Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

IF369.PNG

SOALAN

Assalamualaikum SS Mufti. Insyaallah pada bulan hadapan saya bakal menimang cahaya mata sulung. Saya dan isteri berhasrat untuk melaksanakan aqiqah untuk cahaya mata kami ini pada hari ke-7 kelahiran sepertimana yang disunatkan. Tetapi, setelah melihat kepada kos yang pembelanjaan majlis tersebut, kami bercadang untuk berhutang bagi menanggung separuh daripada kos majlis tersebut. Persoalan kami adakah dikira sah aqiqah tersebut dengan cara berhutang. Kami juga memohon nasihat dan pandangan terhadap perkara tersebut. Terima kasih.

JAWAPAN

Waalaikumussalam wbt.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Pertamanya, ucapan tahniah daripada kami di atas bakal kelahiran cahaya mata sulung kepada tuan serta isteri. Semoga kelahiran anak tersebut bakal menjadi penyejuk mata dan hati keluarga. Amin.

Akikah dari segi bahasa bermaksud nama bagi rambut bayi ketika lahir. Rambut tersebut dinamakan demikian kerana ia dicukur atau dipotong. Dari sudut istilah syarak pula bermaksud binatang yang disembelih sempena rambut bayi dicukur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/55 dan al-Minhaj al-Qawim, Ibn Hajar al-Haitami, hlm. 482)

Isu berkaitan akikah ini telah banyak kami perjelaskan dan dalam artikel-artikel yang lepas:

Hukum melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad (sangat dituntut). Ini berdasarkan kepada kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir al-Dhabbi R.A, katanya aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi, ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”

Riwayat Abu Daud (2839)
[Syeikh Syu’aib al-Arnaout menghukumkan sanad hadith ini adalah sahih].

Menjawab kepada persoalan, hukum melaksanakan aqiqah dengan cara berhutang adalah sah disisi syarak. Namun begitu, konsep berhutang dalam melaksanakan sesuatu ibadat adalah satu perkara yang akan menjadi beban yang menyusahkan diri sendiri pada masa akan datang. Justeru, perbuatan seperti ini adalah tidak digalakkan sama sekali kerana tuntutan beribadat di dalam agama Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan manusia. Allah SWT berfirman:

مَا يُرِيدُ اللَّـهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Maidah: 6)

Syeikh al-Maraghi menyebut: “Dalam ketentuan syariat yang Allah SWT tetapkan kepada manusia, Allah SWT tidak sedikit pun bermaksud untuk membebankan manusia kerana Allah SWT tidak memerlukan manusia sedikit pun. Lagipun Allah SWT hanya mensyariatkan kepada manusia sesuatu perkara yang baik dan mendatangkan manfaat kepada manusia.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1500)

Selain daripada itu, terdapat ancaman yang menunjukkan bahawa roh orang yang tidak melangsaikan hutang akan tergantung-gantung daripada tempat yang sepatutnya sepertimana yang dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sehingga hutangnya itu dilunaskan.”

Riwayat al-Tarmizi (1078) dan Ibn Majah (2413)
[Imam al-Tarmizi menghukumkan sanad hadith ini adalah sahih dalam Sunannya]

Syeikh al-Mubarakfuri menakalkan kata-kata Imam al-Sayuti dalam menjelaskan yang dimaksudkan dengan tergantung dalam hadith ini adalah tertahan daripada ditempatkan pada tempat yang sepatutnya.” (Lihat Tuhfaz al-Ahwazi, 4/164)

Nasihat dan syor

Antara nasihat yang dapat kami anjurkan ialah:

  • Umat Islam disuruh untuk sentiasa berlumba-lumba dan terkehadapan dalam apa jua amalan kebaikan dan kebajikan. Ini berpandukan kepada nas Ilahi:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

                                     Maksudnya: “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan”

(Surah al-Baqarah: 148)

Syeikh al-Maraghi menyebut: “Bersegeralah kamu membuat apa jua kebaikan dan hendaklah setiap orang di antara kamu berkeinginan untuk bersaing dan berlomba-lomba untuk mengikut perintah pembimbing, bukannya perintah orang yang berlumba mencampakkan kebenaran sebab dia berlumba ke arah kejahatan dan kesesatan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/288)

  • Ibadat aqiqah adalah dituntut bagi mereka yang mampu untuk melaksanakan. Kemampuan tersebut dipandang dari segala aspek terutamanya dari sudut ekonomi keluarga. Elakkan daripada berhutang dalam melaksanakan ibadat aqiqah.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa melakukan aqiqah dengan cara berhutang adalah sah sekiranya telah memenuhi dan menepati rukun-rukun aqiqah. Namun, ianya dihukum sebagai makruh. Ini kerana, amalan berhutang dalam beribadat adalah tidak digalakkan sama sekali.

Sebagai seorang yang waras, kita perlu tahu dalam menilai dan menimbang risiko-risiko yang akan mendatang akibat daripada amalan berhutang. Sememangnya telah terbukti bahawa amalan berhutang akan menjejaskan kehidupan seharian kita khususnya masyarakat Islam.

Semoga penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam melakukan ibadat menurut konsep syariah Islam yang sebenar. Amin.

Wallahu ‘alam.