Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IRSYAD FATWA 388

SOALAN

Assalamualaikum ustaz. Saya salah seorang pekerja yang mengendali charity shop. Kedai kami hanya menerima barangan yang disumbang daripada orang ramai. Menurut ustaz,

  • Apakah hukum kami menjual barangan derma?
  • Apakah hukum kami menjual barangan tanpa letak tanda harga dan ditentukan ketika di kaunter pembayaran?
  • Apakah hukum kami tular barangan kami jual sehingga berlaku rebutan orang ramai dan bergaduh?

JAWAPAN

Muqaddimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga baginda ﷺ, sahabat baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda ﷺ.

Permasalahan hukum-hakam harta sumbangan atau pemberian (Ahkam al-Tabarru’at) ini berkisar dengan dalam perkara hibah (هبة), hadiah (هدية), sedekah (صدقة), wakaf (وقف), dan wasiat (وصية).

Kami fokuskan perbahasan ini kepada hibah, hadiah dan sedekah. Maksud hibah ialah pemberian sesuatu tanpa gantian, dan ini merupakan maksud umum pemberian. Hadiah pula ialah pemberian sesuatu barang kepada seseorang sebagai satu penghormatan atau kemuliaan. Manakala sedekah ialah pemberian kepada yang memerlukan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ganjaran pahala di akhirat. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 42/120]

Oleh iu, dapat dilihat ketiga-tiga perkara tersebut berbeza mengikut niat pemberi. Amalan memberi hibah, hadiah ataupun sedekah merupakan satu amalan yang digalakkan dalam Islam.

Firman Allah SWT:

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.”

(Surah al-Baqarah: 177)

Hukum Menjual Barangan Derma

Barang yang telah diberi atau diderma telah menjadi hak milik penerima untuk menggunakan barang tersebut seperti mana yang dikehendaki. Dalam menetapkan penukaran hak milik barang derma ini, terdapat beberapa pendapat ulama’ dalam perkara ini:

  • Pendapat pertama: Mazhab Hanafi dan Syafie mensyaratkan bahawa penerima hendaklah menerima iaitu serahan barang (qabdhu) tersebut dengan keizinan pemberi.
  • Pendapat kedua: Mazhab Hanbali menyatakan bahawa syarat menerima (serahan barang) tersebut hanya pada barang yang boleh ditimbang atau diukur.
  • Pendapat ketiga: Mazhab Maliki pula menyatakan penukaran pemilikan barang sudah berlaku apabila berlakunya aqad (ijab dan kabul) sahaja. [Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 5/3996]

Ibn Umar telah meriwayatkan dalam sebuah hadis:

قَالَ: أَخَذَ عُمَرُ جُبَّةً مِنْ إِسْتَبْرَقٍ تُبَاعُ فِي السُّوقِ، فَأَخَذَهَا، فَأَتَى بِهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ابْتَعْ هَذِهِ تَجَمَّلْ بِهَا لِلْعِيدِ وَالوُفُودِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّمَا هَذِهِ لِبَاسُ مَنْ لاَ خَلاَقَ لَهُ» فَلَبِثَ عُمَرُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَلْبَثَ، ثُمَّ أَرْسَلَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِجُبَّةِ دِيبَاجٍ، فَأَقْبَلَ بِهَا عُمَرُ، فَأَتَى بِهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ: إِنَّكَ قُلْتَ: «إِنَّمَا هَذِهِ لِبَاسُ مَنْ لاَ خَلاَقَ لَهُ» وَأَرْسَلْتَ إِلَيَّ بِهَذِهِ الجُبَّةِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «تَبِيعُهَا أَوْ تُصِيبُ بِهَا حَاجَتَكَ»

Maksudnya: Abdullah bin Umar berkata, "Umar membawa baju jubah yang dibuat daripada sutera yang dibelinya di pasar, jubah tersebut kemudian diberikan kepada Rasulullah ﷺ seraya berkata, "Wahai Rasulullah, belilah jubah ini kerana ia boleh mempercantikkan penampilan ketika solat hari raya atau ketika menyambut para delegasi." Rasulullah ﷺ lalu berkata kepadanya: "Ini adalah pakaian orang yang tidak akan mendapatkan bahagian ( nikmat di akhirat)." Kemudian Umar tidak kelihatan untuk beberapa waktu lamanya menurut apa yang Allah kehendaki, kemudian Rasulullah ﷺ mengirimkan kepada Umar sebuah jubah sutera. Maka Umar pun membawanya menemui Rasulullah ﷺ seraya berkata: "Wahai Rasulullah, tuan telah memberikan pakaian ini untukku, padahal tuan telah berkata, 'Ini adalah pakaian orang yang tidak akan mendapat bahagian (nikmat di akhirat) '. Lalu mengapa tuan mengirimnya kepadaku?" Maka Rasulullah ﷺ pun berkata kepadanya: "Juallah, atau dengannya boleh memenuhi kehendakmu."

HR al-Bukhari (948)

Maka, dibolehkan untuk jual barang yang telah dihadiahkan seperti mana Rasulullah ﷺ berkata kepada Umar RA untuk menjual atau berbuat apa sahaja yang dikehendaki dengan baju sutera tersebut.

