Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-395: ABANG MENGUSAHAKAN HARTA PUSAKA TANPA PERSETUJUAN ADIK

IF395.PNG

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Abang kandung saya telah mengusahakan kebunnya berkeluasan 3 ekar. Dia juga telah mengusahakan kebun milik saya dan kakak yang berkeluasan 3 ekar tanpa persetujuan kami berdua. Namun demikian, kami tidak boleh membantah keputusan abang. Abang saya meminta kami membayar kos perbelanjaan kebun yang diusahakannya berjumlah RM 40,000 seorang. Abang telah mengambil bahagian wang dari harta pusaka arwah ibu kami untuk membayar tuntutannya dan jumlah tersebut tidak mencukupi. Adakah tuntutan sebegini dikira sebagi hutang yang perlu dijelaskan di dalam Islam oleh kami berdua (saya dan kakak)? Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Agama Islam amat membenci perbuatan menzalimi dan mengambil hak orang lain tanpa kerelaan dan persetujuan pemiliknya. Sekalipun harta atau barangan tersebut adalah kepunyaan adik-beradik atau mereka yang mempunyai pertalian darah dengan kita. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin al-Sa’ib daripada datuknya, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

لاَ يَأْخُذْ أَحَدُكُمْ عَصَا أَخِيهِ لاَعِبًا أَوْ جَادًّا فَمَنْ أَخَذَ عَصَا أَخِيهِ فَلْيَرُدَّهَا إِلَيْهِ

Maksudnya: “Janganlah salah seorang di antara kamu mengambil tongkat saudaranya secara main-main mahupun serius. Jika salah seorang di antara kamu mengambil tongkat saudaranya, maka kembalikanlah.”

Riwayat al-Tarmizi (2160)
Imam al-Tarmizi menilai hadith ini sebagai ‘hasan gharib’.

Demikian juga dalam hadith yang lain, di mana Nabi SAW telah menyatakan balasan yang bakal diterima bagi mereka yang mengambil hak orang lain. Daripada Abu Umamah al-Harithi R.A, Nabi SAW telah bersabda:

" مَنْ اِقْتَطَعَ حَقَّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ بِيَمِينِهِ, فَقَدْ أَوْجَبَ اَللَّهُ لَهُ اَلنَّارَ, وَحَرَّمَ عَلَيْهِ اَلْجَنَّةَ".‏ فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ: وَإِنْ كَانَ شَيْئًا يَسِيرًا يَا رَسُولَ اَللَّهِ؟ قَالَ: "وَإِنْ قَضِيبٌ مِنْ أَرَاكٍ"

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambil harta saudaranya dengan sumpahnya, maka Allah mewajibkan dia masuk neraka dan mengharamkan masuk surga. Lalu ada seorang yang bertanya, “Wahai Rasulullah, meskipun hanya sedikit?” Beliau menjawab, “Meskipun hanya sebatang kayu araak (kayu untuk siwak).”

Riwayat Muslim (137)

Menjawab kepada persoalan di atas, perbuatan mengusahakan sesebuah kebun tanpa keizinan dan persetujuan daripada pemiliknya adalah sia-sia dan tidak sah kerana tidak terdapat ‘sighah qabul’ dalam akad tersebut. Manakala perbuatan mengambil bayaran melalui pembahagian harta pusaka tanpa persetujuan tuannya adalah perbuatan yang zalim dan berdosa. Justeru itu, permintaan pembayaran tersebut tidak dikira sebagai hutang yang perlu dilangsaikan oleh pemilik kebun tersebut. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Sa’id Ibn Zaid, Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيْتَةً فَهِيَ لَهُ وَلَيْسَ لِعِرْقٍ ظَالِمٍ حَقٌّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menghidupkan tanah yang mati, maka tanah itu menjadi mililknya, dan untuk keringat orang yang zalim tidak memiliki hak.”

Riwayat Abu Daud (3073)

Imam al-Munawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebut tanah yang mati bermaksud tanah yang tidak mempunyai pemilik. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/39)

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa setiap akad yang dijalankan mestilah dipersetujui dan diredai oleh kedua-dua belah pihak yang berakad. Sekiranya syarat tersebut tidak dipenuhi, maka akad yang dijalankan itu dikira sebagai tidak sah. Apabila sesuatu aqad tidak sah, maka perkara yang berbangkit selepas itu juga dikira tidak sah. Begitu juga berkaitan larangan mengambil hak pemilikan orang lain telah dinyatakan dengan jelas berkaitan ancaman balasannya melalui firman Allah SWT berikut:

وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّـهِ يَسِيرًا

Maksudnya: “Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).”

(Surah al-Nisa’: 30)

Perbuatan menganiaya orang lain dengan mengambil haknya secara batil adalah perkara yang wajib dihindari oleh semua lapisan masyarakat dalam melahirkan masyarakat yang harmoni dan aman.

Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan kefahaman kita semua dalam melayari hidup bersyariat yang diredai oleh Allah SWT. Amin.