Soalan:
Apakah hukum memasukkan implant yang diperbuat daripada protein khinzir ke dalam mata untuk rawatan glaukoma?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Mukadimah
“Glaukoma” bermaksud sejenis penyakit yang disebabkan bertambahnya tekanan di dalam mata, yang boleh menjejaskan penglihatan atau lama-kelamaan boleh menyebabkan hilang data penglihatan. Manakala “implan” merujuk kepada sejenis bahan, tisu, alat palsu, dan sebagainya yang dimasukkan atau ditanam ke dalam tubuh melalui pembedahan. Rujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua; Kamus Dewan Edisi Keempat.
Rawatan glaukoma bertujuan untuk mengurangkan tekanan di dalam mata dengan membuat pembedahan memasukkan implan yang bertindak sebagai longkang kepada bendalir yang berada di dalam mata ke luar supaya tekanan menjadi seimbang dan tidak mematikan saraf optik yang berada di belakang biji mata. Implan-implan yang digunakan adalah berbilang saiz dan jenama, dan masing-masing memiliki kesesuaian dan kelebihan tersendiri bergantung kepada keadaan pesakit. Antaranya ialah XEN GEL Implant yang mengandungi gelatin khinzir.
Hukum Penggunaan Bahan Najis Dalam Perubatan
Di dalam Islam, antara syarat untuk berubat ialah mestilah sumber ubat itu adalah suci. Jika ubat atau rawatan itu menggunakan najis, maka asalnya adalah diharamkan kerana Hukum Syarak melarang mengambil manfaat daripada najis, jika terdapat bahan suci lain yang boleh menggantikan. Firman Allah Taala:
وَمَا لَكُمْ أَلاَّ تَأْكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلاَّ مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ وَإِنَّ كَثِيراً لَيُضِلُّونَ بِأَهْوَائِهِمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِالْمُعْتَدِينَ
Maksudnya : "Dan tidak ada sebab bagi kamu, yang menjadikan kamu tidak mahu makan sari sembelihan binatang-binatang halal yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan ke atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya."
(Surah al-An’am : 119)
Abu Darda’ RA meriwayatkan sabda Rasulullah ﷺ:
إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala telah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan jangan kamu berubat dengan benda yang haram”.
Riwayat Abu Dawud (no.3874)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الدَّوَاءِ الْخَبِيثِ
Maksudnya: “Rasulullah ﷺ melarang daripada berubat dengan ubat yang kotor”
Riwayat Abu Dawud (no.3870)
Namun begitu, jika suatu bahan najis itu berfungsi untuk merawat penyakit maka penggunaan adalah diharuskan apabila fungsinya lebih berkesan berbanding bahan suci atau tiada alternatif daripada bahan yang suci. Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu` (9/53) pada menyatakan keharusan berubat dengan najis: “Dan dalil mazhab kami (Syafie) adalah dengan hadis Uraniyyin yang diriwayatkan dalam al-Sahihain seperti yang telah disebut sebelum ini, dan keharusan itu tertanggung pada keperluan mereka meminumnya atas tujuan berubat, seperti yang zahir daripada hadis. Sedangkan hadis “tidak dijadikan benda yang haram itu penyembuhan bagi kamu” ditanggung maksudnya pada ketika tiada keperluan terhadap najis tersebut dengan keadaan ada benda lain (yang suci) yang boleh memenuhi keperluan itu (seperti lebih cepat sembuh dan kurang kesan sampingan) maka jadilah najis itu sama kedudukannya dengan ubat-ubatan yang suci. Begitulah jawapan bagi dua hadis (Abu Dawud) yang terakhir tadi. Berkata al-Baihaqi: Dua hadis ini jika sahih, maka hendaklah ditanggungkan kepada maksud larangan berubat dengan benda yang memabukkan dan berubat dengan benda haram dalam keadaan tidak terdesak, untuk menghimpunkan (yakni mengharmonikan) hadis-hadis itu dengan hadis Uraniyyin.”
