Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-389 : HUKUM MEMAKAI BAJU YANG BERLOGO SYARIKAT ARAK DAN JUDI

 

IF389.PNG

SOALAN

Assalamualaikum wbt Ustaz. Sejak dahulu lagi telah menjadi trend kepada pengusaha perniagaan untuk mempamerkan jenama, logo atau produk-produk perniagaan pada baju-baju. Saya inginkan kepastian tentang hukum memakai baju yang dipamerkan padanya jenama atau logo syarikat perniagaan dari syarikat arak atau judi. Adakah dibolehkan untuk kita memakainya tanpa apa-apa niat atau tujuan? Mohon penjelasa ustaz. Terima kasih.

JAWAPAN

Waalaikumussalam wbt.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Pada umumnya, setiap perniagaan yang tertubuh di atas muka bumi ini adalah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan bersumberkan kepada aktiviti perniagaan yang dijalankan. Islam tidak menghalang tujuan tersebut selagimana aktiviti perniagaan yang dijalankan itu masih dalam kerangka syariat Islam. Ini berdasarkan kepada satu kaedah fiqh yang menyebut:

الأَصْلُ فِي الْمُعَامَلَاتِ الْإِبَاحَة

Maksudnya: “Hukum asal dalam mumalat ialah harus.”

Dalam mencapai maksud tersebut, aspek promosi terhadap produk jualan atau perkhidmatan yang diniagakan perlulah digiatkan. Promosi (التَرْوِيجُ) bermaksud segala usaha dan kegiatan untuk menggalakkan atau mempertingkatkan jualan barang (eksport, pelancongan dan sebagainya). (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Salah satu cara promosi yang sering dilakukan pada masa kini ialah dengan mempamerkan jenama atau logo syarikat perniagaan pada baju-baju, lalu diedarkan kepada orang awam secara percuma atau sebaliknya. Perbuatan mempamerkan itu adalah satu langkah promosi yang bertujuan agar jenama atau produk yang dikeluarkan itu dikenali dan diingati oleh pelanggan seterusnya mendorong hati pelanggan untuk tertarik dan membelinya.

Berdasarkan kepada persoalan di atas, pengharaman arak dan judi adalah jelas di dalam al-Quran dan hadith. Allah SWT telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Maidah: 90)

Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT memerintahkan manusia supaya menjauhi arak dan judi kerana kedua-duanya terdapat dua kerosakan yang bersifat duniawi dan bersifat keagamaan. Kerosakan duniawi ialah saling bermusuhan dan membenci ketika minum dan judi manakala kerosakan keagamaan ialah dengan bermabuk-mabuk dan sibuk dengan judi sehingga memalingkan kamu daripada mengingati Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/1690)

Imam Ibn Jarir al-Tabari pula menyebut bahawa akibat dari mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Manfaatnya ada namun mafsadah yang timbul daripadanya lebih besar. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 2/489)

Demikian juga sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik R.A, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Riwayat Ibn Majah (3381) dan al-Tarmizi (1295)

Menjawab kepada persoalan di atas, minuman arak dan amalan judi adalah jelas pengharamannya di dalam agama Islam. Justeru, pemakaian baju yang mempunyai lambang atau logo syarikat arak atau judi adalah haram. Ini kerana, tujuan utama mempamerkan jenama atau logo syarikat arak dan judi di pakaian-pakaian adalah tidak lain bertujuan untuk mempromosikan kepada masyarakat tentang kewujudan mereka (syarikat arak dan judi) seterusnya menjadi satu galakan kepada masyarakat untuk membeli dan mencubanya. Pemakaian baju seperti ini sudah pasti akan mendatangkan keuntungan kepada syarikat judi dan arak tersebut. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Maidah: 2)

Imam Ibn Kathir menyebut, Dia (Allah SWT melarang kamu dari saling membantu atas perkara yang batil serta menolong atas perkara-perkara dosa dan sesuatu yang diharamkan. (Lihat Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, 3/7).

Jualan arak dan judi adalah haram di dalam Islam. Mempromosikan arak dan judi juga adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang di dalam Islam. Jika tujuan pemakaian adalah sebagai satu promosi maka ianya dikira sebagai menolong kepada yang haram. Namun demikian, sekiranya pemakaian tidak bertujuan sedemikian, maka dia juga dikira sebagai mempromosikan perkara-perkara haram tanpa dia sedari.

Nasihat dan syor

Kesedaran kepada seluruh masyarakat terhadap isu-isu seperti ini perlu diberi perhatian dalam mengatasi perkara seperti ini. Justeru, kami syorkan seperti berikut:

  1. Bagi mereka yang telah mempunyai pakaian seperti ini, mereka boleh memakainya dengan cara menterbalikkan baju tersebut agar logo atau lambang tersebut tidak kelihatan.
  2. Kerajaan perlu mengawal penjualan baju-baju yang berlogokan syarikat arak dan judi kepada seluruh umat Islam.
  3. Masyarakat Islam perlu peka dan prihatin terhadap masyarakat Islam yang lain dalam menghindari perbuatan dosa tanpa mereka sedar.

KESIMPULAN

Tuntasnya, pemakaian pakaian yang mempunyai logo atau lambang syarikat judi atau arak haram dan dilarang. Ini kerana, perbuatan tersebut termasuk dalam usaha bagi mempromosikan serta melariskan arak dan judi. Justeru, bagi mereka yang memakainya dengan niat atau tidak dikira telah menolong dalam mempromosikan syarikat judi dan arak. Adapun begitu, bagi mereka yang mempunyai pakaian seperti ini mereka boleh memakainya dengan cara menterbalikkan pakaian tersebut supaya logo dan lambang tersebut tidak kelihatan.

Semoga penjelasan yang diberikan di atas mampu membuka minda dan memberi kefahaman kepada kita semua untuk terus hidup dalam kerangka syariat Islam yang sebenar. Amin.

Wallahu’alam.