengannya. Kita lihat contoh dengan dua gambaran:

  1. a) Sekiranya haid tamat pada waktu solat Asar, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Asar dan mengqadakan solat Zuhur.
  2. b) Sekiranya haid tamat pada waktu solat Isyak, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Isyak dan mengqadakan solat Maghrib.

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm.196-197)

Ini kerana waktu Asar adalah waktu darurat bagi solat Zuhur, dan waktu Isyak adalah waktu darurat bagi solat Maghrib. Rujuk kitab al-Tahqiq (hlm. 193-194) oleh Imam al-Nawawi.

  • Kaedah Turu’ al-Mani` (Datangnya Penghalang)

Berkata Imam al-Syirazi:

“Sekiranya seseorang itu sempat mendapatkan sebahagian daripada awal waktu solat kemudian datang kepadanya suatu keuzuran… sedangkan dia sempat mendapat daripada waktu itu masa yang yang cukup untuk dia solat fardu… maka kekallah kewajibannya dan wajib qada jika hilang uzur itu.”

Rujuk al-Majmu` (3/66-67)

Apabila haid datang, setelah berlalunya waktu solat dengan kadar perlaksanaan solat fardhu tersebut, maka wajib diqadakan solat itu, jika dia belum melaksanakannya. Ini kerana dia cukup masa melakukannya pada awal waktu, dan dia boleh bersuci seperti berwuduk dan mandi sebelum masuk waktu. Kita lihat contoh dengan dua gambaran:

  1. a) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, selepas berlalunya kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, dan dia belum menunaikan solat itu, maka wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar selepas suci nanti.
  2. b) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, sebelum sempat berlalunya masa kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, maka tidak wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar itu. Contohnya, masuk waktu Asar jam 4.45 petang, haid datang pada jam 4.46 petang.
  3. c) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, selepas berlalunya kadar bersuci dan perlaksanaan solat fardu tersebut, dan dia belum menunaikan solat itu, dan dia tidak boleh bersuci sebelum masuk waktu disebabkan tayammum atau sentiasa dalam hadas (kes istihadah atau kencing tak lawas), maka wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar selepas suci nanti. Jika tidak sempat bersuci dan menunaikan solat fardu, maka tidak wajib qada’.

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 197)

Analisis Terhadap Jadual Qada’ Solat

Berdasarkan kaedah-kaedah yang disebutkan di atas, terdapat dua pendapat yang terlalu berhati-hati diletakkan di dalam jadual-jadual soalan penanya.

Pertama: Wajib bagi wanita yang kedatangan haid pada waktu Asar atau Isyak untuk mengqadhakan solat berkenaan, dan solat fardu sebelumnya (seperti dalam jadual pertama).

Ini tidak perlu, kerana solat-solat sebelumnya, seperti solat Zuhur dan Maghrib apabila sudah dilaksanakan pada waktunya sudah sah dan tidak perlu diulang kembali. Tiada dalil dalam Hukum Syarak yang menunjukkan kewajiban tersebut. Bahkan terdapat hadis yang melarang solat fardu dilakukan dua kali, melain solat i`adah (ulang solat) yang perlu dilakukan secara berjemaah, berdasarkan hadith Nabi ﷺ yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma:

لَا تُصَلُّوا صَلَاةً فِي يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ

Maksudnya: Janganlah kamu solat fardhu sebanyak dua kali dalam sehari.

                                                                          Sunan Abi Dawud (579) dan Sunan al-Nasa’ie (860)

Kedua: Wajib bagi wanita yang tamat haid pada waktu Maghrib atau Subuh untuk mengqadhakan dua solat fardu sebelumnya (seperti dalam jadual kedua).

Ini tidak perlu, kerana seseorang wanita itu dianggap masih dalam keadaan haid sehingga terbukti dia sudah suci, seperti keluarnya cecair putih daripada sekitar rahimnya atau keringnya daripada warna-warna merah, kekuningan dan kekeruhan, sebagaimana hadis Ummul Mukminin di atas. Sebaiknya perkara ini diserahkan kepada adat kebiasaan haid seorang wanita yang lebih mengetahui tempoh haidnya. Saranan ini diucapkan oleh Sayyid al-Allamah Ahmad bin Hasan al-Attas: “Biarkanlah golongan wanita dengan adat mereka dan jangan bertanya-tanya kepada mereka.” Rujuk Syarh Yaqut al-Nafis (hlm.121) oleh Syeikh Muhammad al-Syatiri.

 

Kesimpulan

Kami berpendapat bahawa tidak perlu bagi wanita yang habis haid pada waktu Maghrib untuk mengqadakan solat Asar dan Zuhur. Begitu juga dia tidak perlu mengqadakan solat Zuhur bagi orang yang kedatangan haid pada waktu Asar sedangkan dia sudah melaksanakan solat Zuhur tersebut. Begitu juga tidak perlu mengqadakan solat Maghrib bagi orang yang kedatangan haid pada waktu Isyak sedangkan dia sudah melaksanakan solat Maghrib tersebut. Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang baik kepada penanya. Wallahua’lam.