Barangan derma lebih umum penggunaannya berbanding zakat. Zakat hanya boleh diberi kepada golongan asnaf tertentu yang telah disebutkan dalam al-Quran. Barangan derma pula tidak terhad penggunaannya samada ingin dijual, disewa atau diberi kepada orang lain selagi mana penderma tidak mengkhususkan kegunaannya.

Hukum Menjual Barang Tanpa Letak Tanda Harga

Rukun jual beli ialah:

  • penjual
  • pembeli
  • sighah aqad (ijab dan kabul)
  • barang jualan
  • harga

Sesuatu urus niaga atau jual beli mestilah dilakukan atas keredhaan dua pihak iaitu penjual dan pembeli. Keredhaan dua pihak ini dapat diketahui apabila berlakunya ijab dan qabul (aqad). Perkara yang diakadkan (al-ma’qud alaih) dalam urusan jual beli iaitu barang jualan dan harga barang perlu dimaklumkan dan diketahui oleh dua belah pihak ketika aqad berlaku. Tidak sah sesuatu urusan jual beli sekiranya tidak diketahui barang jualan atau harganya kerana telah berlaku gharar (penipuan) di dalamnya. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 6/19]

Berdasarkan soalan, aqad jual beli berlaku ketika di kaunter pembayaran. Sekiranya di kaunter pembayaran, penjual telah memaklumkan kepada pembeli harga barang yang tidak diletakkan tag harga dan pembeli tersebut redha dengan harga yang telah diletakkan, maka sah urusan jual beli tersebut apabila pembeli setuju dan membayar harga barang kemudian penjual menyerahkan barangan tersebut.

Firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisaa’: 29)

Namun begitu, adalah lebih baik dan bersistematik, sekiranya penjual meletakkan tag harga untuk kesenangan hati pembeli membuat pilihan sebelum ke kaunter.

Menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 Seksyen 9 menyatakan penjual hendaklah mempamerkan senarai harga:

  1. (1) Mana-mana orang yang menawarkan untuk menjual apa-apa barangan harga terkawal atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa perkhidmatan caj terkawal hendaklah mempamerkan senarai harga bagi barangan harga terkawal atau caj bagi perkhidmatan caj terkawal dalam kedudukan yang mudah dilihat yang senang dibaca oleh mana-mana orang yang bercadang untuk membeli barangan atau perkhidmatan itu.

(2) Walau apa pun subseksyen (1), jika tidak praktik untuk mempamerkan senarai harga atau caj sebagaimana yang dikehendaki di bawah subseksyen (1), senarai harga atau caj itu hendaklah dipamerkan mengikut cara yang ditentukan oleh Pengawal.

(3) Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) atau (2) melakukan suatu kesalahan.

Tular Barang Jualan sehingga Berlaku Rebutan

Dalam sebuah hadis, Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا يَبِعِ الرَّجُلُ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ، وَلَا يَخْطُبْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ، إِلَّا أَنْ يَأْذَنَ لَهُ

Maksudnya: "Janganlah seorang membeli barang yang dibeli oleh saudaranya dan janganlah meminang perempuan yang dalam pinangan saudaranya, kecuali kalau telah diizinkan (oleh peminang yang pertama).”

HR Muslim (1412)

Perbuatan mengambil atau menyekat hak dan keinginan orang lain seperti membeli barang yang telah dipesan oleh saudaranya yang mana masih dalam tempoh pilihan (khiyar) atau meminang pinangan saudaranya adalah dilarang dalam Islam. Hikmah pengharaman segala bentuk perbuatan seperti ini kerana ia merupakan perbuatan yang melanggar tatasusila serta menimbulkan rasa tidak puas hati dan persengketaan. Perkara ini bercanggah dengan apa yang diingini oleh Islam dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 6/43]

Situasi merebut barang belian orang lain dapat disamakan dengan perbuatan membeli atas barangan orang lain sekiranya pembeli tersebut memang berniat untuk mengambil hak pembeli yang lain sehingga menimbulkan pergaduhan. Walaubagimanapun, kami melihat bahawa perbalahan ini mungkin juga berlaku disebabkan kurang informasi dari penjual dan juga salah faham antara pembeli-pembeli yang lain. Seharusnya, kedua-dua belah pihak perlu berurusan dengan baik supaya tujuan utama dalam bermuamalah tidak tersasar dan tidak menimbulkan permasalahan yang lain.

Kesimpulan

Tuntasnya, kami menyatakan bahawa menjual barangan derma dengan niat untuk menyalurkan hasil jualan kepada program-program yang bermanfaat kepada masyarakat hukumnya harus dan merupakan satu amalan yang sangat digalakkan. Kami berpendapat agar pihak penjual dapat menggandakan usaha dalam menambah-baik strategi urusan jual beli seperti yang berikut:

  • Sebaiknya penjual hendaklah lebih pantas dalam memberi maklumat kepada pelanggan berkaitan barang yang dijual samada masih berada dalam simpanan atau sudah dibeli.
  • Memperbaiki cara jualan atau pengiklanan seperti meletakkan tanda harga agar lebih tersusun dan sistematik agar perebutan atau salah faham dapat dielakkan.
  • Menggunakan platform yang lebih establish dan sesuai dalam memasarkan produk jualan.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam melaksanakan amalan kebaikan. Wallahua’lam.