Hadis Uraniyyin yang dimaksudkan dalam keterangan di atas ialah hadis riwayat Anas bin Malik RA:
قَدِمَ أُنَاسٌ مِنْ عُكْلٍ أَوْ عُرَيْنَةَ فَاجْتَوَوْا المَدِينَةَ فَأَمَرَهُمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِلِقَاحٍ وَأَنْ يَشْرَبُوا مِنْ أَبْوَالِهَا وَأَلْبَانِهَا فَانْطَلَقُوا فَلَمَّا صَحُّوا قَتَلُوا رَاعِيَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاسْتَاقُوا النَّعَمَ فَجَاءَ الخَبَرُ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ فَبَعَثَ فِي آثَارِهِمْ فَلَمَّا ارْتَفَعَ النَّهَارُ جِيءَ بِهِمْ فَأَمَرَ فَقَطَعَ أَيْدِيَهُمْ وَأَرْجُلَهُمْ وَسُمِرَتْ أَعْيُنُهُمْ وَأُلْقُوا فِي الحَرَّةِ يَسْتَسْقُونَ فَلاَ يُسْقَوْنَ قَالَ أَبُو قِلاَبَةَ فَهَؤُلاَءِ سَرَقُوا وَقَتَلُوا، وَكَفَرُوا بَعْدَ إِيمَانِهِمْ، وَحَارَبُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ.
Maksudnya: "Beberapa orang dari 'Ukl atau 'Urainah datang ke Madinah, namun mereka tidak tahan dengan iklim Madinah hingga mereka pun sakit. Nabi ﷺ lalu memerintahkan mereka untuk mendatangi kawanan unta dan meminum air kencing dan susunya. Maka mereka pun berangkat pergi (kemudian melakukan apa yang diperintah). Setelah sembuh, mereka membunuh pengembala unta Nabi ﷺ dan membawa lari unta-untanya. Kemudian berita itu pun sampai kepada Nabi ﷺ menjelang siang. Maka baginda mengutus rombongan untuk mengikuti jejak mereka, ketika matahari telah tinggi, utusan baginda datang dengan membawa mereka. Baginda lalu memerintahkan agar mereka dihukum, maka tangan dan kaki mereka dipotong, mata mereka dicongkel, lalu mereka dibuang ke pada pasir yang panas. Mereka minta minum namun tidak diberi." Abu Qilabah mengatakan, "Mereka semua telah mencuri, membunuh, murtad setelah keimanan dan memerangi Allah dan rasul-Nya."
Riwayat al-Bukhari (no.233) dan Muslim (no.1671)
Justeru, mazhab al-Syafie membenarkan rawatan yang menggunakan najis selain daripada perkara yang memabukkan. Pendapat ini juga dipegang oleh jumhur ulama’. Lihat al-Majmu’ (9/50). Terdapat juga pendapat-pendapat lain yang mengatakan tidak boleh berubat dengan air kencing unta. Namun ini adalah pendapat-pendapat yang lemah. Lihat Raudah al-Tolibin (3/285).
Imam Nawawi meletakkan syarat sekiranya ingin menggunakan air kencing unta sebagai ubat (Lihat al-Majmu’, 9/51) yakni hendaklah yang mengambil air kencing unta sebagai ubat itu arif tentang ubat-ubatan. Sekiranya yang ingin berubat tidak tahu tentang ubat-ubatan, hendaklah dia mendapat nasihat daripada pengamal perubatan muslim yang adil. Imam Baghawi berkata, cukup seorang pengamal perubatan sahaja. Ini bersesuaian dengan kaedah maqasid yang menyatakan:
مَصَالِحُ الدُّنْيَا وَمَفَاسِدُهَا تُعْرَفُ بِالتَّجَارِبِ وَالْعَادَاتِ
Maksudnya: “Maslahat-maslahat dan kerosakan-kerosakan yang melibatkan urusan keduniaan diketahui daripada tajarrub (pengalaman, eksperimen) dan adat.”
Rujuk Qawaid al-Ahkam (1/13) oleh Imam Izz al-Din bin Abdussalam.
Kelonggaran menggunakan najis sebagai ubat tertakluk kepada situasi darurat atau hajat yang merujuk kepada keadaan sangat mendesak yang jika diabaikan akan membawa kepada kebinasaan, penderitaan dan kesakitan yang berpanjangan. Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut: “Keadaan darurat ialah suatu keadaan apabila seseorang takut sekiranya dia tidak memakan benda haram maka ke atas dirinya bahaya kematian, penyakit yang ditakuti, bertambah lagi sakit, bertambah lagi tempoh penyakit, terputus hubungan dengan peneman (ketika musafir), atau ditakuti lemah untuk berjalan atau menunggang kenderaan, dan tidak ditemui barang halal untuk dimakan melainkan terdapat barang haram seperti bangkai, daging khinzir, dan makanan orang lain, maka harus mengambil (makan) barang haram itu.” Namun, kadar yang dimakan itu mestilah hanyalah untuk menyambung hidup sahaja dan bukan untuk berlazat-lazat dan kenyang, melainkan jika seseorang itu terdapat di kawasan yang jauh yang ditakuti akan membinasakannya kerana gagal pergi ke tempat selamat maka boleh makan sehingga kenyang. Berkata al-Zuhaili lagi: “Adapun untuk tujuan pengubatan menggunakan najis-najis, ia dibenarkan sekiranya tiada bahan suci yang memiliki kesan mujarab yang sama atau lebih baik daripada najis itu mengikut pendapat yang sahih. Maka jika ditemui penggantinya, maka diharamkan menggunakan najis.”
