Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 if399

Soalan

Assalamualaikum Dr. Saya ada terdengar berkenaan larangan menutup telinga ketika mendengar bunyi guruh. Katanya menutup telinga ketika bunyi guruh merupakan perbuatan munafik. Betulkah kenyataan itu Dr.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran al-Karim merupakan kitab yang diturunkan kepada Baginda Nabi SAW di dalam Bahasa arab. Dengan keindahan bahasa dan tatabahasanya yang sempurna serta kefasihan susunan kata-kata yang menarik, menggambarkan bahawa ia merupakan kalam Allah SWT yang tiada cacat cela. Al-Quran juga merupakan sumber utama bagi seluruh umat manusia.

Firman Allah SWT:

قُرْآنًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Maksudnya: laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.

(Surah al-Zumar, 28)

Selain itu, terkandung di dalamnya pelbagai contoh ayat perumpamaan dan misalan sebagai peringatan dan pelajaran serta memberi penjelasan terhadap sesuatu perkara dengan lebih sempurna.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَـٰذَا الْقُرْآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran.

(Surah al-Zumar, 27)

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan, sesungguhnya al-Quran itu merupakan kalam Allah SWT yang agung dan mulia. Penuh di dalamnya dengan uslub gaya Bahasa arab yang sempurna dari segi Bahasa dan makna serta penjelasannya yang tidak mampu ditiru oleh setiap makhluk walaupun hanya satu ayat daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/29)

Contoh-contoh Perumpamaan di dalam al-Quran

Terdapat pelbagai ayat perumpamaan di dalam ayat suci al-Quran seperti ayat di dalam surah al-Baqarah. Allah SWT memberi perumpamaan kepada golongan munafik kerana sikap dan sifat mereka.

Firman Allah SWT:

مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللَّـهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لَّا يُبْصِرُونَ

Maksudnya: Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

(Surah al-Baqarah, 17)

Di dalam mentafsirkan ayat ini, Imam Ibnu Kathir menyatakan, Allah SWT menggambarkan perumpamaan kepada golongann munafik. Mereka ini, menunjukkan diri mereka percaya kepada kebenaran pada suatu masa, kemudian mereka berpaling semula daripada kebenaran pada masa yang lain. Hati mereka itu sentiasa di dalam kekufuran dan berbolak-balik. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 1/189)

Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam tafsirnya, bahawa sifat orang munafik, mereka itu diberi sinar keimanan di dalam hati mereka seperti cahaya api yang menyinari mereka. Kemudian mereka berpaling kepada kekufuran, ia seperti Allah SWT memadamkan api yang menerangi mereka itu. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/93).

Selain itu, dalam ayat yang lain Allah SWT memberi perumpamaan orang yang mengajak golongan kafir kepada Islam seperti pengembala yang memanggil haiwan ternakannya yang tidak memahami perkataannya itu.

Firman-Nya:

وَمَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا كَمَثَلِ الَّذِي يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ إِلَّا دُعَاءً وَنِدَاءً

Maksudnya: Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; 

(Surah al-baqarah, 171)

Syeikh al-Maraghi menyatakan bahawa ayat ini memberi perumpamaan terhadap orang kafir yang berpegang kepada kepercayaan nenek moyang mereka yang sesat. Dan mereka ini tidak meneliti apa yang disampaikan kepada mereka tentang bukti-bukti kebenaran. Perumpamaan mereka ini seperti haiwan ternak yang di arahkan oleh pengembala. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/46)

Selain itu, Dr Wahbah Zuhaili menukilkan pandangan Imam al-Qurtubi bahawa Allah SWT memberi perbandingan berkenaan golongan kafir yang diseru kepada mereka tentang keimanan dan penyeru keimanan, iaitu Nabi Muhammad SAW dengan perumpamaan pengembala yang memanggil kambing-kambing dan unta-untanya. Akan tetapi haiwan-haiwan itu mendengar seruannya sahaja dan tidak memahami apa yang diserunya itu. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/74)

Ini menunjukkan bahawa, pendekatan al-Quran menggunakan perumpamaan dan misalan dalam menerangkan sesuatu perkara dengan lebih jelas dan mendalam. Selain itu, ini menggambarkan tentang kekuasaan Allah SWT menjadikan al-Quran sebagai mukjizat dan petunjuk kepada seluruh manusia.

Perumpamaan Menutup Telinga

Berbalik kepada persoalan di atas, perbuatan menutup telinga ketika terdengar bunyi guruh merupakan perumpamaan terhadap perilaku gorang munafik. Ini seperti yang diceritakan di dalam Firman Allah SWT:

أَوْ كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِم مِّنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ ۚ وَاللَّـهُ مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ 

Maksudnya: Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu. 

(Surah al-Baqarah, 19)

Imam Qurtubi di dalam mentafsirkan ayat (يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِم) menyatakan, mereka menyumbat jari ke dalam telinga supaya mereka tidak mendengar al-Quran dan beriman kepadanya serta tidak mempercayai wahyu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/218-219)

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menceritakan tentang perasaan cemas dan bimbang. Dan al-Quran telah memberitahu mereka tentang petunjuk Ilahi akan tetapi mereka berpaling daripadanya. Keadaan mereka itu digambarkan seperti sesuatu kaum yang menghadapi keadaan hujan lebat dan diikuti dengan dentuman guruh yang kuat. Dalam keadaan kegelapan itu mereka meraba-raba mencari jalan yang selamat.  (Lihat al-Tafsi al-Munir, 1/92)

Oleh itu, dapat difahami ayat ini menjelaskan bahawa keadaan golongan munafik yang benci dan takut mendengar ayat suci al-Quran sebagaimana keadaan seseorang yang menutup telinga ketika mendengar bunyi guruh yang sangat kuat.

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan dan penjelasan tafsiran para ulama’, dapat kami simpulkan bahawa, perbuatan menutup telinga ketika mendengar bunyi guruh kerana takut untuk mendengarnya adalah tidak termasuk di dalam perbuatan orang munafik. Ini kerana ayat di atas memberi perumpamaan terhadap golongan munafik yang tidak mahu mendengar peringatan dan isi kandungan ayat suci al-Quran. Ia juga mungkin lebih kepada tindak balas spontan seseorang apabila terdengar bunyi yang kuat.

Justeru, sebaiknya ketika mendengar bunyi guruh kami sarankan supaya membaca doa seperti berikut:

يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ سُبْحَانَ الَّذِي

Maksudnya: Maha suci Allah yang Dialah juga yang disucikan oleh guruh dan para malaikat dengan bertasbih memuji-Nya kerana takut kepada-Nya

Riwayat al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad (724)

Selain itu, boleh rujuk artikel IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-402: DOA KETIKA KILAT ATAU PETIR untuk maklumat yang lebih lanjut.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.