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/562-565)
Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh:
مَا أُبِيحَ لِلضَرُورُةِ يُقَدِّرُ بِقَدَرِهَا
Maksudnya: “Apa yang diharuskan kerana darurat itu diharuskan mengikut kadar daruratnya.”
Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir (hal. 172) oleh Imam al-Suyuti
Hukum Solat Orang Yang Menggunakan Najis Atas Faktor Kesihatan
Seseorang yang berubat dengan benda najis atas sebab keperluan maka dimaafkan untuk dia solat dalam keadaan menanggung bahan itu kerana darurat dan solatnya sah. Berkata Imam al-Nawawi dalam Minhaj al-Tolibin (hlm. 31): “Jika bersambung tulangnya dengan suatu najis kerana tidak mendapat bahan yang suci maka dimaafkan, melainkan (jika mendapat bahan yang suci) maka wajib mencabutnya sekiranya tidak takut ditimpa mudarat yang zahir.”
Keterangan ini dihuraikan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini seperti berikut: "[Jika tulang seseorang disambungkan] lantaran umpamanya patah dan perlu untuk disambungkan [dengan najis kerana tidak ada bahan suci] yang sesuai untuk disambungkan, atau ada bahan suci tetapi ahli khibrah (pakar perubatan) mengatakan bahan itu tidak bermanfaat dan hendaklah disambung dengan suatu bahan najis [maka diberikan uzur] dalam kes itu maka sahlah solatnya kerana darurat. Berkata (Imam al-Nawawi) dalam al-Raudah seperti mana asalnya tidak wajib untuk mencabutnya sekalipun jika wujud bahan yang suci. Zahir kenyataan ini bahawa tidak wajib mencabutnya sekalipun jika tidak dikhuatiri berlakunya mudarat, dan itulah sepatutnya. Sekalipun berkata sebahagian ulama muta’akhkhirin: Jika tempatnya itu ditakuti akan menyebabkan mudarat apabila dicabut, namun jika (tidak takut) maka wajib cabut. Jika ahli khibrah menyatakan: sesungguhnya daging manusia tidak tertutup dengan cepat melainkan dengan menggunakan tulang seumpama daripada anjing, maka hendaklah memilih bahan itu, seperti mana kata al-Isnawi hal itu adalah suatu keuzuran. Ini diqiaskan dengan apa yang mereka sebutkan dalam kes tayammum pada isu lambatnya sembuh (jika menggunakan air – pent.) Hukum menggunakan tulang manusia pada haramnya digunakan untuk disambungkan atau wajib mencabutnya sama seperti hukum tulang najis (kerana kemuliaannya – pent.). Pendapat yang zahir ialah tiada beza antara tulang daripada manusia yang dihormati dengan selainnya (yakni yang tidak dihormati seperti kafir harbi), dan itulah pendapat yang sepatutnya, sekalipun menurut al-Azraie pada tulang yang berasal daripada nyawa yang tidak dimuliakan seperti kafir harbi dan murtad itu ada sesuatu (yang buruk – pent.) [jika tidak] yakni jika disambung semasa ada bahan yang suci lagi boleh soleh (kesesuaian untuk disambung), dan tidak ada keperluan untuk disambungkan (dengan najis – pent.) Maka haram disambungkan (dengan bahan najis) kerana itu sudah melampaui batas, [maka wajib] ke atasnya [untuk mencabutnya] dan boleh dipaksa (oleh pemerintah) [jika tidak dikhuatiri menyebabkan mudarat yang zahir] yakni perkara yang mengharuskan tayammum."
Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/405)
Berkata Imam Syamsuddin al-Ramli: “Jika ditakuti perkara itu (yakni mudarat yang zahir) seperti kecacatan atau lambat sembuh (tidak memadai hanya sekadar sakit dan telah ditutupi kulit, jika dipasang semasa ada bahan lain yang suci) maka tidak wajib mencabutnya kerana uzur, bahkan haram punya mencabutnya seperti mana dalam kita al-Anwar dan sah solatnya tanpa perlu mengulang semula.”
Rujuk Nihayah al-Muhtaj (2/24); dan Tuhfah al-Muhtaj (2/127) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.
Rukhsah berkenaan kes tulang ini juga terpakai dalam kes ubat-ubatan dan benang jahit pembedahan seperti mana kata Imam al-Nawawi dalam Raudah al-Tolibin (1/276): “Dan berubat pada bahagian luka dengan ubat-ubatan yang najis serta jahitannya dengan benang yang najis sama (hukum) dengan menyambung tulang yang najis, maka wajib mencabutnya sama seperti wajib cabut tulang (yang najis), begitu juga jika tertoreh kawasan pada badannya dan terdapat dalamnya pendarahan (yang memerlukan jahitan – pent.).”
Kesimpulan
Berdasarkan keterangan dan fakta di atas, penyakit glaukoma adalah suatu penyakit yang berbahaya kerana boleh menyebabkan kebutaan. Syariat Islam menggesa penganutnya untuk menjaga kesihatan diri dan melarang daripada merosakkan tubuh sendiri atau orang lain. Semua ini diletakkan sebagai salah satu daripada tujuan utama Hukum Syarak iaitu hifz al-nafs yakni penjagaan, pemeliharaan dan pemuliharaan tubuh badan. Justeru, merawat penyakit glaukoma dengan ubat-ubatan atau pembedahan adalah salah satu wasilah untuk mentahqiqkan tujuan Syarak bagi menjaga nyawa daripada hilang.
Pembedahan memasukkan implan ke dalam biji mata untuk mengawal tekanan dalam biji mata dengan mengimbangkan aliran bendalir pada permukaan dan dalam biji mata, mempunyai beberapa pendekatan yang khusus. Bukan semua pesakit sesuai dengan satu-satu produk implan bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri. Penggunaan implan yang mengandungi gelatin khinzir mempunyai sebab perubatan yang khusus dan buat masa sekarang tidak ada bahan suci lain yang boleh menggantikan fungsi implan ini. Berdasarkan penjelasan di atas, gelatin khinzir (porcine) mempunyai kualiti perubatan yang baik berbanding gelatin lembu (bovine) yang lebih terdedah kepada penularan penyakit lembu gila yang boleh memberikan mutasi kepada genetik hos baharu.
Oleh itu, penggunaan implan yang mengandungi gelatin khinzir untuk rawatan glaukoma bagi kes-kes yang tidak boleh menggunakan implan yang suci adalah termasuk dalam kategori darurat kerana tidak ada bahan suci yang boleh berfungsi sebaiknya. Hukum penggunaannya adalah diharuskan dan pemakainya adalah dikategorikan sebagai uzur dan solat yang dilakukannya dalam keadaan menanggungnya adalah sah dan tidak perlu diulang. Ini diqiaskan dengan penggunaan tulang, ubat dan benang daripada najis untuk merawat seperti mana yang dibahaskan oleh ulama fiqh.
Bersesuaian dengan fakta dan kenyataan di atas, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-120 yang bersidang pada pada 1 November 2019M Bersamaan 4 Rabiulawal 1441H (Jumaat) telah meneliti kertas cadangan bertajuk “Hukum Menggunakan Implan Rawatan Glaukoma Yang Diperbuat Daripada Gelatin Khinzir” dan membuat keputusan bahawa hukum penggunaan implan rawatan glaukoma yang diperbuat daripada gelatin khinzir adalah seperti berikut:
- Harus menggunakan implan yang diperbuat dari gelatin khinzir.
- Wajib mencabut implan yang diperbuat daripada gelatin khinzir jika terdapat implan suci selama mana tidak mendatangkan mudharat kepada pesakit.
- Orang yang memasang implan ini kerana darurat dikategorikan sebagai berada dalam keadaan uzur syarie) maka solatnya adalah sah dan tidak pertu diulang.
- Keperluan menggunakan implan yang diperbuat tersebut hendaklah disahkan oteh seerang pegawai perubatan yang dipercayai dan mendapat nasihat tentang kesan-kesan keburukan dan kebaikan rawatan yang diambil sebelum melaksanakan rawatan tersebut.
Semoga jawapan ini memberikan penjelasan yang baik kepada kita semua. Wallahua’lam.